Antara persoalan utama bagi pasangan yang menerima berita kehamilan adalah apakah hospital terbaik di Malaysia yang sesuai untuk mereka lakukan pemeriksaan bulanan dan sekaligus mendaftar bagi tujuan bersalin.
Memang ramai yang kata di mana-mana bersalin pun tetap sama saja. Namun, tidak salah jika anda bersedia dengan senarai hospital, sekurang-kurangnya sudah tahu tempat yang ingin dituju jika sudah turun tanda.
Jika anda masih mencari pilihan hospital buat cahaya mata yang bakal lahir itu, apa kata anda pertimbangkan salah satu daripada hospital terbaik di Malaysia.
Apakah yang membuatkan sesebuah hospital itu sebagai hospital kerajaan terbaik?
Sebelum kita melihat senarai hospital kerajaan terbaik di Malaysia untuk ibu-ibu yang hamil, apakah sebenarnya kriteria yang menyebabkan hospital itu dianggap sebagai hospital kerajaan yang terbaik?
Sudah tentu, yang paling utama adalah kemudahan doktor-doktor pakar yang terlatih dan berpengalaman. Antara kriteria lain yang patut dipertimbangkan oleh ibu mengandung sewaktu memilih hospital bagi pemeriksaan kehamilan atau bersalin adalah:
#1. Lokasi hospital dengan tempat tinggal mereka
Pastikan loksai hospital dekat dengan tempat tinggal anda. Lebih baik kurang 30 minit anda sudah boleh sampai ke destnasi. Lebih dekat lokasi hospital bersalin adalah lebih baik.
#2. Peralatan pemeriksaan dan bersalin yang lengkap

Pastikan hospital yang dipilih memang menyediakan khidmat untuk bersalin kerana dikhuatiri jika kecemasan berlaku anda perlukan masa untuk ke hospital dengan kemudahan lengkap
#3. Jururawat yang profesional, terlatih dan mesra
Mungkin perkara ini tidak diketahui sehinggalah kita bersalin di sana. Namun mungkin anda boleh tanya pengalaman ibu-ibu lain mengenai hospital berkenaan
#4. Kebersihan wad dan tandas
Ini juga menjadi antara perkara penting kerana anda perlu menggunakannya selepas bersalin nanti. Pastikan ia mesra wanita lepas bersalin untuk memudahkan anda menguruskan diri.
#5. Sama ada suami dibenarkan masuk ke dalam bilik bersalin atau tidak

Kebanyakan hospital memang membenarkan suami masuk ke bilik bersalin, namun mungkin selepas wabak Covid-19 melanda ada beberapa SOP yang perlu dipatuhi. Jadi sentiasalah semak dengan hospital yang berkenaan mengenai SOP terbaharu yang mungkin diwujudkan di wad bersalin dan sebagainya.
Walaupun ramai yang masih mempersoalkan mutu layanan di hospital kerajaan, kami masih berfikiran optimis yang mana usaha untuk menambah baik layanan pelanggan dan menaikkan mutu kebersihan dan keselesaan semakin giat dijalankan di hospital kerajaan.
Daripada segi perubatan dan kos bersalin hospital kerajaan berpatutan malah kemudahannya jauh lebih lengkap.
Senarai hospital kerajaan untuk ibu hamil
Mungkin ada yang mencari-cari hospital bersalin terbaik di Malaysia. Di sini kami senaraikan hospital yang mungkin boleh anda pertimbangkan untuk anda bersalin.
#1. Hospital Tunku Azizah (Hospital Wanita dan Kanak-Kanak, Kuala Lumpur)
Jika dulu ia dinamakan Hospital Bersalin HKL, namun kini kemudahan ini ditempatkan dibangunan baharu. Seperti dulu, hospital bersalin HKL merupakan hospital utama yang menjadi rujukan hospital-hospital lain bagi kes bersalin berkomplikasi. Ia mempunyai ramai pakar O&G dan turut melahirkan pakar-pakar O&G bagi hospital lain.
Jadi, dari segi kepakaran doktor, hospital ini sememangnya yang terbaik! Jika anda mempunyai beberapa masalah kesihatan semasa mengandung, mungkin ini adalah satu tempat bersalin yang patut anda pertimbangkan!
Apa yang menarik perhatian adalah doktor-doktor di sini menyatakan bahawa mereka tidak akan sesekali menolak pesakit – semuanya akan cuba diterima dan dilayan dengan baik.
#2. Hospital Selayang, Selangor
Lagi satu hospital yang terbaik untuk ibu hamil adalah Hospital Selayang. Ramai para ibu yang telah bersalin di hospital ini dan rata-rata berpuas hati dengan layanan dan kepakaran doktor di sini.
Yang menariknya tentang Hospital Selayang adalah ia turut menyediakan program Full-Paying Patient (FPP). Dengan skim ini, pesakit diberikan kemudahan untuk memilih doktor pakar yang mereka inginkan dan menikmati kemudahan kelas pertama.
