Usah Bebankan Anak Menjadi Perfectionist, Mereka Juga Perlu Belajar Tentang Kegagalan

Setiap manusia tidak sempurna, termasuklah anak-anak kecil yang sedang membesar. Kecenderungan menjadi seorang perfectionist mungkin membahayakan mereka!

Tidak dinafikan dalam mendidik anak-anak menjadi seorang berguna, ibu ayah juga manusia tidak sempurna. Namun bagaimana pula sekiranya anda perlu berhadapan dengan anak yang memiliki sifat perfectionist?

Kebiasannya, perfectionist dikaitkan dengan kecenderungan anak-anak untuk mencapai kejayaan yang cemerlang. Mereka akan meletakkan nilai diri pada hasil 100 peratus sempurna sehingga terlupa pada usaha gigih yang telah dilakukan.

Didik anak bahawa hidup tidak sempurna

Tanpa anda sedar bahawa tindakan menjadi seorang yang cemerlang akan meletihkan emosi mereka.

Sekiranya ibu ayah tidak membimbing anak dengan baik, mereka akan terbiasa dengan sifat marah, kecewa dan tertekan apabila diri terpaksa menerima kegagalan.

Menurut kajian yang dilakukan di Michigan State University Twin Registry mendapati perfectionism bukanlah terhasil daripada salah didikan ibu ayah, tetapi ia berkait dengan unsur keturunan serta pengaruh di luar rumah.

Perbezaan anak yang perfectionist dengan striver (tinggi usaha)

#1. Sasaran

Anak yang perfectionist biasanya meletakkan sasaran terlampau tinggi dan tidak realistik. Sasaran ini ditentukan oleh mereka sendiri (self evaluation).

Bagi anak yang tinggi usaha pula, mereka mengenalpasti terlebih dahulu perkara boleh dicapai. Ia kebiasaannya berdasarkan nasihat ibu ayah dan guru.

#2. Emosi

Setiap usaha anak perfectionist adalah penuh tekanan dan terpaksa bimbang berakhir dengan kegagalan. Anak yang tinggi usaha pula akan melakukannya dengan penuh ceria dan optimistik.

#3. Menilai kegagalan

Anak perfectionist akan melihat setiap kesilapan sebagai satu kegagalan yang merendahkan nilai diri. Mereka juga akan dilanda rasa kecewa berpanjangan.

Anak yang tinggi usaha pula melihat kesilapan sebagai peluang untuk memperbaiki diri dan mereka berasa kecewa tidak lama.

Menurut kajian yang dibuat oleh G. Flett dari University of York, Toronto dan P. Hewitt dari University of British Columbia mendapati bahawa ‘penawar’ kepada perfectionism adalah:

  • Ibu ayah memberikan keyakinan kepada anak bahawa mereka perlu menerima hidup tidak sempurna.
  • Membimbing anak tentang cara untuk menghadapi kegagalan serta perasaan kecewa.

Tips membantu anak perfectionism

#1. Kenal pasti setiap usaha dan kejayaan

Sekiranya ibu ayah memberikan sesuatu tugasan kepada anak, jangan lupa untuk mengajarkan mereka tentang langkah-langkah yang perlu dilakukan dengan jelas.

Dalam hal ini, usaha yang berperingkat berkesan dalam membina keyakinan diri anak kecil. Mereka juga tidak perlu menunggu hasil 100 peratus sempurna untuk diri berjaya dan bernilai.

Jangan lupa untuk puji dan sebut setiap usaha anak dan kejayaan yang dicapai!

#2. Beri ruang merasa kekecewaan

Ibu ayah sentiasa menginginkan yang terbaik buat anak. Jika anda melihat anak mula menunjukkan tanda kecewa sehingga membuatkan mereka putus asa, segera selamatkan keadaan ini dengan menyatakan bahawa akan ada peluang lain.

Apabila diberikan ruang merasai kekecewaan, anak akan menyedari bahawa ia adalah lumrah hidup yang normal. Sebagai contoh, permainan mereka hilang, tidak memenangi pertandingan atau masalah dengan rakan di sekolah.

Keadaan ini sekaligus menguatkan lagi ketahanan diri untuk melalui kegagalan yang lebih besar.

#3. Didik anak tentang perfectionism

Tidak salah untuk menyebut tentang sifat-sifat perfectionism dalam diri anak. Hal ini kerana ada kalanya si manja tidak menyedari tentang perkara sedang dilalui mereka.

Berikan penerangan dalam bahasa mudah difahami mereka. Katakan sahaja apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam mencapai sesuatu perkara.

Bukan itu sahaja, sentiasa mengingatkan anak bahawa kesempurnaan itu hanyalah milik Allah dan tiada makhluk lain sempurna. Manusia hanya boleh berusaha mengikut kemampuan diri dan seterusnya allah yang menentukan.

#4. Lakukan aktiviti bersama

Sifat perfectionist selalunya membuatkan anak bersikap serius, tidak suka orang sekeliling gelakkan diri mereka dan rigid.

Justeru, ibu ayah perlu mengurangkan keadaan ini dengan merancang aktiviti santai yang kelakar dan tidak ada unsur persaingan seperti face paint (mencomotkan muka masing-masing) atau juggling.

Pastikan ibu ayah tidak menonjolkan kemahiran dalam aktiviti tersebut agar anak tidak berasa dirinya sedang bersaing.

Sumber: Myparent connect

Kredit foto: Google

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga:

https://my.theasianparent.comhubungan-keluarga