Siti Nurhaliza Tak Kisah Makin Berisi Dan Bakal Buka Pusat Rawatan Kesuburan

Siti Nurhaliza Tak Kisah Makin Berisi Dan Bakal Buka Pusat Rawatan Kesuburan

Lepas 11 tahun cuba menimang cahaya mata, Siti Nurhaliza kini hamil 4 bulan dan nekad untuk membantu wanita di luar sana yang senasib dengannya.

Siti Nurhaliza hamil 4 bulan

2 hari lalu, penyanyi kesayangan Malaysia ini mengesahkan beliau telah hamil 4 bulan. Berita itu benar-benar menggembirakan semua rakyat Malaysia.

Mana tidaknya, kita semua tahu betapa Datuk Siti Nurhaliza telah lama menanti saat-saat ini.

Beliau telah berkahwin selama 11 tahun dengan Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa dan pernah keguguran pada tahun 2015 lalu.

Sejak itu, penyanyi kesayangan semua ini mencuba pelbagai cara, termasuklah rawatan kesuburan IVF (in vitro fertilization) untuk mendapatkan cahaya mata.

Siti Nurhaliza Tak Kisah Makin Berisi Dan Bakal Buka Pusat Rawatan Kesuburan

Alhamdulillah, percubaan kali ke-3 dalam masa 11 tahun berkahwin ini akhirnya membuahkan hasil.

Berat badan cepat naik tak memutuskan semangat 

Ketika ditemui di sidang media siaran langsung Instagram Live miliknya dan YouTube Siti Official Video, Siti tidak lekang dengan senyuman manis beliau.

Beliau membuat pengumuman tersebut kerana tercetus spekulasi apabila ramai yang tertanya-tanya mengapa beliau mendiamkan diri dan tidak menerima sebarang undangan persembahan.

Siti Nurhaliza Tak Kisah Makin Berisi Dan Bakal Buka Pusat Rawatan Kesuburan

Dek spekulasi tersebut, Datuk Siti Nurhaliza mengharapkan pengumuman ini memberi penjelasan kepada mana-mana pihak yang berurusan dengan Siti Nurhaliza Production untuk memahami keadaannya.

Siti juga tidak menafikan berat badannya semakin naik dengan mendadak.

Ini mungkin adalah kerana perubahan hormonnya dan kerana beliau sedang dalam proses family planning.

Akan tetapi, masalah tersebut tidak membantutkan niat beliau untuk terus mencuba. Akhirnya, Tuhan membuka pintu rezeki untuk beliau.

Sebelum disahkan hamil selepas Aidilfitri tempoh hari, Siti dan suami akan tetap meluangkan masa untuk bersenam.

Siti Nurhaliza

Mereka akan ke gim setiap pagi dan berada di sana sekurang-kurangnya selama 1 jam. Tetapi selepas disahkan hamil kini, Siti lebih banyak terperuk di dalam bilik.

Beliau dipetik mengatakan sepanjang menjalani rawatan kesuburan IVF, beliau hanya duduk dalam bilik selama 3 bulan.

Beliau juga dinasihatkan untuk tidak banyak berjalan.

Sehinggakan kalau nak turun naik tangga pun, suami yang akan dukung atau angkat menggunakan kerusi roda! Saya dinasihatkan tidak terlalu banyak bergerak,” seloroh penyanyi manis ini.

Bakal buka pusat rawatan kesuburan IVF 

Siti juga turut berkongsi yang beliau dalam proses membuka pusat rawatan kesuburan IVF di bawah Yayasan Nur Jiwa.

Pusat rawatan tersebut akan beroperasi dengan kerjasama Doktor Collin, iaitu pakar perubatan yang membantu beliau dengan proses IVF kini.

Siti Nurhaliza mengharapkan agar wanita yang mengalami nasib macam dirinya mampu mencuba rawatan tersebut pada kadar yang termampu.

InsyaAllah, ia akan dibuka awal tahun depan. Amin.

Rawatan kesuburan IVF

Menurut Baby Center, persenyawaan in vitro (IVF) adalah satu proses di mana telur dikeluarkan daripada ovari dan digabung dengan sperma di dalam makmal.

In vitro merujuk kepada bekas kaca yang digunakan untuk proses persenyawaan telur tersebut. Dulu, rawatan ini dikenali sebagai rawatan “bayi tabung uji”.

Siti Nurhaliza Tak Kisah Makin Berisi Dan Bakal Buka Pusat Rawatan Kesuburan

Foto Kredit: bbc.co.uk

IVF memberi peluang yang lebih tinggi untuk para wanita mencapai kehamilan. Ia amat disyorkan untuk pasangan yang mengalami keadaan:

  • wanita dengan masalah tiub fallopio yang tersumbat, masalah fibroid, PCOS atau endometriosis
  • lelaki dengan masalah sperma
  • pernah melakukan rawatan kesuburan IUI tapi tetap gagal

Di Malaysia, sejumlah 35 premis hospital kerajaan dan swasta menawarkan perkhidmatan ini.

Antara hospital swasta yang terkenal dengan rawatan kesuburan IVF adalah Metro Fertility, KL Fertility Centre, Sun Fert dan Tropicana Medical Centre.

Manakala hospital kerajaan pula adalah Hospital Kuala Lumpur, Hospital Likas, Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu dan Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar.

Kos rawatan ini di hospital kerajaan mungkin sekitar RM 5,000, Namun bagi hospital swasta, ia mungkin menelan belanja sekitar RM 10,000 hingga RM 20,000.

Apapun, kami di theAsianparent Malaysia amat gembira dengan berita kehamilan Datuk Siti Nurhaliza.

Kami mendoakan agar beliau diberi kesihatan yang baik dan menjalani proses kehamilan yang elok-elok saja. 

Sumber rujukan: Berita Harian, Harian Metro, Baby Center dan Sirap Limau

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia

Baca juga

Lelaki Ini Berkongsi Pengalamannya Tentang Rezeki Ada Anak Atau Tak

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!

Penulis

Ayu Idris

app info
get app banner