Semasa kehamilan, tubuh anda mengalami banyak perubahan sama ada di luar mahupun di dalam. Salah satu daripada transformasi ini ialah kemunculan spider veins pada bahagian tubuh badan.
Bagi wanita hamil, pembuluh darah lebih ketara kelihatan dinamakan ‘spider veins.’ Ia dikatakan berpunca daripada peningkatan hormon estrogen yang memberikan tekanan pada kapilari darah.
Selain wajah, bahagian tubuh lain mudah dilihat bersama tanda berkenaan ialah leher dan lengan.
Isi Kandungan
Spider veins pada payudara ketika hamil
Spider veins biasanya lebih jelas kelihatan jika anda berkulit cerah, dan kelihatan kurang menyerlah jika anda mempunyai kulit yang lebih gelap. Ia tanda biasa awal kehamilan.
Tetapi mengapakah ia muncul dan adakah anda perlu risau jika ia menjadi lebih menonjol malah jika anda menyusu adakah akan memberi kesan kepada penyusuan bayi anda? Jom lihat apa yang kami kongsikan.
Semasa kehamilan, urat dalam payudara anda biasanya menjadi lebih kelihatan. Ini berlaku kerana jumlah darah meningkat daripada 20 hingga 40 peratus dalam tempoh ini dan memberi lebih banyak tekanan kepada urat anda.
Urat ini bertanggungjawab untuk mengangkut oksigen, darah dan nutrien kepada janin anda yang sedang membesar. Jadi akibat daripada peningkatan aliran darah, urat di bawah kulit ini akan lebih jelas kelihatan terutama jika anda berkulit cerah.
Ia boleh muncul pada trimester pertama kehamilan dan merebak ke seluruh badan anda, terutamanya pada bahagian perut dan payudara.
Walau bagaimanapun, perlu diambil perhatian bahawa spider veins tidak menyebabkan urat timbul keluar daripada kulit seperti varicose veins atau penyakit varises.
Punca spider veins pada payudara
Selain pertambahan darah yang menyebabkan tekanan kepada urat, ada beberapa lain yang menyumbang kepada munculnya urat ini. Antaranya termasuklah:
#1. Menyusu badan
Jika anda juga sedang menyusu, kemungkinan urat anda akan menjadi lebih jelas kerana payudara anda dipenuhi susu. Berita baiknya ialah ia akan menjadi kurang kelihatan apabila bayi anda mula beralih kepada makanan pejal.
Walau bagaimanapun, jika urat disertai dengan kemerahan, demam sebarang ketidakselesaan lain, anda mungkin mengalami mastitis.
Mastitis adalah jangkitan pada tisu payudara yang disebabkan oleh bakteria memasuki saluran susu melalui puting payudara yang merekah. Ia juga boleh berlaku jika saluran susu tersumbat atau masalah tersumbat itu tidak dirawat dengan sewajarnya.
Jika anda rasa anda mengalami mastitis, anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor segera supaya mereka boleh merawatnya dengan mudah menggunakan antibiotik oral.
Mastitis boleh menjadi lebih teruk sekiranya anda tidak mendapatkan rawatan segera. Puting anda boleh membengkak dan akan bernanah jika mastitis tidak dirawat segera.
Perlu diingat bahawa adalah perkara biasa untuk spider veins kelihatan pada payudara semasa mengandung dan menyusu jika ia tidak disertai dengan rasa sakit.
Tetapi pada masa sama, perhatikan mana-mana urat baharu yang anda lihat berkembang. Selain itu, hubungi doktor anda jika pada masa sama urat itu muncul anda juga ada merasakan ketulan pada payudara anda.
Terdapat juga sebab lain mengapa spider veins muncul. Antaranya termasuklah:
- Sejarah keluarga: Genetik juga memainkan peranan yang besar dalam struktur dan perubahan badan anda. Ini termasuklah pembentukan spider veins pada payudara anda. Sekiranya memang ada ahli keluarga yang mempunyai spider veins semasa kehamilannya, ada kemungkinan anda juga tidak boleh mengelak kerana ia berkaitan genetik anda.
- Penyakit mondor: Keadaan benigna (bukan kanser) yang disebabkan oleh keradangan juga membawa kepada pembentukan spider veins. Ia boleh berlaku pada wanita dan lelaki, tetapi ia lebih kerap ditemui pada wanita. Ia mungkin disebabkan oleh senaman keras, coli yang ketat atau pembedahan. Namun anda perlu lebih berhati-hati kerana ini juga boleh jadi tanda awal kanser.
- Payudara besar : Payudara yang lebih besar biasanya mempunyai urat yang lebih jelas kelihatan. Ia juga mungkin boleh muncul apabila anda tiba-tiba mengalami pertambahan berat badan.
- Pembedahan pembesaran payudara : Menurut kajian 2009, urat boleh menjadi lebih menonjol selepas pembedahan pembesaran payudara. Kajian itu menyebut bahawa ramai wanita tidak menyedari peningkatan keterlihatan dan malah ada juga yang tidak terganggu olehnya. Jadi jika anda akan menjalani pembedahan pembesaran payudara, ini mungkin sesuatu yang perlu dipertimbangkan.
