Baru-baru ini seluruh negara tular dengan kisah yang berlaku pada seorang ibu yang tak sedar mengandung anak kedua. Dia mengatakan bahawa ‘bayi ajaib’ itu benar-benar mengejutkannya dan suami.
Bayangkan selama sembilan bulan, dia tidak mengetahui ada bayi di dalam perutnya dan hanya menyedari ada kepala bayi selepas rasa sakit perut hingga tidak sempat ke hospital.
Tak sedar mengandung, wanita kongsi pengalaman hamil tanpa sebarang tanda
Selalunya kalau dengar pengalaman hamil tanpa tanda seperti ini, mesti kebanyakannya terjadi di luar negara. Segelintir orang yang tidak percaya akan menganggap si ibu hanya hendak dapatkan perhatian sahaja.
Iyalah, macam mana boleh tak sedar mengandung langsung walhal kehamilan selama 9 bulan sudah cukup untuk rasa kelainan pada tubuh.
Berkongsi pengalaman hamil tanpa tanda, Nurul Atikah Mustafa, 24, dia langsung tidak menyedari kehadiran baby dalam perut kerana tidak merasa sebarang pergerakan dan perut tidak membuncit seperti pengalaman mengandung sebelum ini.
Bukan itu sahaja, dia yang hamil tapi haid seperti biasa setiap bulan itu turut mengatakan ada mengambil pil perancang keluarga selepas kelahiran pertama lebih setahun lalu.
Kongsinya lagi, malam sebelum melahirkan bayi ajaib berkenaan, tiba-tiba perut rasa tak selesa seperti masuk angin dan mahu membuang air besar.
Disebabkan oleh kesakitan yang dihadapi bertambah teruk, Atikah kemudiannya mengajak suami ke hospital bagi mendapatkan rawatan lebih lanjut. Namun belum sempat ke hospital, dia telah melahirkan bayi perempuan di atas sofa di ruang tamu yang disambut oleh suami.
Suaminya yang masih terkejut mengatakan tangannya menggigil ketika menyambut anak kedua mereka. Namun dia memberanikan diri melakukan proses menyambut kelahiran berkenaan.
Atikah kemudiannya meminta suami menghubungi pihak ambulans untuk ke hospital.
Meskipun tidak pernah melakukan rawatan atau pemeriksaan di hospital seperti ibu mengandung, Atikah meluahkan rasa bersyukur melihat bayi yang dilahirkan berada dalam keadaan sihat dan sempurna dengan berat 3.7 kilogram.
”Syukur Allah SWT melindungi dan menjaga anak dalam kandungan ini sehingga lahir ke dunia,” katanya.
Tak sedar mengandung dikenali sebagai kehamilan kriptik
Kehamilan kriptik atau cryptic pregnancy adalah keadaan di mana kehamilan terjadi tanpa adanya sebarang gejala pembawakan bayi. Ia boleh membuatkan ibu tidak tahu dirinya sedang mengandung kerana langsung tiada perubahan pada tubuh.
Biasanya cryptic pregnancy ini berlaku kerana kadar hormon hCG yang rendah pada tubuh ibu sehingga kehamilan tidak mampu dikesan dengan baik ketika melakukan ujian darah atau USG.
Hanya satu daripada 450 kes ibu mengandung melibatkan kehamilan kriptik ini. Umumnya ibu tidak menyedari adanya perubahan tubuh ketika mengandung sehinggalah memasuki usia 20 minggu atau pertengahan trimester kedua.
Namun begitu, ada juga kes ibu benar-benar tidak sedar kehamilannya sehinggalah tiba detik kelahiran bayi.
Punca hamil tanpa sebarang tanda
#1. Hormon hCG yang rendah
Hormon hCG yang begitu rendah boleh membuatkan alat pemeriksaan kehamilan tidak dapat mengesannya sehingga mendorong terjadinya kes cryptic pregnancy.
Hormon ini dihasilkan oleh plasenta ibu setelah janin yang masih dalam bentuk embrio berjaya menempel pada dinding rahim.
#2. Kadar lemak pada tubuh yang rendah
Beberapa pakar kesihatan berpendapat bahwa kehamilan kriptik juga boleh terjadi disebabkan oleh rendahnya kadar lemak pada tubuh ibu mengandung.
Keadaan ini mendorong berlakunya ketidakseimbangan hormon, sehingga kehamilan menjadi sukar untuk dikesan. Biasanya, kurang lemak tubuh dialami oleh atlet olahraga atau wanita yang terlalu kurus.
#3. Pengaruh kehamilan sebelum ini
Ibu yang baru sahaja melahirkan anak juga boleh mengalami kehamilan kriptik. Ia disebabkan oleh hormon yang masih belum stabil pascamelahirkan sebelum ini.
Kesannya, ibu tidak menyadari bahawa telah terjadi kehamilan yang seterusnya. Lebih-lebih lagi pengalaman mengandung dekat.
#4. Sindrom Ovari Polisistik (PCOS)
Sindrom Ovari Polisistik (PCOS) adalah keadaan yang terjadinya ketidakseimbangan hormon pada tubuh wanita akibat kadar hormon tertosteron yang lebih banyak.
Sindrom ini dikesan dengan munculnya kista pada ovari dan membuatkan kitaran haid menjadi tidak teratur.