Lagi satu yang membuatkan hospital ini mesra ibu hamil adalah para suami turut dibenarkan masuk ke dalam bilik bersalin untuk menemani isteri mereka.
#3. Hospital Tuanku Ja’afar, Negeri Sembilan
Walaupun sebelum ini hanya ada dua hospital sahaja yang berstatus FPP, kini terdapat beberapa hospital kerajaan di seluruh Malaysia yang menyediakan skim ini, antaranya Hospital Tuanku Ja’afar di Negeri Sembilan.
Jika anda tinggal di Seremban dan mencari hospital untuk pemeriksaan dan hari bersalin anda, apa kata anda pertimbangkan Hospital Tuanku Ja’afar?
Rata-rata mereka yang telah bersalin di sini memuji keselesaan wad dan bilik bersalinnya – serba baru katanya! Layanannya pun baik-baik belaka.
#4. Hospital Sultanah Aminah, Johor
Antara sebab utama yang menyebabkan Hospital Sultanah Aminah menjadi hospital kerajaan terbaik untuk ibu hamil adalah kepakaran doktornya serta keselesaan bilik bersalin. Memang ramai doktor pakar yang sedia untuk berkhidmat di hospital ini.
Malah, kalau anda hendak tahu, setiap pesakit akan mendapat satu bilik bersalin. Setiap biliknya juga turut dilengkapi dengan penyaman udara. Memang selesalah kiranya untuk bakal-bakal ibu.
#5. Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak
Hospital Raja Permaisuri Bainin di Ipoh, Perak juga merupakan antara hospital kerajaan yang terbaik buat mereka yang tinggal di sekitar kawasan Ipoh.
Hospital ini mengamalkan konsep husband friendly di mana suami dibenarkan untuk menemani isteri ketika melahirkan anak. Sebagai hospital utama di Perak, sudah tentu ia juga mempunyai ramai pakar.
Malah, ia turut menempatkan pakar fertiliti dan IVF. Bermula 2017 juga, anda turut boleh menyertai skim FPP di hospital ini jika terasa ingin memilih doktor sendiri!
#6. Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Cheras Kuala Lumpur
Lagi satu hospital terbaik di Malaysia buat ibu hamil adalah Hospital Canselor Tuanku Muhriz yang terletak di Cheras Kuala Lumpur. Di hospital ini turut disediakan kemudahan FPP.
Ia merupakan lagi satu hospital mesra suami yang membenarkan mereka masuk ke dewan bersalin ketika proses kelahiran. Hospital ini merupakan hospital kerajaan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.
Maka, tidak mustahillah jika di sini terdapat ramai doktor pakar yang mampu memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada anda! Cumanya, jika anda ingin menggunakan khidmat bersalin di sini, anda memerlukan surat rujukan terlebih dahulu.
#7. Hospital Putrajaya, Wilayah Persekutuan
Selain menawarkan khidmat FPP dengan kemudahan lengkap serta wad yang selesa hospital ini memang biasa menjadi pilihan ibu hamil untuk bersalin.
Lebih menarik, ia antara hospital yang mendapat maklum balas FPP terbaik dalam kalangan ibu-ibu. Bayi yang dilahirkan di Putrajaya juga akan mempunyai nombor kad pengenalan ’16’ di tengah yang mana ia menjadi pilihan banyak ibu ayah kerana keunikannya.
#8. Hospital Serdang, Selangor
Kemudahan yang lengkap dengan ramai doktor terlatih menjadikan hospital yang terletak di Selangor ini antara pilihan ramai ibu hamil. Ia juga memberi kemudahan kepada suami untuk masuk ke dewan bersalin.
#9. Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah
Jabatan Obstetrik & Ginekologi hospital ini merupakan pusat rujukan utama bagi negeri di wilayah utara Malaysia justeru kemudahan terbaik dengan doktor pakar yang lengkap menjadikan hospital ini patut dipertimbangkan bagi ibu-ibu yang bakal bersalin di daerah berdekatan.
Wad yang luas dan selesa menambahkan lagi markah hospital ini untuk menjadi hospital pilihan.
#10. Hospital Raja Permaisuri Perempuan Zainab II, Kota Bharu
Turut menawarkan Skim FPP serta mesra suami supaya boleh menemani isteri ketika bersalin tidak hairan ramai yang warga Kelantan yang duduk di Kuala Lumpur akan pulang ke negeri ini bila tarikh bersalin semakin hampir.
Kemudah yang lengkap buat ibu bersalin menjadikannya hospital pilihan.
Hospital lain yang boleh anda pilih ketika hamil
Selain daripada senarai hospital utama di atas, kami juga ada menyediakan senarai hospital lain yang kami rasa masih lagi terbaik untuk ibu hamil di luar sana. Antaranya ialah:
- Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang – Skim FPP, layanan mesra
- Hospital Sultanah Nur Zahirah, Terengganu – Kemudahan doktor pakar, boleh memilih doktor, peralatan bersalin yang canggih, Skim FPP, suami dibenarkan masuk ke bilik bersalin.
