Setelah memasuki alam perkahwinan, setiap pasangan akan berdepan pelbagai pahit manis bersama. Jika suami isteri bahagia dan saling bertolak ansur, sebarang ujian yang datang dapat dilalui dengan mudah.
Tidak dinafikan untuk mencapai impian bahagia bersama pasangan hidup bukanlah sesuatu perkara yang mudah tanpa pengorbanan. Perkongsian berguna daripada Ustaz Don Daniyal baru-baru ini telah mendapat perhatian ramai khususnya para suami dalam mengekalkan keharmonian rumah tangga.
Nasihat berguna untuk suami isteri bahagia
Melalui media sosial Facebook penceramah populor, Ustaz Don telah meluahkan rasa bersyukur kerana keadaan rumah tangganya kini melepasi fasa ujian (5 atau 6 tahun pertama dalam sesebuah perkahwinan).
Menurutnya lagi jika suami isteri masih berpegangan tangan walaupun sudah berkahwin selama 6 tahun, ia adalah sesuatu petanda yang baik.
Ada dua perkara yang ditekankan oleh beliau untuk mengekalkan hubungan rumah tangga dan menjadi suami isteri bahagia, iaitu:
#1. Melaksanakan tanggungjawab
Secara umumnya, ada dua perkataan iaitu ‘tanggung’ dan lagi satu adalah ‘jawab’. Seolah-olah nak kata dekat kita bahawa ”pandai-pandai tanggung dan pandai-pandailah jawab.”
Fokusnya di sini ialah perasaan tanggungjawab yang hadir dalam diri setelah mendirikan rumah tangga. Perkara inilah membuatkan setiap manusia menjadi makhluk berjaya dalam semua bidang.
“Kita biasa buat salah, bertanggungjawablah. Kita biasa salah buat keputusan, bertanggungjawablah. Kita biasa tersilap langkah, bertanggungjawablah. Kita berani ‘buat’, bertanggungjawablah.
“Kita biasa main mesej dengan perempuan lain, bertanggungjawablah. Kita biasa marah anak sampai nangis, bertanggungjawablah. Kita biasa guna duit ‘overspending’, bertanggungjawablah.
“Last but not least, kita pilih isteri kita, bertanggungjawablah.”
#2. Menunaikan solat secara berjemaah di rumah
Ia bagaikan membawa sebuah keajaiban dalam rumah tangga.
”Saya tak tahu nak kata macam mana, tapi yang pasti cubalah buat sebab solat berjemaah bersama isteri boleh menyelesaikan semua masalah. Percayalah.”
”Allah kan Maha Mendengar, Maha Melihat, lagi Maha Mengetahui. Tambahan pula, Allah Maha Bijaksana. Jadi ajaklah pasangan solat bersama dan jangan pernah tinggal.” kongsinya.
Sekiranya anda terlambat, pastikan untuk qadha atau menggantikan semula solat berkenaan. Jika isteri lalai dan terlupa, sentiasa ingatkan dia untuk mengejarkan kewajipan ini dahulu.
Sekiranya isteri malas ataupun tidak pandai solat, bimbinglah dia dan ajar sebaik mungkin. Jika pasangan tengah lena tidur, bagi dia sedikit masa sebelum habis waktu untuk bangun dan ambil air wudhuk.
Walau apa sekalipun, jangan kalut atau guna kekerasan dalam mendidik isteri dan anak-anak. Nabi Muhammad S.A.W dengan ahli keluarganya pun sentiasa relaks. Mungkin susah pada awalnya sahaja, apabila sudah terbiasa akan jadi mudah!
Tips menjemput rezeki dengan memperbetulkan dua perkara
Sekiranya dua tips ini dijaga dengan baik, rezeki seperti rumah, wang dan kenderaan pasti akan menyusul suatu hari nanti. Bagi ketiga-tiga aspek ini, Ustaz Don menerangkan kesemuanya tidak mustahil untuk dimiliki mengikut kemampuan masing-masing.
Hal yang paling penting adalah sentiasa bersyukur apabila sudah memilikinya.
#1. Rumah
Setiap suami perlu menyediakan sebuah rumah yang selesa tidak kiralah sewa ataupun beli. Isteri sebenarnya tidak kisah untuk hidup susah bersama anda asalkan dalam sebuah kediaman yang tidak dicampuri oleh insan lain.
#2. Kewangan
”Tolong jangan jadi seperti saya, umur 35 tahun baru belajar untuk menjaga dan mengurus duit dengan baik. Nanti menyesal tidak sudah,” pesan Ustaz Don.
Tambah beliau, belajarlah ilmu pengurusan kewangan agar dapat memberikan kesenangan kepada isteri dan anak-anak kelak melalui platform Youtube, Google mahupun Facebook.
#3. Kenderaan
Kenderaan untuk kegunaan isteri dan keluarga kena ada. Tidak kisahlah sama ada motorsikal ataupun kereta bersaiz kecil. Asalkan ia selesa dan boleh digunakan dengan baik.
Kesimpulannya, alam rumah tangga adalah cukup indah bagi pasangan suami isteri yang sentiasa bersyukur dan saling menghargai. Suami memainkan peranan besar dalam menentukan kebahagian hati isteri dan anak-anak.
Tanpa ilmu rumah tangga, nescaya kehidupan anda menjadi suram. Justeru, turunkanlah ego dan belajar untuk menghargai insan yang ada di hadapan mata sebelum dia pergi untuk selamanya.
Sumber: Pnews
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga:
https://my.theasianparent.comrumah-tangga-tidak-bahagia