Minta Sijil Cuti Sakit (MC) Untuk Jaga Anak Tak Sihat, Parents Kena Tahu Saluran Yang Betul

Anak sakit perlu berehat di rumah untuk elak jangkitan. Persoalannya, bolehkah parents dapatkan sijil cuti sakit semata-mata untuk jaga anak di rumah?

Bila anak sakit, selalunya ibu ayah akan mengambil cuti untuk menjaga anak-anak di rumah. Tetapi sekiranya anak tidak sihat dalam tempoh yang agak lama, contohnya seminggu, ibu ayah pasti tertanya boleh ke ambil sijil cuti sakit atas nama anak?

Kalau ibu atau ayah mengalami masalah kesihatan, boleh saja ambil MC dari klinik dan rehat di rumah berdasarkan tempoh cuti sakit yang diberi doktor. Jadi, apa sebenarnya kegunaan MC atau medical certificate ini ya?

Apakah Itu MC @ Sijil Cuti Sakit?

MC atau nama penuhnya ‘medical certificate’, merupakan sijil kenyataan sah yang dikeluarkan oleh doktor bertauliah. Ia bagi mengesahkan seseorang itu tidak mampu untuk bekerja ataupun berurusan secara rasmi disebabkan tidak sihat.

Dalam bahasa Melayu, MC turut dikenali sebagai sijil cuti sakit.

MC boleh diperolehi daripada doktor kerajaan ataupun swasta. Kuota pengeluaran MC adalah berbeza di hospital dan klinik-klinik kerajaan berbanding institusi kesihatan swasta, dan tempoh cuti adalah berdasarkan keadaan pesakit.

Walau bagaimanapun, individu yang berkelayakan mendapat sijil sakit perlu menunjukkan yang mereka menghidapi penyakit serta tidak mampu meneruskan apa-apa urusan, sebagai contohnya pekerjaan pada hari tersebut. 

Hanya Doktor Yang Boleh Mengeluarkan MC

Di Malaysia, hanya doktor yang sah berdaftar dengan Malaysian Medical Council (MMC) sahaja boleh mengeluarkan MC kepada pesakit.

Setiap doktor ini mempunyai nombor pengesahan pendaftaran masing-masing iaitu apa yang dipanggil sebagai Annual Practicing Certificate (APC) yang boleh digunakan oleh pesakit bagi memastikan doktor tersebut adalah bertauliah atau tidak.

Ini bermakna di hospital kerajaan, doktor berpangkat ‘Medical Officer’ dan keatas seperti doktor pakar dan konsultan SAHAJA boleh mengeluarkan sijil cuti sakit. Doktor pelatih atau ‘House Officer’ pula tidak dibenarkan mengeluarkan MC.

Maklumat yang diperlukan dalam MC adalah nama pesakit, tandatangan dan cop daripada doktor dan hospital juga akan ada bagi mengesahkan sijil tersebut. Jumlah hari pelepasan yang diluluskan juga akan ditulis di dalam surat MC.

Maklumat tentang penyakit tidak ditulis di MC kerana ia merupakan rahsia pesakit dan doktor. Jadi kalau ada majikan yang bertanya, doktor hanya boleh mendedahkannya keizinan pesakit.

Situasi Yang Membolehkan Parents Cuti Menjaga Anak

Perlu difahami bahawa MC ialah ‘medical certificate’ ataupun sijil cuti sakit. Bermakna sijil ini hanya boleh diberikan kepada mereka yang benar-benar menghidapi penyakit sehingga tidak mampu meneruskan aktiviti dan urusan harian.

Ibu bapa yang perlu meninggalkan kerja buat sementara waktu bagi menjaga anak sebaliknya boleh memohon ‘emergency leave’ daripada majikan.

Antara situasi yang membenarkan ibu bapa bercuti bagi menjaga anak yang sedang sakit adalah sekiranya anak tersebut menghidap penyakit berjangkit.

Bil pekeliling akan diwartakan oleh pihak kesihatan kerajaan agar ibu bapa berpeluang memberi perhatian kepada anak yang sakit.

Memohon MC Palsu Boleh Dikenakan Denda

Dalam keadaan tertentu, sesetengah individu mungkin berniat ambil MC palsu untuk kegunaan sendiri. Ingin ditekankan di sini, seseorang yang menggunakan MC palsu untuk mendapatkan cuti sakit boleh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali!

Sijil cuti sakit tidak akan diberi kepada individu yang kelihatan sihat, gagal memberikan sejarah penyakit dengan lengkap, selain tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk tidak menghadiri sesuatu aktiviti yang seharusnya diikuti.

Malah kenalan rapat seperti keluarga atau saudara mara juga tak boleh ambil kesempatan kerana boleh menimbulkan bias dan penipuan dalam mengeluarkan MC!

Jadi bagaimana sekiranya anak sakit dalam tempoh yang lama ya? Kami mencadangkan supaya ibu bapa bergilir mengambil cuti kecemasan sekiranya tiada keluarga terdekat untuk menjaga anak yang sakit. 

Selebihnya adalah dasar ehsan tempat kerja, atau ibu bapa boleh menawarkan diri untuk kerja dari rumah sahaja. Semoga bermanfaat.

Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Sumber: Artikel ini disadur dari Doctor On Call, dengan izin.

Baca juga: Bagi Ibu Bapa Yang Bekerja, Anda Patut Tahu Tentang Cuti Jaga Anak Sakit

Penulis

Beto Rahman