Dengan kes positif Covid-19 yang semakin meningkat di negara ini, tidak mustahil ia akan menjangkiti sesiapa saja termasuklah ibu hamil. Ada ibu hamil yang diarahkan swab test berikutan menjadi kontak rapat dan sebagainya.
Pasti ramai ibu yang risau bila perlu buat swab test kerana risaukan keadaan bayi dalam kandungan.
Kali ini kami kongsikan jawapan doktor mengenai apa ibu hamil perlu tahu jika diarah swab test dan keputusannya menunjukkan dia positif Covid-19.
Swab test tunjuk keputusan positif? Apa yang ibu hamil perlu tahu
Menurut Pakar Perunding Obstetrik & Gynaecology, Dr Imelda Balchin, ramai yang bertanya kepadanya jika ibu hamil dikehendaki swab test dan positif Covid-19. Menurutnya, apa yang ibu perlu tahu adalah:
#1. Virus tak boleh masuk uri
Sekiranya ibu hamil positif, virus ini tak boleh masuk uri/plasenta untuk menjangkiti janin di dalam kandungan. Hampir semua kes bayi yang baru dilahirkan negatif sebab janin di dalam kandungan dilindungi sehingga dilahirkan.
Dalam kebanyakan kes, selepas dilahirkan baru boleh dapat jangkitan dari ibunya sekiranya ibu nya masih dalam infectious phase iaitu fasa yang masih boleh berjangkit.
#2. Tidak meninggikan risiko janin dapat kecacatan
Sekiranya ibu hamil positif, ini tidak meninggikan risiko janin mendapat kecacatan, iaitu tidak ada perbezaan dari segi kecacatan bila dibandingkan dengan janin kepada ibu hamil yang tiada jangkitan.
#3. Ibu masih boleh menjangkiti orang lain/bayi
Ibu yang positif yang masih dalam fasa yang boleh menjangkiti orang lain hanya boleh menjangkiti bayi yang baru dilahirkan sekiranya bayi tidak diasingkan dari ibunya selepas bersalin.
#4. Tidak bergejala
Sekiranya ibu hamil positif, kebanyakan (75%) ibu hamil tidak ada gejala, iaitu tahap 1 dan tidak memerlukan apa-apa rawatan.
#5. Kuarantin di hospital
Walaupun kebanyakan ibu hamil tiada gejala, protokol hospital Kementerian Kesihatan mengutamakan ibu hamil untuk dikuarantinkan di hospital supaya dipantau rapi oleh petugas kesihatan barisan hadapan, supaya sekiranya mendapat gejala serius, boleh mendapat rawatan dengan lebih cepat.
#6. Tidak memudaratkan bayi jika gejala ringan/tiada gejala
Untuk ibu yang tiada gejala atau gejala ringan, ini selalunya tidak memudaratkan bayi dari segi kesihatan bayi dan pembesaran bayi, maka tidak perlu membuat ultrasound scan dengan lebih kerap dari biasa.
#7. Boleh bersalin normal
Bila ibu hamil yang positif sembuh dan risiko untuk menjangkiti orang lain rendah, ibu hamil tak perlu lagi dikuarantinkan dan akan dibenarkan pulang ke rumah. Boleh bersalin secara normal dan menyusukan bayi seperti biasa.
#8. Jika ibu hamil berusia, berisiko
Kebanyakan ibu hamil yang ada gejala serius dikaitkan dengan usia yang lebih tua, masalah kesihatan obesiti, diabetes atau tekanan darah tinggi.
Ibu hamil yang berisiko tinggi ini ada lebih kecenderungan untuk mendapat gejala yang lebih serius iaitu tahap 3 (ada pneumonia), tahap 4 (memerlukan bantuan pernafasan oksigen) dan tahap 5 (ada kegagalan organ dalaman yang lain).
#9. Perlu dipantau jika berisiko tinggi
Kesihatan dan pembesaran janin ibu hamil yang berisiko tinggi (ada obesiti atau diabetes atau tekanan darah tinggi) memang pun perlu dipantau dengan lebih rapi dengan ultrasound scan sama ada ibu hamil positif atau tidak.
#10. X-ray dada
Sekiranya ibu hamil yang positif dikesyaki ada pneumonia, doktor akan membuat xray dada ibu untuk mengesahkan keradangan paru-paru.
Jangan bimbang, xray dada tidak memberi radiasi yang memudaratkan janin di dalam kandungan. Abdominal shielding iaitu penapis radiasi untuk bahagian abdomen akan digunakan bila xray dibuat di bahagian dada ibu hamil
#11. Ada risiko kelahiran pramatang
Sekiranya kesihatan merosot ke tahap 4 atau 5, ada lebih risiko terpaksa membuat pembedahan Caesarean untuk menyelamatkan kedua-dua ibu dan bayi.
Inilah penyebab kelahiran pramatang, iaitu pembedahan Caesar untuk tujuan menyelamatkan nyawa. Jika ibu hamil tiada gejala, tidak ada sebab untuk kelahiran pramatang.
#12. Ada risiko caesarean
Sekiranya ibu hamil itu dah hampir nak bersalin tetapi mendapat jangkitan: Tidak kira tahap 1, 2, 3, 4 atau 5, kalau ibu masih tinggi risiko menjangkitkan orang lain iaitu masih perlu dikuarantinkan dan tiba-tiba memasuki fasa untuk bersalin, maka protokol Kementerian Kesihatan ialah pembedahan Caesarean Section sebagai langkah keselamatan melindungi bayi yang dilahirkan dan petugas barisan hadapan dari jangkitan.
Pembedahan akan dijalankan dengan bius spinal atau epidural dan bukan bius penuh untuk mengurangkan aerosol virus dari pernafasan ibu mencemarkan udara di dalam dewan bedah.
Bayi yang baru dilahirkan akan diasingkan dari ibu sehingga ibu tidak lagi dalam fasa yang boleh menjangkiti bayi. Tetapi ibu boleh pam susu badan untuk diberikan kepada bayi yang diasingkan dari ibu.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Dr Imelda Balchin
Kredit foto: halodoc
Baca juga: Kenali Perbezaan Selesema Biasa Dengan Simptom Covid-19, Elakkan Virus Ini Merebak!