Pengalaman menyusukan anak sememangnya merupakan satu pengalaman istimewa dan berharga buat mana-mana ibu. Dan sudah pasti, ada di antara ibu yang juga mempunyai cabaran dalam menyusukan anak. Salah satu cabaran yang dihadapi oleh ibu adalah untuk memastikan bayi mendapat susu yang mencukupi. Kadang-kala ia sukar, tapi ada bantuan iaitu supplemental nursing system untuk membantu anda.
Apabila ibu mengalami masalah kekurangan susu, mulalah ini menyebabkan banyak ibu rasa panik dan sedih kerana tidak dapat memberikan susu badan kepada anak dengan sempurna. Alahai, ibu jangan bersedih ya! Kerana ibu-ibu masih mempunyai pilihan untuk memberikan yang terbaik kepada anak dan juga memberikan anak anda susu secukupnya.
Oleh itu, perkongsian kami kali ini berkisar mengenai Supplemental Nursing System yang boleh membantu ibu-ibu di luar sana untuk menggalakkan pengeluaran susu badan dan membantu anda menyusu dengan mudah. Semoga perkongsian ini bermanfaat buat ibu-ibu!
Apa itu Supplemental Nursing System?
Supplemental Nursing System (SNS) ini kalau ibu nak tahu adalah sejenis alat yang membantu ibu-ibu dalam pemberian susu badan kepada bayi dan memberikan khasiat tambahan kepada bayi.
Untuk penggunaan SNS ini, sebuah tiub halus akan diletakkan berhampiran puting ibu untuk bayi menyusu dan bahagian hujung tiub pula diletakkan pada bekas yang mengandungi susu ibu atau pun susu formula.
Apa yang berlaku adalah pelocok akan ditekan ke bawah sewaktu bayi menyusu dan akan keluar susu daripada tiub. Ini untuk merangsang bayi untuk menghisap lebih lama pada payudara. Jadi, anak anda tidak akan merasai perbezaannya. Anda juga boleh letakkan bahagian hujung tiub pada botol. Tapi, anak anda perlu berusaha lebih untuk menghisapnya.
Faedah supplemental nursing system untuk ibu
Dengan adanya alat bantuan untuk ibu menyusu ini, ibu-ibu boleh menarik nafas lega dalam menyusukan anak. Jom kita baca apakah faedah-faedah SNS untuk ibu.
- Membantu merangsang susu ibu atau bekalan susu ibu melalui bayi yang menghisap susu secara langsung.
- Membantu ibu dalam pemberian susu badan di samping masih memberikan khasiat kepada bayi melalui payudara.
- Menolong dan melatih bayi untuk menghisap dengan betul dan baik melalui vakum pada payudara.
- Merapatkan hubungan antara anak dan ibu yang mana SNS menolong ibu menyusukan anak melalui payudara.
- Menjimatkan masa ibu daripada perlu menyusu badan dan perlu beri penambahan susu secara berasingan.
- Membantu bayi angkat untuk minum melalui payudara.
Siapa yang memerlukan supplemental nursing system?
Adakah anda memerlukan supplemental nursing system untuk membantu penyusuan susu badan anak anda? Atau adakah anda masih tidak pasti? Apa kata anda lihat senarai di bawah.
- Ibu yang mempunyai bekalan susu yang tidak mencukupi untuk anak mereka.
- Ibu yang ingin memberi khasiat tambahan dengan susu formula untuk anak disebabkan ketidakcukupan susu badan.
- Bayi yang mempunyai masalah dalam menghisap puting
- Bayi yang dilahirkan pra-matang
- Bayi yang menghidapi masalah down syndrome, lip claft atau masalah yang melibatkan otak.
Tips nak gunakan supplemental nursing system
Penggunaan supplemental nursing system ini mungkin adalah sesuatu yang tidak biasa untuk ibu dan perlukan ibu untuk berkerja keras sedikit. Tetapi, lama-kelamaan dengan penggunaan yang kerap, ibu akan terbiasa dengan SNS ini. Hanya perlu sedikit masa sahaja. Bagi ibu yang berminat menggunakan alat SNS ini, ibu bolehlah rujuk di farmasi berdekatan atau dapatkan di kedai bayi.
#1 Rujuk arahan terlebih dahulu
Nak gunakan alat ini perlu ilmu terlebih dahulu agar ia memudahkan anda kelak. Lebih baik anda baca arahan penggunaannya sebelum anda mencuba dan lebih baik juga, jika anda boleh minta bantuan pekedai untuk memberikan demonstrasi kepada anda tentang bagaimana nak gunakan.
#2 Boleh buat alat SNS secara DIY
Bagi ibu yang lebih gemarkan untuk membuat sendiri alat SNS ini boleh sahaja. Tetapi pastikan ibu-ibu ada alat yang sesuai dan tahu bagaimana nak buat. Ibu-ibu juga boleh baca perkongsian tentang alat supplemental nursing system DIY di Google tentang cara untuk hasilkan SNS sendiri.
#3 Penggunaan masking tape
Ramai ibu yang menggunakan SNS berpendapat bahawa penggunaan masking tape adalah tidak perlu kerana ia menyebabkan ketidakselesaan pada kulit ibu. Tetapi, buat permulaan anda boleh pakai masking tape untuk membiasakan diri anda dengan posisi tiub untuk ke puting. Sedikit tips untuk anda, anda boleh sahaja gunakan jari anda untuk memastikan tiub tersebut kekal di tempatnya. Apa-apa pun ikut pilihan ibu ya.
#4 Posisi tiub
Posisi tiub pun ada peranannya juga. Apa yang anda boleh lakukan adalah dengan meletakkan tiub pada bentuk S. Ini kerana jika anda meletakkan tiub secara lurus, ianya akan menyebabkan pengaliran susu menjadi laju. Nak perlahankannya mudah sahaja, bentukkan tiub kepada bentuk S.
#5 Panaskan dan goncangkan susu
Adalah lebih baik jika anda goncangkan susu formula sebelum anda menyambungkan tiub kerana besar kemungkinan akan ada serdak susu yang akan menyumbat tiub. Seeloknya juga anda panaskan susu sama ada susu formula ataupun susu badan untuk mengelakkan pengaliran susu menjadi tidak lancar.
Kami harap informasi tentang supplemental nursing system dapat membantu anda dalam perjalanan menyusukan anak.
Semoga berjaya!
Sumber: Milkandmotherhood.com, Asibayi.com
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca Juga: Susu badan anda sebenarnya bukan sedikit atau kurang jika…