Ini Perkara PENTING Ibu Perlu Tahu Mengenai Vaksin Pneumokokal!

Kementerian Kesihatan Malaysia memaklumkan suntikan pneumococcal diberikan secara percuma bermula 1 Disember ini kepada semua bayi yang lahir Januari 2020

Melalui kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan mengenai pelaksanaan pemberian suntikan pneumococcal di bawah Program Imunisasi Kebangsaan untuk kanak-kanak di kesemua klinik kesihatan KKM seluruh negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdulllah berkata vaksin pneumokokal konjugat (PCV) ini diberikan bagi mencegah penyakit yang berpunca oleh jangkitan bakteria Streptococcus pneumoniae atau pneumokokus dan boleh mengakibatkan penyakit radang paru-paru (pneumonia), radang sinur (sinusitis), jangkitan telinga tengah (otitis media), radang selaput otak dan saraf tunjang (meningitis) dan jangkitan bakteria dalam darah (septicaemia).

Baca juga: 11 Suntikan Vaksin Ini WAJIB Diambil Oleh Anak-Anak 

Pemberian percuma suntikan pneumococcal

credit to sources

Tambahnya lagi, komplikasi penyakit pneumokokal ini termasuklah masalah cacat pendengaran, kecacatan bahagian otak dan kematian.

”Manakala suntikan pneumococcal yang diberikan adalah bertujuan untuk mengurangkan kadar morbiditi dan mortaliti akibat penyakit pneumokokal dalam kalangan kanak-kanak berumur 5 tahun ke bawah.”

”Ia sekaligus dapat mengurangkan kos bagi merawat penyakit ini dan komplikasinya. Meskipun penyakit pneumokokal boleh dirawat melalui pemberian antiobiotik, namun sebenarnya terdapat beberapa strain bakteria pneumococcus memiliki kerintangan tinggi terhadap antibiotik,” jelasnya.

Dengan tawaran percuma PCV ini, kanak-kanak akan diberikan sebanyak 3 dos, iaitu 2 dos primer pada usia 4 bulan dan 6 bulan dan diikuti dengan 1 dos penggalak (booster) setelah bayi berusia 15 bulan.

Buat temu janji terlebih dahulu dan elak bersesak dengan orang ramai

Katanya, bayi yang lahir bermula 1 Januari 2020 dan seterusnya layak menerima suntikan vaksin pneumokokal ini di seluruh klinik kesihatan KKM. Ibu ayah dinasihatkan untuk membuat temu janji terlebih dahulu bagi mengelakkan kesesakan. 

Anda juga perlulah mematuhi SOP norma baharu dalam usaha mencegah penularan wabak Covid-19.

Manakala bagi kanak-kanak lahir pada 1 Januari 2020 dan seterusnya yang sudah berusia 5 bulan atau lebih, jadual imunisasi pneumokokal akan disesuaikan mengikut umur oleh klinik kesihatan KKM.

credit to sources

Selain itu pihak KKM turut memberikan kebenaran kepada ibu ayah mempunyai anak yang dilahirkan bermula 1 Januari 2020 dan seterusnya sudah mengambil 1 atau 2 dos suntikan vaksin pneumokokal di fasiliti kesihatan swasta bagi memilih melengkapkan jadual imunisasi pneumokokal di fasiliti kesihatan swasta atau di klinik kesihatan KKM.

Walau bagaimanapun Dr Noor Hisham berkata, pemberian suntikan pneumococcal di fasiliti kesihatan swasta adalah tertakluk kepada caj yang dikenakan. Bagi anda yang memilih untuk melengkapkan imunisasi pneumokokal di klinik kesihatan KKM, dinasihatkan membawa bersama rekod imunisasi anak bagi memudahkan urusan penjadualan imunisasi oleh anggota kesihatan di klinik kesihatan KKM.

”Vaksin yang akan digunakan dalam Program Imunisasi Kebangsaan bagi tempoh dua tahun pertama pelaksanaan adalah vaksin PCV-10 (Synflorix) yang memberi perlindungan terhadap 10 serotype bakteria pneumokokus yang merangkumi serotype 1, 4, 5, 7F, 9V, 14, 18C, 19F dan 23F serta memberi perlindungan cross reactivity terhadap serotype 19A.” jelasnya.

Hampir 156 buah negara telah menjalankannya

Mengulas tahap keselamatan PCV, Dr. Noor Hisham berkata berdasarkan pemantauan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di peringkat global sehingga 30 Jun lalu, sebanyak 156 negara telah menyenaraikan vaksin ini dalam Program Imunisasi Kebangsaan mereka.

credit to sources

Ia adalah seperti vaksin yang lain digunakan dalam Program Imunisasi Kebangsaan. Vaksin ini adalah selamat dan berkesan. Bagi memastikan semua suntikan berdaftar digunakan di dalam negara kita terjamin selamat, kesan advers susulan imunisasi vaksin telah dipantau secara rapi oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) KKM.

Untuk tujuan ini, Dr. Noor Hisham berkata ibu ayah boleh melaporkan sebarang kesan advers yang dialami oleh anak mereka kepada anggota kesihatan selepas menerima setiap suntikan dengan mengembalikan borang pelaporan, walaupun kesan yang dialami adalah ringan seperti merah di tempat suntikan tersebut.

Sekiranya anda terdapat sebarang kemusykilan tentang pelaksanaan pemberian vaksin pneumokokal ini, sila hubungi KKM di talian 03-88834003 pada hari Isnin sehingga Jumaat (tidak termasuk cuti umum) dari jam 9 pagi hingga 5 petang atau boleh mengajukan apa-apa persoalan kepada emel imunisasi@moh.gov.my. 

Ibu ayah juga boleh mengunjungi mana-mana klinik kesihatan yang berdekatan bagi mendapatkan penjelasan lebih lanjut.

Sumber: Kpkesihatan, Harian Metro

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia