Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk Khalid Mohd Jiwa sememangnya selalu menarik perhatian para peminat yang setia mengikuti perjalanan kisah cinta mereka sehingga kini. Jangan tidak tahu, ada beberapa tips bahagia suami isteri yang diamalkan oleh mereka!
Dalam tak sedar perkahwinan mereka kini sudah hampir 15 tahun sehinggalah dikurniakan cahaya mata perempuan yang diberi nama Siti Aafiyah Khalid yang sangat comel persis ibunda tercinta. Kini rumah tangga mereka dilihat semakin berseri apabila selebriti kesayangan tanah air ini mengumumkan sedang hamil anak lelaki.
Baca juga: Kunci Perkahwinan Bahagia Ada Pada Suami, Ini Nasihat Dari Ustaz Don Daniyal
Tips bahagia suami isteri dari Datuk Seri Siti Nurhaliza & Datuk Khalid Mohd Jiwa
Dalam satu wawancara dengan stesen radio negara itu, Siti Nurhaliza yang kini mesra disapa sebagai TokTi, mendedahkan anak keduanya itu sebenarnya kembar kepada anak sulung beliau, Siti Aafiyah.
TokTi hamil dengan Siti Aafiyah tiga tahun lalu melalui proses In-Vitro Fertilization (IVF) atau pensenyawaan in-vitro sekitar tiga tahun lalu. Namun begitu, beliau mengikuti nasihat doktor ketika itu untuk tidak melakukan prosedur tersebut pada masa yang sama.
“Disebabkan ini proses IVF, apabila buat peringkat-peringkat embrio itu, bayi lelaki ini sebenarnya kembar Aafiyah. Terjadi pada hari sama waktu sama.
“Ketika itu doktor tidak galakkan bayi masuk dua embrio, jadi masuk satu dahulu iaitu Aafiyah. Tiga tahun selepas itu baru masuk bayi lelaki ini,” katanya kepada seperti ditukil media tempatan.
Setiap pasangan suami isteri pastinya ada hubungan pasang surut dan tidak terkecuali untuk Datuk Seri Siti Nuhaliza dan suaminya. Untuk itu kami ingin mengupas tips bahagia suami isteri daripada pasangan pujaan ramai ini seperti berikut:
#1. Tips bahagia suami isteri – Selesaikan masalah dengan secepat mungkin
Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Begitulah juga dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza di mana jika berlaku permasalahan, beliau akan selesaikan perkara tersebut secepat mungkin sebelum tidur.
Begitu jua dengan Datuk Khalid, beliau juga tidak suka ada masalah berpanjangan dan merasakan perlu selesaikan masalah dengan cepat.
#2. Tips bahagia suami isteri – Tunggu masa yang sesuai untuk berbicara
Menurut Datuk Siti, suami isteri perlu bertolak ansur, berlembut dan tunggu masa yang sesuai untuk berbicara antara satu sama lain kerana masa itu otak lebih waras dan dapat berfikir dengan lebih baik.
#3. Jika hal kecil saja, tidak perlu marah tanpa sebab
Datuk Siti juga menjelaskan, dia tidak suka memarahi orang dan hanya bersifat tegas tapi kalau marah sekalipun ia bersebab.
Tapi kalau membabitkan hal kecil, tiada sebab untuk dirinya marah tak tentu hala.
#4. Sabar dan toleransi dalam hubungan
Datuk Siti turut mendedahkan, sifat sabar dan toleransi dengan pasangan merupakan asas dalam sesebuah perkahwinan.
Apatah lagi, kebahagiaan yang diperolehi kini juga dek kerana sifat sabar dan toleransi itu yang dititikberatkan sepanjang perkahwinan bersama suaminya.
Sekiranya ada perkara yang tidak disenangi, mereka akan berbincang dari hati ke hati dan tidak menambahkan kekusutan dalam perbincangan tersebut.
#5. Selalu meluangkan masa bersama dan ahli keluarga
Meluangkan masa bersama suami juga antara tips bahagia suami isteri yang dikongsikan Datuk Siti. Misalnya menonton wayang sekalipun sudah dapat mengeratkan hubungan rapat bersama suami tercinta.
Selain itu, keluar bersama ahli keluarga yang lain juga dapat mengeratkan kasih sayang dan persaudaraan.
#6. Prihatin dan suka mengambil berat
Datuk Khalid juga menyifatkan Datuk Siti seorang isteri yang mithali kerana sangat mengambil berat dan prihatin terhadap dirinya terutama ketika beliau cedera semasa kemalangan di New Zealand.
Tambah Datuk Khalid lagi, isterinya itu juga seorang yang penyejuk jiwa dan sentiasa ada bersamanya dalam waktu susah mahupun senang.
Untuk anda yang sudah berkahwin, tiadak salah untuk mengikut cara pasangan ini. Jaga amanah dalam perkahwinan itu dengan sebaiknya dan jangan dipersia-siakan kerana kelak suatu hari nanti anda pasti menyesal.
Pada masa itu, air mata darah sekalipun tidak dapat mengubah kembali cinta anda yang sudah rapuh itu. Semoga perkahwinan Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Khalid sentiasa mewangi dan kekal hingga ke Jannah. Amin.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Sumber: Gegar. My , Deenamik
Baca juga: 7 Doa Buat Suami Isteri Yang Tertekan & Dilanda Ujian, Elok Diamalkan Setiap Hari