Mengajar anak membuat kerja rumah bukan saja patut dipraktikkan pada anak perempuan. Anak lelaki pun sebenarnya perlu di ajar untuk melakukan kerja-kerja rumah seperti mengemas, melipat baju, lipat baju dan sebagainya. Barulah mereka alert tanggungjawab anak lelaki terhadap ibu bapa
Orang selalu cakap untunglah dapat anak perempuan boleh buat kerja rumah bila besar nanti, mak boleh goyang kaki saja. Dapat anak lelaki penat badan lagi ada, nak kena sediakan itu ini untuk mereka?
Eh? Begitu pula ya. Baik anak lelaki atau anak perempuan, dah nama anak kenalah pandai bantu ibu ayah bila besar.
Malah seawal usia anak dua tahun lagi sebenarnya boleh dididik untuk membantu membuat tugasan ringan.
Anak lelaki dilayan sebagai raja
Selalu ibu bapa memberi kelonggaran kepada anak-anak lelaki. Bagi mereka apabila mempunyai anak lelaki secara automatik semuanya perlu disediakan, baik makan, pakai apa saja kemahuan mereka perlu dituruti.
Berlainan untuk anak perempuan, cecah satu umur saja pasti dilatihnya masuk dapur, diajar masak nasi, menggunakan air fryer, basuh pinggan dan macam-macam lagilah.
Zaman kan sudah berubah, kalau norma begitu diterapkan zaman-zaman tok nenek kita tak mengapalah, zaman sekarang ini baik anak lelaki atau perempuan perlu dididik sama rata. Barulah mereka belajar mengenai tanggungjawab anak lelaki terhadap ibu bapa sejak kecil.
Ini tidak, anak perempuanlah yang selalu ada rasa tanggungjawab malah itulah antara faktor menjadikan anak perempuan lebih cepat ‘matured’ daripada anak lelaki!
Cara didik anak lelaki buat kerja rumah
Sentiasa mulakan dengan aktiviti ringan dan berbentuk permainan. Biasakan mereka dengan tanggungjawab anak lelaki terhadap ibu bapa, jadi semuanya perlu dibuat bersama-sama, jangan biar mereka buat sendiri. Anda boleh cuba:
#1. Kemas alat mainan seperti cari harta karun
Jadikan mengemas alat mainan mereka satu pertandingan mencari harta karun. Siapa yang jumpa paling banyak alat mainan mendapat lebih markah! Jadikan ini juga seperti mengemas mengutip sampah dan sebagainya. Ingat lebih banyak yang dijumpai/dikutip dapat lebih markah!
#2. Jadikan aktiviti lipat baju satu perlumbaan
Ayah dan anak boleh duduk bersebelahan dan beri 5 helai baju setiap seorang. Kemudian pasangkan ‘timer’ dan lumba siapa boleh lipat baju dalam jangka masa yang diberi dengan lebih cepat.
#3. Reward anak selepas melakukan tugasan
Selepas usai melakukan tugasan sentiasa ‘high 5’ anak atau bersorak tanda menunjukkan ia satu kejayaan dan pencapaian. Kemudian katakan kepada mereka “esok kita main kemas-kemas lagi ya,” pasti mereka tersenyum gembira.
Tiba hujung minggu berilah mereka ganjaran makan ais krim atau pergi ke tempat permainan kanak-kanak seperti kids gym dan sebagainya, tentu mereka seronok!
Cara mendidik anak mengikut usia
Anak usia 2 tahun
Anak anda yang berusia 2 tahun itu boleh membantu anda dalam tugasan mudah seperti mengemas meja makan.
Anda boleh ajar anak meletakkan sudu atau pinggan pada meja makan. Malah, anda juga boleh mengajar mereka mengemas barang permainan mereka sendiri.
Sediakan kotak dan suruh mereka masukkan permainan dalam kotak itu apabila sudah habis bermain. Dia juga boleh diajar untuk memasukkan baju kotor dalam bakul.
Anak usia 3 tahun
Anak yang sudah berusia 3 tahun mampu untuk menyusun buku di rak rendah.
Malah, anda juga boleh mengajar anak anda membuang sampah dalam bakul, meletakkan pinggan dalam sinki selepas makan dan lain-lain lagi.
Anak usia 4 tahun
Anak anda sudah boleh membantu di taman bunga pada usia 4 tahun. Suruh mereka siram pokok bunga. Anda juga boleh mengajar mereka memberi makan pada haiwan peliharaan.
Cuba ajar mereka bagaimana ingin menyusun baju dalam almari, meletakkan sudu dan garfu pada meja dan lain-lain.
Anak berusia 5 tahun
Untuk anak-anak yang sudah berusia 5 tahun, anda boleh ajar anak bersihkan rumah dengan membasuh pinggan atau sudu lepas makan.
Malah, mereka juga sepatutnya sudah tahu untuk mengemas katil sendiri.
Jika di dapur pula, mereka boleh membantu anda menyusun barang-barangan dapur. Contohnya letak tin sardin dalam kabinet dan sayur-sayuran dalam peti ais.
Anak berusia 6 tahun
Semakin mereka besar, semakin banyak kerja rumah yang mereka boleh bantu. Contohnya untuk kanak-kanak berusia 6 tahun, mereka sudah boleh diajar menyapu lantai.
Malah, mereka juga boleh diajar untuk melipat baju dan meletakkan ia dalam almari.
Untuk kanak-kanak yang mungkin menunjuk minat ingin memasak, ajar mereka bagaimana ingin memukul telur dan mixing pancake.
Anak berusia 7 tahun
Menyediakan meja makan atau mengemas meja makan sepatutnya adalah tugasan mudah untuk anak berusia 7 tahun.
Ketika ini, mereka juga boleh diajar untuk menyediakan makanan ringan mereka sendiri seperti roti sapu planta atau sandwich.
Anak berusia 8 tahun
Apabila anak anda sudah berusia 8 tahun, mereka sudah cukup bijak untuk diajar tentang cara menggunakan mesin basuh.
Ajar mereka untuk masukkan baju dalam mesin, bawa keluar sampah atau mop lantai. Kalau anda tengah memasak, ajak mereka bantu anda menyukat bahan-bahan.
Anak berusia 9 tahun
Ketika berusia 9 tahun, kanak-kanak sudah boleh menyediakan sarapan pagi yang senang seperti scrambled eggs. Malah, mereka juga boleh diajar untuk mencuci tandas.
Kalau di luar, mereka boleh mengemas daun-daun kering atau membacakan pada anda senarai barangan dapur yang patut dibeli.
Anak berusia 10 tahun
Bantu mencuci kereta antara kerja rumah yang menarik untuk kanak-kanak berusia 10 tahun. Anda juga boleh ajar mereka untuk membasuh pinggan mangkuk.
Selain mampu mengemas katil sendiri, mereka juga sepatutnya sudah bijak menukar cadar katil dan sarung bantal.
Sumber: Ridza Zainol
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Kemas Rumah Cara KonMari – Kanak-Kanak Pun Boleh Tolong Mengemas!