- Hospital Wanita dan Kanak-Kanak, Sabah – Jabatan ini menyediakan perkhidmatan Obstetrik dan Ginekologi bagi seluruh negeri Sabah termasuk Lawas, Sarawak
Hospital swasta terbaik
Selain hospital kerajaan, mungkin ada ibu hamil yang mahu memilih hospital swasta untuk bersalin. Ada yang memang rela bayar sendiri kerana mahukan keselesaan dan ada pula yang memang ia ditanggung oleh tempat mereka bekerja.
Kos bersalin di hospital swasta diketahui memang sedikit tinggi berbanding di hospital kerajaan, namun bagi mereka yang berkemampuan dan tiada masalah berkaitan kos, mereka boleh memilih untuk bersalin di sana.
Jadi untuk kemudahan ibu hamil, kami sediakan senarai lima hospital swasta terbaik di Malaysia yang boleh menjadi pilihan anda.
#1. Hospital Pakar An-Nur Hasanah, Bangi
Kemudahan lengkap menjadikan hospital ini antara pilihan ibu hamil untuk bersalin. Dengan doktor bertauliah serta harga yang berpatutan hospital ini antara yang popular bagi ibu hamil untuk bersalin.
Pelbagai pakej bersalin disediakan di hospital bersalin swasta ini untuk pilihan ibu ayah. Ia juga adalah antara hospital islamik swasta yang mana ibu hamil dirawat oleh doktor wanita pilihan mereka.
#2. Hospital KPJ
Dengan cawangan di serata negeri termasuk Selangor, Johor, Kedah, Perak, Sarawak, Pahang, Pulau Pinang, Perlis, Sabah, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan hospital ini antara pilihan ibu hamil untuk bersalin.
Dengan kemudahan pakej bersalin normal dan pembedahan serta banyak lagi kemudahan, hospital di bawah rangkaian KPJ Health ini wajar dipertimbangkan ibu hamil di luar sana.
#3. Hospital Columbia Asia
Juga mempunyai banyak cawangan termasuk di Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Johor dan Perak rangkaian hospital di bawah Columbia Asia Group ini juga antara pilihan ibu hamil.
Dengan pakej bersalin normal serta pembedahan yang disediakan, ibu hamil yang bercadang untuk bersalin di hospital swasta mungkin boleh menyenaraikan hospital Colombia Asia yang terdekat dengan anda sebagai pilihan.
Prosedur Operasi Standard (SOP) ibu hamil selepas pandemik

Ketika waktu pandemik melanda negara, pelbagai kemudahan dan keistimewaan di majoriti hospital terutama bagi suami menemani isteri bersalin ditarik balik.
Namun, selepas endemik diisytiharkan, halangan itu ditarik balik. Jadi apakah antara SOP yang perlu ibu hamil lalui selepas pandemik ini untuk bersalin di hospital?
Di hospital Kementerian Kesihatan Malaysia, berkuatkuasa 4 Oktober 2021, KKM telah membenarkan suami atau ahli keluarga terdekat untuk menemani ibu hamil semasa bersalin dengan mematuhi kriteria yang ditetapkan iaitu:
- Suami atau ahli keluarga terdekat telah menerima dos vaksin lengkap COVID-19 14 hari selepas dos kedua bagi vaksin jenis dua dos seperti Pfizer, Sinovac, dan Astra Zeneca atau 28 hari selepas menerima vaksin jenis satu dos seperti CanSino dan Johnson & Johnson.
- Ahli keluarga terdekat perlu menjalani ujian pengesanan COVID-19 (RT-PCR atau RTK-Ag) di mana-mana fasiliti kesihatan atau makmal swasta dalam tempoh 72 jam dan keputusan ujian hendaklah dibawa bersama sebelum menemani ibu hamil di Wad Bersalin. Suami atau ahli keluarga terdekat juga perlu mengehadkan pergerakan mereka selepas menjalani ujian RT-PCR atau RTK-Ag;
- Ahli keluarga terdekat boleh membeli Kit Ujian Kendiri COVID-19 yang telah mendapat kelulusan dari Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) dan membawanya ke hospital bagi menjalani ujian pengesanan kendiri COVID-19 di tempat saringan yang disediakan di hospital dengan dipantau dan disahkan oleh anggota kesihatan yang bertugas.
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Due Date Sudah Dekat, Ini Prosedur Bersalin Khusus Bagi Ibu Yang Disyaki Covid-19
Baca juga: Ibu Merancang Bersalin Di Hospital FPP/ Full Paying Patient? Ini Info LENGKAP Anda Perlu Tahu!
Baca juga: Cuti Bersalin: Persiapan & Tempoh Ideal Buat Para Ibu Bekerja, Tapi Rindu Anak Tak Boleh Elak!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!