Artikel theAsianparent Malaysia sebelum ini pernah membincangkan tentang fungsi tali pusat yang membekalkan nutrisi dan oksigen kepada bayi dalam kandungan. Namun begitu, tahukah anda apakah tanda bayi terlilit tali pusat ketika dalam kandungan?
Ini merupakan komplikasi yang wajib diambil tahu oleh setiap ibu hamil kerana kemungkinan bayi anda terlilit oleh tali pusatnya sendiri. Ia berlaku kerana tali pusat dipenuhi bahan lembut dan licin yang dikenali sebagai Jelly Wharton.
Jelly Wharton melindungi saluran darah dalam tali pusat, membantu halang mampatan dan simpulan yang ketat. Namun begitu, adalah perkara biasa jika tali pusat mengelilingi badan bayi semasa kehamilan yang dikenali sebagai nuchal cord.
Berdasarkan artikel yang diterbitkan BMC Pregnancy Childbirth, bayi terlilit tali pusat apabila berlakunya balutan di leher janin hingga 360 darjah.
Menurut pakar perubatan, situasi ini berlaku kira-kira satu dalam tiga kelahiran. Malah ada juga yang mengalami komplikasi serius tapi kebanyakannya bayi lahir adalah sihat.
Tanda bayi terlilit tali pusat- lihat punca mengapa ia terjadi ini dulu
Berikut punca bagaimana bayi boleh terlilit tali pusat di sekitar lehernya:
- Hamil kembar: Dengan pergerakan yang lebih banyak dalam rahim, peluang untuk terjadi kes ini jauh lebih tinggi.
- Jelly Wharton tidak mencukupi: Jelly Wharton berfungsi untuk memelihara tali pusat dengan baik dan sebagai pelincir. Tapi sekiranya ia tidak cukup, tali pusat berpintal mungkin boleh terjadi.
- Panjang tali pusat: Biasanya panjang tali pusat antara 50 ke 60 cm. Penyelidik perubatan mengatakan jika tali pusat panjang, maka kemungkinan untuk terlilit lebih tinggi.
4 simptom atau tanda bayi terlilit tali pusat
Terdapat beberapa simptom jika bayi mengalami keadaan ini:
- Bayi kurang pergerakan: Jika pergerakan kurang direkodkan selepas 37 minggu kehamilan, boleh jadi ada tali pusat di sekitar leher bayi. Dalam tempoh ini juga sepatutnya, bayi menendang sekitar lima hingga 30 minit.
- Kadar denyutan jantung tidak normal: Semasa kelahiran kadar denyutan bayi dipantau secara konsisten. Sekiranya terdapat sebarang kelainan pada kadar denyutan jantungnya kemungkinan tanda bayi terlilit tali pusat.
- Bayi tiba-tiba bergerak kuat kemudian kurang: Jika situasi ini terjadi, kemungkinan bayi sedang berusaha melepaskan lilitan tali pusat dan cuba meringankan tekanan tersebut.
- Ultrasound: Ultrasound sukar mendedahkan tanda bayi terlilit tali pusat. Walau bagaimanapun, sekitar 70% doktor boleh mengesannya jika terdapat sebarang kemusykilan semasa melakukan imbasan kehamilan.
Komplikasi yang mungkin terjadi jika bayi terbelit tali pusat
Ingin ditegaskan di sini juga, tiada apa yang perlu dirisaukan jika bayi terlilit tali pusat tapi, kemungkinan ada komplikasi tertentu jika ia terbelit terlalu ketat di bahagian leher bayi.
Kejadian buruk yang pernah terjadi apabila tali pusat ini membalut terlalu rapat di sekitar badan bayi sekaligus merencatkan aliran darah. Disebabkan itu, kira-kira 10% kematian bayi adalah dengan isu ini.
Cara uruskan tali pusat bayi dalam kandungan
Malangnya, jika situasi ini dikesan semasa imbasan, tidak banyak yang doktor boleh lakukan untuk membetulkannya.
Namun, jika ia dikesan semasa kelahiran setelah ditunjukkan oleh denyutan jantung tidak normal, doktor akan cuba uruskannya sehingga bayi dilahirkan. Mereka mungkin meningkatkan oksigen kepada ibu atau mengurangkan tekanan.
Sekiranya kadar denyutan bayi semakin menurun, maka pembedahan czer akan dijalankan. Selain itu, doktor akan menyuntik cecair ke dalam rahim yang boleh bantu melegakan beberapa tekanan.
Apabila bayi selamat mengeluarkan kepalanya, doktor akan melepaskan lilitan tali pusat di bahagian leher bayi tapi jika dibalut terlalu rapat, doktor akan memotong tali pusat terlebih dahulu sebelum menyerahkan bayi kepada ibunya.
Walau bagaimanapun, ingat anda tidak harus panik tentang hal ini tapi anda perlu bersedia bila ia terjadi.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Sumber : Artikel asal ditulis oleh Nalika Unantenne dan mendapat keizinan dari theAsianparent Singapore untuk diterjemah.
Baca juga:
Tidak Perlu Simpan Tali Pusat Bayi Selepas Tanggal, Sunat Bagi Ibu Ayah Menanamnya