Kebersihan dan dandanan bayi adalah satu perkara yang perlu dititikberatkan oleh ibu dan bapa supaya si manja membesar dengan baik. Walau bagaimanapun, ramai ibu bapa yang tidak mengambil berat hal penjagaan telinga anak dan tidak tahu pun cara bersihkan telinga bayi mereka!
Adakah sebab mereka berfikir bahawa si manja tidak akan mempunyai masalah pendengaran walaupun telinga mereka tidak dibersihkan? Atau adakah para ibu bapa risau hendak mengorek telinga anak oleh sebab lubang telinga yang terlalu kecil?
Walau apa pun alasannya, anda perlu membersihkan telinga si manja! Sebenarnya, ia tidaklah sesukar dan menakutkan seperti yang disangka.
Bagaimana Cara Bersihkan Telinga Bayi Saya?
Dengan pembersihan telinga bayi, anda tidak perlu mengorek pun telinga mereka! Sekiranya anda perasan bahawa si manja mempunyai tahi telinga, biarkan sahaja.
Badan si manja menghasilkan tahi telinga dalam kuantiti yang sihat bagi si manja. Ia adalah bahan asli yang dihasilkan oleh badan kita untuk menghalang air serta debu dan habuk dari memasuki telinga dalam jumlah yang terlalu banyak.
Sekiranya tahi telinga bayi terlalu banyak, ia akan keluar sendiri. Oleh sebab itulah anda perlu membersihkan bahagian luaran telinga bayi, dan bukan dalam telinga!
#1. Cara membersihkan luar telinga si manja
-
- Gunakan kapas lembut yang telah dilembapkan atau kain lembut yang telah direndam ke dalam air suam. Pastikan kain dan kapas telah diperah terlebih dahulu.
- Gosokkan luaran telinga bayi serta sekeliling telinga mereka. Pastikan tiada air yang memasuki telinga si manja.
- Jangan memasukkan kapas atau kain ke dalam telinga bayi untuk membersihkannya! Ia boleh merosakkan saluran dan gegendang telinga anak.
Nah, semudah itu sahaja untuk membersihkan telinga cahaya mata anda.
Walau bagaimanapun, jika bayi anda sering meragam dan menarik-narik telinga mereka, ia mungkin petanda bahawa tahi telinga mereka dihasilkan dalam kuantiti yang terlalu banyak. Jadi, ini caranya untuk membersihkan dalam telinga bayi.
#2. Cara membersihkan dalam telinga si manja
-
- Baringkan si manja dalam posisi di mana telinga mereka yang terkesan menghadap atas
- Dengan lembut, tarik sedikit cuping telinga bayi bagi membuka saluran telinga si manja
- Titiskan ubat telinga ke dalam telinga si manja seperti yang telah dinasihati oleh pakar kanak-kanak anda
- Baringkan si manja seperti biasa dalam durasi 10 minit, dan kemudian posisikan si bayi di mana telinga yang telah dititiskan ubat menghadap ke bawah
- Biarkan cecair tersebut bersama tahi telinga bayi yang telah dicairkan mengalir ke atas kain atau tisu
- Pastikan anda menggunakan ubat telinga kepada si manja sekiranya dinasihati oleh pakar kanak-kanak anda sahaja!
Jarang sekali bagi seorang bayi untuk mengalami penghasilan tahi telinga yang terlalu banyak, tetapi sekiranya ia terjadi, terdapat beberapa faktor mengapa si manja anda boleh terkesan.
- Menggunakan pengorek telinga. Adakah anda pernah mengorek telinga bayi menggunakan pengorek telinga atau cotton bud? Ya, memang ada pengorek telinga bersaiz kecil yang boleh anda gunakan tetapi ia sebenarnya hanya menolak masuk tahi telinga lebih dalam berbanding mengeluarkannya.
- Menolak tahi telinga dengan sendiri. Si manja anda mungkin telah berasa ketidakselesaan pada telinga dan menyumbat jari mereka sendiri ke dalam lubang telinga. Ini juga boleh menyebabkan tahi telinga tertolak lebih ke dalam.
- Memakai penyumbat telinga. Ibu bapa si manja mungkin seorang ahli muzik, dan bunyi-bunyian yang kuat itu boleh merosakkan deria pendengaran si manja. Oleh sebab itu, mereka telah memakaikan penyumbat telinga kepada si manja bagi melindungi pendengaran tetapi ia hanya menyebabkan tahi telinga terkumpul dengan lebih banyak.
Bilakah Waktu Terbaik Untuk Bersihkan Telinga Anak?
Anda boleh membersihkan telinga si manja selepas waktu mandi setelah anda siap mendandan si manja. Yalah, kasihan pula si manja anda kesejukan jika anda bersihkan telinga mereka semasa mereka masih tidak berbaju.
Sesetengah kanak-kanak akan meragam sekiranya mereka disentuh dan dibersihkan, jadi pilihlah waktu yang sesuai untuk anda bersihkan si manja seperti waktu mereka sedang tenang selepas penyusuan atau ketika mereka sedang tertarik dengan televisyen.
Akhir kata dari kami, ia sangat penting untuk ibu dan ayah menitikberatkan kebersihan telinga si manja. Ia tidaklah sukar, malah ia juga bagus untuk si manja sekiranya mereka mempunyai dalaman dan luaran telinga yang bersih!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Healthline
Baca Juga: Elak Jangkitan Telinga Bayi, Ia Boleh Undang Masalah Pertuturan