Cara merawat spider veins pada payudara
Semasa kehamilan, payudara anda boleh membina urat yang membonjol dan itu boleh menjadi sangat tidak selesa.
Tetapi ini adalah fenomena semula jadi melainkan terdapat keadaan yang luar biasa. Namun pasti anda terfikir apakah spider vein berbahaya? Mungkin ada juga yang takut dan terfikir pembuluh darah pecah di bawah kulit.
Sebenarnya tidak ada perkara yang perlu anda bimbangkan atau perlu rawatan segera sekiranya ia tidak disertai dengan sebarang kesakitan dan sebagainya kerana urat-urat ini akan kembali tidak kelihatan dalam beberapa waktu.
Tetapi jika anda sedang menyusu, spider veins ini akan kekal ketara. Ia akan mula pudar apabila bayi anda berubah kepada makanan pepejal dan dalam fasa bercerai susu.
Walau bagaimanapun, jika kemunculan urat ini terus kelihatan dan menganggu kehidupan seharian anda, ada baiknya pergi berjumpa dengan pakar dermatologi kosmetik.
Mereka mungkin akan mencadangkan beberapa rawatan yang boleh merawat permasalahan pembuluh darah ini. Antara rawatan yang boleh dibuat termasuklah:
- Rawatan laser: Doktor boleh menggunakan terapi laser Endovenous untuk mengecut atau memusnahkan urat tertentu.
- Skleroterapi: Ia melibatkan suntikan pada urat dengan bahan kimia yang mengecutkannya.
- Ablasi frekuensi radio: Ini juga boleh merawat kanser payudara kecil dan setempat
Bolehkah anda mencegah spider veins pada payudara?
Jika saiz payudara anda lebih besar dan mempunyai sejarah keluarga yang memilikinya, anda tidak boleh mencegah spider veins saat hamil. Namun bagi sesetengah wanita, ada yang cuba menyembunyikannya dengan solekan atau rawatan kulit.
Namun, rawatan kulit ketika hamil tidak digalakkan dan adalah lebih baik untuk mengelakkan rawatan ini semasa kehamilan. Ini kerana kesan jangka panjang bahan aktif seperti dihydroxyacetone pada kehamilan masih belum dikaji.
Mungkin anda boleh cuba beberapa cara untuk mengelak kemunculan ketara spider veins pada payudara anda semasa kehamilan dengan cara-cara ini:
- Pastikan anda mencapai pengambilan vitamin C yang disyorkan harian anda. Vitamin C membantu dalam penghasilan kolagen dan elastin, dua tisu penghubung penting yang membantu membaiki dan mengekalkan urat.
- Bersenam dengan kerap. Mengekalkan berat badan yang sihat akan meningkatkan peredaran darah, dan mengurangkan tekanan pada urat anda.
- Pakai bra yang sesuai. Terimalah ibu, saiz coli anda akan berubah sepanjang kehamilan, jadi anda tidak selesa dengan coli lama dan rasa terlalu ketat, bertukarlah kepada saiz yang lebih besar. Pastikan payudara anda sentiasa disokong dan mempunyai ruang untuk bernafas semasa memakai coli. Adalah lebih baik untuk anda elakkan pakaian yang ketat.
Ketahuilah bahawa ini adalah cara badan anda bersiap sedia untuk ketibaan bayi dan juga selepas bersalin apabila anda memilih untuk menyusu. Semasa kehamilan badan akan akan mempersiapkan segala yang perlu untuk kelahiran bayi nanti.
Sebaik sahaja bayi anda mula makan makanan pejal urat ini akan hilang dengan sendirinya. Kemunculan spider veins bukan sesuatu yang membimbangkan jika ia tidak disertai bengkak, rasa hangat bila disentuh, berdenyut atau membuatkan anda sakit dan rasa tidak selesa.
Sekiranya anda rasa tidak selesa dan disertai kesakitan, segeralah bertemu dengan doktor kerana ia mungkin tanda penyakit lain yang tidak diketahui dan boleh bawa kemudaratan kepada anda serta bayi dalam kandungan.
- Kimmel Institute (June 11, 2020). Treating Varicose and Spider Veins on Your Breasts. thekimmelinstitute.com/treating-varicose-and-spider-veins-on-your-breasts/
- Kimmel Institute (July 6, 2020). Are the Veins on Your Breasts Just Varicose Veins, or a Sign of Cancer? thekimmelinstitute.com/are-the-veins-on-your-breasts-just-varicose-veins-or-a-sign-of-cancer/
- Thomson Specialist Skin Center (n.d). Pregnancy Skin Condition. thomsonspecialistskincentre.com/our-services/medical-dermatology/pregnancy-skin-conditions/
Artikel ini mendapat kebenaran untuk diterjemahkan daripada theAsianparent Singapura.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Ini Perkara Penting Tentang Perkembangan Ibu & Janin Di Setiap Trimester Kehamilan
Baca juga: Tanda Awal Kehamilan Yang Paling KETARA, Ibu Tidak Sedap Badan & Keluar Keputihan
Baca juga: Diskriminasi Kehamilan: Kebenaran Yang Tidak Diceritakan