Pengalaman tak sedar mengandung juga boleh berlaku apabila ibu menafikan atau menolak kehamilan
Menurut Michael Cackovic, MD, seorang pakar obigyn di The Ohio State University Wexner Medical Centre berkata,
“Ada wanita yang tidak mempunyai rutin seks, tidak mempunyai haid yang teratur atau tidak selalu berjumpa doktor yang menyebabkan dia tak sedar kehamilannya,”
Dalam sesetengah kes pula, wanita lain mempunyai masalah kesihatan mental juga boleh bertindak tidak mengiktiraf atau menerima yang mereka bakal mempunyai bayi.
Keadaan ini dikenali sebagai kehamilan yang dinafikan. Ia sering berlaku dan menurut kajian yang dilakukan mendapati 1 dalam 400 wanita telah berada dalam kehamilan 20 minggu atau kira-kira 5 bulan sebelum mereka sedar ada baby dalam perut mereka!
Bagaimana kehamilan tidak disedari boleh terjadi?
Ada beberapa perkara yang menyebabkan wanita tidak menyedari perubahan pada tubuh semasa mengandung atau hamil tanpa sebarang tanda, antaranya:
#1 Rasa takut atau stres
Bagi seorang wanita yang terlalu menafikan yang dia mengandung, ia boleh jadi satu perkara yang menakutkan apabila benar-benar hamil. Contohnya tidak mengakui yang rasa pergerakan di perut adalah bayi dan hanya angin saja.
Sebagai contoh, seorang remaja boleh menafikan atau mengabaikan kehamilan kerana dia tidak mahu ibu bapanya tahu bahawa dia telah melakukan seks.
Manakala seorang wanita yang sudah berkahwin mungkin melakukan perkara yang sama apabila tidak mahu pengalaman mengandung dekat atau belum bersedia untuk menimang cahaya mata.
Selain itu, sesetengah wanita mungkin mempunyai kehamilan yang ditolak kerana masalah kesihatan mental, seperti gangguan bipolar atau skizofrenia.
#2. Pengalaman mengandung tiada gejala
Bagi sesetengah wanita, dia tidak menunjukkan sebarang perubahan atau tanda dari awal sampailah ke hujung fizikal kehamilan.
Ini termasuklah berat badan, morning sickness, pedih ulu hati atau keletihan. Kadangkala gejala kehamilan sangat ringan sehingga dia tidak menyedarinya langsung!
#3 Perubahan berat badan yang sedikit
Jika seorang wanita berlebihan berat badan atau saiznya sering naik dan turun, dia mungkin tidak melihat berat badan itu sebagai tambahan.
Sekiranya sudah gemuk, dia mungkin tidak mempunyai perasaan fizikal berubah kerana hamil tersebut.
#4 Masalah haid
Seorang wanita boleh mengalami tempoh haid yang tidak teratur kerana tekanan beberapa ubat (seperti pil kawalan kelahiran atau ubat untuk epilepsi), obesiti atau masalah kesihatan seperti sindrom ovarium polikistik (PCOS), diabetes yang tidak terkawal atau gangguan makan.
Jadi apabila tempoh haidnya ‘lari’ sedikit, dia mungkin tidak terfikir pun yang dia mengandung!
Malah ada yang berkongsi pengalaman hamil tapi haid tiap bulan teratur seperti biasa hingga mereka sendiri tidak percaya adanya baby dalam perut.
#5 Tidak merasai gerakan bayi dalam kandungan
Pengalaman mengandung yang biasa ibu-ibu alami adalah merasakan baby dalam perut menendang atau berpusing ketika 18 hingga 20 minggu kehamilan.
Tetapi jika plasenta berada di hadapan rahimnya, atau dikenali sebagai rahim terbalik, dia mungkin tidak merasakan pergerakan itu.
Sesetengah ibu boleh menerima kehamilan dengan baik apabila dia melihat imej ultrasound si kecil. Tetapi doktor biasanya akan mencadangkan penilaian kesihatan mental untuk mengetahui apa yang menyebabkan mereka menafikan kehamilannya.
Ia merupakan satu langkah penting untuk mencegah penyalahgunaan dan pengabaian kanak-kanak, yang biasa berlaku selepas kehamilan yang dinafikan berbanding kehamilan biasa.
Risiko jika ibu tak sedar mengandung
Walaupun wanita boleh hamil dan bersalin secara sihat walaupun tak sedar mengandung, namun ada risiko dalam keadaan sebegini. Misalnya,
- Terlepas dari penjagaan pranatal yang boleh memastikan ibu dan bayi sihat, seperti ujian fizikal, ujian darah, dan imbasan ultrabunyi.
- Tidak akan mengetahui risiko bayi atau ibu sebarang komplikasi, seperti anemia, sejenis tekanan darah tinggi yang disebut preeklampsia, diabetes gestasi atau kecacatan kelahiran.
- Ibu tidak akan tahu sudah tiba masanya untuk membuat perubahan yang sihat yang membantu bayi membesar dan berkembang seperti mendapat nutrisi yang baik, bila untuk hentikan pengambilan alkohol dan menghentikan ubat-ubatan tertentu.
Semoga bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Lepas Bersalin, Ramai Ibu ‘Taubat’ Tak Nak Tambah Anak Lagi, Tapi Tak Sampai Setahun Dah Keluar Baby Baharu!
Baca juga: Tak Sempat Ke Hospital, Wanita Bersalin Sendiri Di Hotel Ketika Ikut Suami Pergi Kursus
Baca juga: Wanita Bersalin Sendiri Di Tepi Jalan, Ditemani 5 Anaknya Yang Berada Dalam Kereta
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!