Susu ibu berlebihan
Elisabeth Anderson-Sierra, seorang ibu dari Amerika Syarikat menghasilkan susu ibu berlebihan setiap hari, hingga beliau ada kira-kira 5,000 auns susu yang disimpan dalam peti sejuknya.
Dia juga mengepam sekitar 6 liter susu ibu setiap hari selain menyusukan bayinya yang baru berusia 6 bulan.
Orang ramai tertanya-tanya apakah penggalak susu ajaib yang menyebabkan Elisabeth mampu menghasilkan susu dengan banyak?
Sebenarnya dia tidak mengambil apa-apa pun. Badannya cuma tidak berhenti menghasilkan susu.
Susu berlebihan kerana hiper laktasi
Elisabeth didiagnosis dengan keadaan yang dikenali sebagai hiper laktasi.
Menurut ahli pediatrik Lori Feldman-Winter, kes ini adalah kes hiper laktasi yang kronik.
Ini kerana secara umum, kebanyakkan ibu menyusu yang menghasilkan susu berlebihan hanya akan mengalami penambahan yang sedikit sahaja (misalnya menghasilkan 1100ml dan bukannya 800ml!).
Semua susu ini didermakan
Ibu yang murah hati ini memastikan susu ibu berlebihan yang dihasilkan beliau diderma kepada mereka yang memerlukannya.
Setengah daripada susu itu dihantar ke bank susu, dan selebihnya diderma kepada ibu-ibu tempatan yang memerlukannya.
Dalam sebuah temubual dengan People, beliau berkata,
“Ini satu-satunya cara saya dapat menyumbang kepada komuniti saya.”
Elisabeth mula menyumbangkan susunya ketika menyusu anak perempuan pertama beliau – Sophia, yang dilahirkan pada tahun 2014.
Tapi, apabila anak keduanya Isabella dilahirkan, baru Elisabeth mula menderma susu dengan lebih serius.
Ingin membantu ibu-ibu menyusu lain
Selepas berada dalam bilik bersalin selama 30 jam, Elisabeth terlalu letih untuk menyusukan Isabella 24 jam selepas bersalin.
Oleh itu, Isabella diberi susu badan sumbangan dari ibu lain.
Ini adalah pengalaman yang mendorong Elisabeth untuk menjadi penderma susu ibu bagi membantu ibu-ibu lain yang mungkin berada dalam keadaan yang sama.
Elisabeth meluangkan masa sebanyak 10 jam sehari untuk sesi mengepam susu.
Ini termasuk masa yang digunakan untuk membasuh dan mensteril, menukar botol pada pam, mengepam susu, memasukkan susu ke dalam beg susu, menimbang beg susu, melabelkan setiap beg dan bekas susu, menyusun, dan menyimpan susu beku.
Lihatlah bekalan yang beliau ada ini!
Bekalan susu ibu berlebihan
Ramai ibu menyusu melihat masalah bekalan susu ibu berlebihan sebagai ‘masalah yang baik‘.
Tapi hakikatnya, menghasilkan susu ibu yang terlalu banyak (jika tidak diurus dengan betul), boleh menyebabkan masalah seperti saluran payudara yang tersekat dan mastitis.
Inilah sebabnya mengapa anda perlu berhati-hati apabila mengepam kerana susu ibu dihasilkan mengikut keperluan dan permintaan.
Apabila anda mengepam secara berlebihan, badan anda mungkin akan menghasilkan susu ibu yang berlebihan juga.
Ibu boleh mengepam susu berlebihan apabila ia diperlukan sahaja, kalau tidak, tak berbaloi untuk merangsang payudara tanpa sebab.
Sekiranya badan anda menghasilkan susu ibu berlebihan tanpa sebab atau rangsangan, dapatkan nasihat pakar dan jumpa doktor untuk memastikan anda tidak mempunyai masalah kesihatan lain seperti masalah tiroid.
Sumber: Essential Baby
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga:
Ibu Ini Berjaya Mengepam 8 Gelen Bekalan Susu Badan! Bagaimana Dia Buat?