Tidak semua ibu dianugerahkan memiliki susu badan yang banyak bagi memenuhi keperluan harian si manja. Siapa sangka Allah memberikan ujian kepada wanita ini apabila dia menangis kecewa setelah mendapati bekalan susu tumpah dalam beg simpanan untuk anaknya.
Sememangnya kesemua ibu di dunia ini dinasihatkan untuk melakukan penyusuan eksklusif kepada si manja dalam masa 6 bulan pertama kelahirannya sehinggalah memasuki usia 2 tahun.
Kisah susu tumpah yang membuatkan airmata seorang ibu jatuh
Baru-baru ini, seorang wanita dikenali sebagai Fadia Hani Apandi hanya mampu terduduk dan menangis selepas melihat stok susu yang dikumpul tertumpah dalam beg tahan sejuk.
Keadaan menghibakan ini telah dikongsi oleh suaminya sendiri, Syukri Shahdan di laman media Facebook miliknya berserta dengan beberapa keping gambar. Berdasarkan posting berkenaan, dia turut memuat naik kapsyen dengan bertanyakan rakan-rakan adakah turut mengalami perasaan yang sama sekiranya berdepan masalah susu tumpah.
”Adakah ini berlaku kepada semua ibu atau hanya bini aku. Menangis sebab susu tumpah dalam beg. Kesian mama, sedaya upaya sediakan susu untuk anak.” ujarnya.
Persoalan berkenaan telah mendapat reaksi dari pengguna media sosial tersebut. Rata-ratanya mengakui bahawa ia bukanlah ‘tugas’ yang begitu mudah untuk mengumpul setitis susu badan, selain menjadi sesuatu yang amat bernilai buat para ibu kerana ia memerlukan usaha luar biasa.
Cara menyimpan dan mengendalikan stok susu perahan
#1. Menyediakan tempat menyimpan susu
Ibu dinasihatkan menyimpan stok susu dalam botol kecil atau beg plastik dalam 3 atau 4 oz setiapnya bagi mengelakkan berlakunya pembaziran. Jangan lupa meletakkan label tarikh perahan.
#2. Perlu tahu jadual simpan susu
Susu yang baru diperah dapat bertahan selama 4 jam pada suhu bilik. Manakala, susu yang baru diperah dan disimpan dalam peti ais bahagian bawah selamat diberikan kepada bayi dalam tempoh 48 jam.
Bukan itu sahaja, susu yang disimpan dalam bahagian chiller (bahagian bawah) dapat bertahan 3 hingga 4 hari. Jika anda ingin membekukan susu badan, perlu diletakkan di bahagian chiller terlebih dahulu selama 30 minit agar ia sejuk, kemudian barulah dipindahkan di bahagian sejuk beku.
Ketahanan susu yang dibekukan
- Peti sejuk 1 pintu: 2 minggu
- Peti sejuk 2 pintu: 3 bulan
- Deep freezer: 6 bulan
#3. Catat tarikh perahan
Gunakan stiker putih dan catat tarikh perahan untuk setiap bekas. Ini adalah untuk memudahkan anda mengesan expired bagi setiap stok simpanan susu tersebut.
#4. Jangan campurkan susu sesuka hati
Susu yang hendak dicampur mestilah pada hari yang sama sahaja. Pastikan juga suhu kedua-duanya dalam keadaan sejuk.
Sebagai contoh anda pam susu pada waktu pagi dapat 2 oz, kemudian simpan dalam peti. Pam lagi sekali pada waktu tengah hari dapat 2 oz dan simpan dalam peti. Apabila kedua-duanya telah sejuk, suhu sama, barulah boleh mencampurkannya dalam 1 botol.
Jangan campurkan susu yang sejuk dengan susu baru dipam kerana tindakan sebegii boleh merosakkan struktur susu.
Masalah yang sering membelenggu para ibu
Aktiviti menyusukan bayi selama enam bulan sememangnya bukanlah perkara mudah untuk dilakukan dan sesetengah ibu mungkin tidak dapat menjayakannya. Malah di Malaysia, kurang daripada 15 peratus bayi menerima susu badan secara eksklusif selama 6 bulan pertama dalam kehidupan mereka.
Hal ini adalah ibu-ibu berdepan dengan cabaran seperti:
#1. Ramai ibu yang baru melahirkan bayi berasa tawar hati dan ada kalanya menyerah kalah kerana mereka fikir telah gagal akibat tidak dapat menghasilkan susu secukupnya untuk bayi.
#2. Sesetengah ibu takut untuk memulakan penyusuan kerana menjangkannya adalah sesuatu yang menyakitkan dan tidak selesa.
#3. Ada juga terlalu sibuk di tempat kerja dan terlalu penat dengan tugasan seharian.
#4. Kurang mendapat sokongan daripada pasangan, ahli keluarga dan ilmu tentang penyusuan.
#5. Perahan susu ibu terlalu sedikit menyebabkan ibu berasa tidak berbaloi menghabiskan masa dan tenaga untuk mengepam. Akhirnya anda akan membuat keputusan untuk memberhentikan penyusuan.
Sumber: Syukri Shahdan, Mypositive parenting, Ibu mikha
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga:
https://my.theasianparent.comrasa-susu