Walaupun tidak lagi wujud pada zaman ini, dinosaur masih diminati ramai terutamanya kanak-kanak yang menganggap haiwan besar dan bertaring tajam ini amat menakjubkan. Oleh itu, apa kata ibu ayah bawa si manja ke taman dinosaur pada musim cuti sekolah ini!
Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini?
- Taman dinosaur di Malaysia untuk kanak-kanak yang best
- Manfaat anak yang sukakan haiwan dinosaur
Kini di Malaysia, lebih banyak tempat-tempat menarik yang boleh dinikmati bersama keluarga, termasuklah lokasi-lokasi untuk melihat dinosaur yang kini semakin banyak. Jadi, kami kongsikan beberapa tempat menarik untuk anda melihat replika-replika dinosaur bersama si manja.
Taman dinosaur di Malaysia untuk kanak-kanak yang best
Kini, kian banyak taman tema dinosaur yang membangun di Malaysia. Ibu bapa juga jangan risau, taman dinosaur ini bukan hanya di Kuala Lumpur dan Selangor! Bahkan, di Sabah juga sudah ada taman dinosaur. Mari kita tengok di mana anda boleh beriadah sambil menambah ilmu tentang haiwan-haiwan menggerunkan ini.
#1) Dinosaur Encounter Park (Zoo Teruntum)
Pernah tular pada akhir tahun lepas, Zoo Teruntum di Kuantan telah membangunkan sebuah taman dinosaur yang boleh dikunjung bersama keluarga. Di taman ini, anda boleh mendapati replika dinosaur yang seakan-akan betul!
Sekiranya anda sudah puas berjalan di dalam taman dinosaur tersebut, anda boleh berkunjung ke pantai yang berada bersebelahan dengan Zoo Teruntum tersebut. Nikmati angin petang bersama keluarga sesudah melihat dinosaur pasti seronok, kan?
#2) Dinosaur Encounter Park (Zoo Melaka)
Warga Melaka, anda juga boleh menikmati replika-replika dinosaur bersama si manja di Lebuh Ayer Keroh. Sesudah melihat haiwan-haiwan yang comel dan menakjubkan di Zoo Melaka, anda boleh berkunjung ke taman Dinosaur Encounter yang juga berlokasi di zoo tersebut.
Selain dari hanya melihat replika dinosaur, anda juga boleh menikmati beberapa mainan seperti Virtual Ride ataupun si manja boleh berpengalaman menaiki anak dinosaur!
#3) Dinosaur Encounter (Pusat Sains Negara)
Bagi mereka yang mempunyai si cilik yang gemarkan dunia Sains, anda boleh berkunjung ke Pusat Sains Negara. Bukan sahaja anda dapat bermain dan mengalami pelbagai kehebatan Sains, sudah tentulah anda boleh melihat dinosaur bersama si manja di sini.
Di sini, taman dinosaurnya lebih menekankan penimbaan ilmu jadi jika si manja anda memang gemarkan dinosaur, pasti dia akan suka sekiranya dapat mempelajari tentang makhluk reptilia ini dengan lebih mendalam.
#4) Jurassic Land Kiulu
Sabah kekal menjadi suatu tempat terpilih untuk berkunjung bagi tujuan percutian. Jika anda bercuti ke Sabah atau memang menetap di Sabah, kunjungilah Jurassic Land Kiulu ini yang bertempat di Tamparuli.
Selain dari replika-replika dinosaur yang realisitik, terdapat juga pertunjukan langsung dinosaur raptor yang pasti akan menggerunkan sesiapa sahaja yang melihatnya. Si manja anda juga pasti akan teruja melihat replika dinosaur yang realistik, dan boleh bergerak pula tu!
#5) Jurassic Research Centre
Salah suatu destinasi pelancongan yang agak terkenal, Genting Highlands juga mempunyai taman dinosaur yang tersendiri. Dapati haiwan-haiwan prasejarah ini yang direplika dengan sangat realistik!
Saiz dinosaur yang direplika di Jurassic Research Centre mirip saiz aslinya, seperti yang telah dikajikan. Jadi, anda boleh bayangkan betapa besarnya replika dinosaur di taman dinosaur di Genting Highlands ini!
Di sini, anda boleh mengalami dinosaur-dinosaur ini bergerak dan mengaum seakan-akan 165 juta tahun dahulu! Bagi mereka yang mempunyai si manja yang gemarkan dinosaur, taman ini memang wajib dikunjung.
Manfaat anak yang sukakan haiwan dinosaur
Kanak-kanak mempunyai perasaan ingin tahun yang sangat kuat. Jadi pada waktu ini, sekiranya si manja anda menunjukkan minat terhadap dinosaur, galakkan minat mereka.
Mengapa? Terdapat kebaikan pada IQ anak sekiranya anda memperkenalkan kehidupan prasejarah ini kepada mereka!
- Membesar menjadi seorang yang berani. Seperti yang kita maklum, dinosaur adalah sangat menggerunkan disebabkan saiznya yang besar dan taring serta kukunya yang tajam. Si manja yang gemarkan dinosaur, pasti akan membesar menjadi seorang yang berani kerana mereka tidak takutkan reptilia gerun ini.
- Belajar tentang bumi dan kehidupan. Si manja anda pasti tahu bahawa dinosaur sudah tidak lagi wujud, atau erti kata lain, pupus. Maka, dia akan memahami konsep kehidupan di Bumi, dan juga kepupusan sesuatu spesis. Mempelajari tentang kewujudan dan kepupusan dinosaur bersama pemahaman tentang Bumi boleh menjadi pembuka mata untuk si manja.
Jadi, apa tunggu lagi? Bawalah si manja anda bersiar-siar di taman dinosaur sambil menambah ilmu bersama. Tetapi yang penting, jagalah SOP bagi meminimakan risiko jangkitan Covid-19. Selamat bercuti!
Kredit foto: julia johari
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia.
Baca juga: Anak Terlalu Obses Dinosaur Petanda Yang Baik, Bantu Kuatkan IQ & Jadi Lebih Bijak
Baca juga: Senarai Tempat Permainan Kanak-Kanak Indoor Yang Best & Seronok Sekitar Lembah Klang
Baca juga: Bantu Anak Jadi Lebih Berani & Yakin, Ini Senarai Lokasi Rock Climbing Mesra Kanak-Kanak