Terkurung, tidak boleh keluar bebas serta pergerakan terbatas membuatkan ramai stres malah boleh jadi hingga tidak tidur malam kerana terlalu banyak berfikir.
Budaya kerja dari rumah atau popular dipanggil WFH (Work From Home) yang dikatakan lebih memenatkan bukan saja fizikal malah lebih teruk kesan kepada mental membuatkan ramai yang berada dalam keadaan risau.
Kerja yang seperti tidak pernah habis dan bagaikan tiada hari esok, sekaligus menyumbang peningkatan stres di kalangan rakyat Malaysia dalam musim pandemik ini.
Baru-baru ini masyarakat dikejutkan dengan laporan media mengenai kematian dua pelajar institusi pengajian tinggi yang didakwa berpunca daripada stres dan tekanan kerana terpaksa belajar secara dalam talian.
Tidak tidur malam, stres tidak semestinya sebabkan pendarahan otak
Jadi sejauh manakah benarnya andaian ini yang mengatakan stres boleh menyebabkan pembuluh darah di otak pecah dan sekaligus mengakibatkan kematian.
Menurut pakar obstetrik dan ginekologi, Dr Rushdan Noor, masyarakat tidak seharusnya dengan mudahnya membuat kesimpulan terhadap kematian seseorang.
Malah dalam keadaan sekarang ini, kadang kala kenyataan yang di keluarkan hanya akan menyebabkan panik dalam kalangan masyarakat yang semestinya sudah sedia berserabut fikirannya ketika ini.
Katanya, jangan semudah itu buat andaian kerana hanya akan menimbulkan panik dan ketegangan dalam masyarakat awam.
Ibu-ibu mula risau kerana musim ini stres menguruskan rumah tangga nampaknya semakin teruk, yang bapa pula rasa makin stres kerana WFH dan perlu bekerja di rumah.
Dan macam-macam lagi yang mungkin tidak diceritakan dan dipendam saja.
Pendarahan otak boleh berlaku spontan
“Saya ingin memperbetulkan tanggapan ramai netizen yang menyangka bahawa stres dan tidak tidur malam boleh menyebabkan pendarahan otak ataupun kematian sehingga ramai yang memberi amaran serta marah kepada sesetengah guru dan pensyarah yang menjadi punca stres kepada pelajar.
“Pendarahan otak boleh berlaku akibat kecederaan kepala ataupun berlaku secara spontan. Pendarahan dalam otak yang berlaku bukan disebabkan oleh kemalangan, jatuh atau bersukan ataupun dipukul dikenali sebagai pendarahan otak spontan, spontaneous intracranial haemorrhage,” kata Dr Rushdan.
Beliau berkata pendarahan otak yang spontan ini hanya berlaku ke atas individu yang sudah mempunyai penyakit pembuluh darah di otak.
“Terlalu banyak punca berlakunya penyakit pembuluh darah, tetapi dalam kalangan orang muda yang kelihatan sihat, salah satu punca dinding pembuluh darah boleh lemah adalah jika berlaku kelainan yang dinamakan aneurisma “aneurysm”, contohnya Berry aneurysm dan AV-malformation,” katanya.
Penyakit pembuluh darah antara penyebab pendarahan dalam otak
Salah satu punca berlakunya kelainan ini adalah secara semulajadi yang mana ia wujud sejak dilahirkan. Kebanyakan penghidap penyakit pembuluh darah otak jenis ini tidak ada gejala ataupun hanya mengalami sakit kepala, jadi ramai yang tidak perasan.
Sampai satu masa, dinding pembuluh darah semakin lemah sehingga ia tidak dapat menampung tekanan darah dan akibatnya ia bocor atau pecah dan berlakulah pendarahan.
Pembuluh darah yang tidak normal ini boleh pecah dengan sendiri, bila-bila masa. Ia boleh berlaku secara perlahan-lahan, sedikit demi sedikit ataupun secara mendadak.
Pesakit boleh mengalami pelbagai gejala bergantung kepada beratnya pendarahan yang belaku, daripada pening, sakit kepala, hinggalah sawan dan kematian.
Kesimpulannya stres dan tidak tidur malam bukanlah punca pendarahan otak dan kematian.
Jadi sebagai rakyat yang bertanggungjawab, usahlah menyebarkan sesuatu yang belum dipastikan kesahihannya. Benar stres boleh menyebabkan pelbagai penyakit, tetapi jangan sampai anda cetus panik dalam kalangan masyarakat.
Ia bukan menjernihkan keadaan, tetapi hanya mencetuskan panik dan tidak tenteram dalam masyarakat. Berhentilah menyebarkan sesuatu yang belum pasti dan tidak dipastikan kesahihannya.
Anda tidak tahu sejauh mana kesannya perkongsian anda itu, yang mungkin akan lebih mengeruhkan keadaan yang sudah sedia keruh.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 6 Gaya Tidur Menggambarkan Personaliti Unik – Anda Yang Mana Satu?
Baca juga: 10 Rahsia Gaya Tidur Dengan Pasangan Yang Menceritakan Situasi Perkahwinan Anda
Baca juga: Mula-Mula Tidur Sekejap, Sekarang Setiap Malam Suami Tidur Terus Atas Sofa, Ini Cara Pancing Suami!