Bagi setiap tahun, akan ada satu hari yang paling istimewa bagi insan bergelar ibu bapa. Memandangkan tarikh hari bapa 21 Jun tidak lama lagi, anda mungkin boleh memanfaatkan peluang ini untuk meraikannya kerana ia jatuh pada hari Ahad.
Dalam sesebuah keluarga, bapa adalah antara individu paling penting dalam kehidupan anak-anak. Meskipun syurga di bawah telapak kaki ibu, namun dialah yang sanggup mengerah keringat untuk memastikan keperluan orang tersayang dipenuhi.
Tarikh hari bapa juga penting dalam keluarga
Hari bapa atau Father’s Day adalah sebuah sambutan bagi lelaki bergelar ayah diberikan penghormatan dan menerima layanan istimewa atas susah payah yang dilakuan demi keluarga serta anak-anak tercinta.
Kebiasaannya, ramai yang terlepas pandang betapa besarnya pengorbanan seorang bapa. Maka tidak hairanlah ada dalam kalangan anak menganggap tarikh hari bapa tidak sepenting hari ibu.
Justeru, kami senaraikan beberapa perkara dilakukan oleh setiap ayah dalam keluarga yang mungkin anda sendiri tidak menyedarinya, iaitu:
#1. Satu-satunya pelindung keluarga
Percaya atau tidak, seorang ayah sering dianggap sebagai ketua dan hero yang sangat hebat bagi anak-anak. Meskipun kesibukan dengan tugasan harian menyebabkan kebanyakan anak akan lebih rapat dengan ibu, tetapi tanpa ayah di sisi akan terasa seperti kehilangan sesuatu.
Ayah sering dilihat sebagai seorang lelaki yang kuat kerana mampu bekerja lebih masa, kudratnya dapat mengangkat barangan berat dan lebih mengembirakan apabila sanggup main masak-masak bersama anak perempuan.
Dengan cara ini sekaligus membuatkan seluruh ahli keluarga rasa disayangi dan keselamatan terjamin kerana anda sedar bahawa ayah adalah insan yang akan berada paling hadapan sekiranya terjadi sebarang masalah.
#2. Mampu mempengaruhi karakter anak
Fungsi ayah dalam keluarga sebenarnya dapat menentukan bagaimana pembentukan karakter seorang anak apabila melangkah dewasa dalam aspek perkembangan kognitif, emosional dan sosial.
Menurut kajian, anak yang memperoleh perhatian bapa kebanyakannya memiliki tahap kecerdasan minda lebih tinggi. Hal ini kerana berlaku rangsangan interaksi ayah lebih cenderung menekankan konsep analitis dan kritis yang sekaligus mampu menyokong perkembangan otak secara lebih awal.
#3. Mengawal tingkah laku
Ketika anak-anak semakin membesar, mereka akan lebih aktif dalam meneroka dunia. Hal ini kerana desakan oleh sikap ingin tahu dan tertarik dengan perkara yang ada di sekelilingnya.
Pada ketika ini, ayah memainkan peranan sebagai ‘pemandu’ yang membantu untuk anak menjelajah dan mengawal pergerakan mereka.
Bukan itu sahaja, nada suara seorang bapa turut mampu memberikan pengaruh terhadap tingkah laku anak. Mereka akan lebih takut sekiranya bapa meninggikan suara seolah-olah ingin marah ketika berdepan dengan anak degil atau sukar dikawal.
#4. Mendapatkan apa sahaja yang anak inginkan
Perasan atau tidak, setiap kali ayah menghidupkan kenderaan, pasti anak-anak akan melompat-lompat sambil menangis kerana ingin ikut sekali.
Sebenarnya mereka suka bersama dan ikut bapa keluar pergi ke mana-mana kerana ‘hero’ keluarga ini akan singgah ke kedai runcit untuk membeli apa sahaja yang anak-anak minta.
Berbanding dengan ibu, mesti akan banyak pantang-larang sehingga akan mengugut untuk tidak lagi membenarkan anak ikut bersama pada lain kali.
#5. Sanggup mengerahkan kudrat dan bekerja lebih masa
Anak-anak semakin membesar pastinya memerlukan lebih banyak bajet. Dari segi makan minum, pakaian dan kelengkapan hari, ayahlah yang akan pastikan semuanya beres!
Pernahkah anda tahu bila kali terakhir dia keluar membeli barangan keperluan dirinya? Pakaian atau kasut baru? Pastinya tidak. Hal ini kerana bapa sanggup mengutamakan kehendak ahli keluarga berbanding dirinya dan hanya ‘pakai’ apa yang ada sahaja.
Tips mudah menyambut Hari Bapa
#1. Membelikan hadiah
Hadiah yang diberikan tidak semestinya sesuatu mahal, cukuplah sekadar dia berasa cukup gembira ketika membuka kotak tersebut. Jika sebelum ini anda melihat kasut kerja atau pakaiannya sudah mula lusuh, kami mencadangkan untuk anda mendapatkan yang baharu.
Namun, pastikan anda mengetahui terlebih dahulu saiz yang betul dan jangan main beli sesuka hati!
#2. Meluangkan masa bersama
Seorang ayah tidak mengharapkan balasan dari anak-anak. Cukuplah sekadar ada di depan mata dan dapat berkumpul beramai-ramai.
Jika sebelum ini anda berdepan kesibukan kerja, mungkin sempena hari bapa ini ambil cuti beberapa hari bersama adik-beradik yang lain untuk menziarahinya.
Rumah yang meriah mampu membuatkan seorang ayah berasa cukup gembira.
#3. Makan malam bersama
Tidak salah untuk mencipta sebuah kejutan dengan menempah makan malam keluarga di sebuah restoran. Hal ini kerana ia mampu memberikan aura positif buat insan bergelar bapa dan menyedari bahawa dirinya tidak pernah dilupakan oleh anak-anak.
Bukan itu sahaja, anda dan adik-beradik yang lain turut dapat bersua muka serta mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan ini.
Sumber: Zayan
Kredit foto: Sumber
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Perbezaan ketara antara ibu bapa orang Asia dan ibu bapa Matsaleh