Hari Raya Aidilfitri sudah tiba! Bagi seorang ibu, pastinya akan sibuk memikirkan menu untuk hari raya. Tidak kiralah sama ada menempah atau memasak sendiri, yang penting anda sekeluarga mengikuti tips makan secara sihat dan tidak berlebihan.
Meskipun tahun ini memberikan perbezaan terhadap cara meraikan sehingga terpaksa menunda terlebih dahulu acara tradisi, namun anda perlu berusaha meriahkan 1 Syawal ini secara bersederhana dan hanya kekal di rumah.
Tips makan secara sihat ketika hari raya
Mungkin segelintir individu akan berasa tertekan dan sedih kerana tidak dapat merentas negeri atau pulang ke kampung untuk menyambut hari raya.
Untuk mengubatinya, anda akan cenderung untuk makan lebih banyak kerana ingin ‘membalas dendam’ kerana terlalu merindui suasana kemeriahan Aidilfitri tahun-tahun sebelumnya.
Namun sedarkah anda bahawa tindakan ini akan menyebabkan berlakunya peningkatan berat badan? Oleh itu kami mencadangkan anda mengikuti beberapa tips makan secara sihat ini:
#1. Pastikan alas perut dengan makanan sihat di pagi raya
Seperti waktu sahur ketika puasa, anda dinasihatkan untuk mengambil beberapa biji kurma pada waktu pagi sebelum menjamah makanan berat.
Sarapan adalah waktu makan yang paling penting dalam membekalkan tenaga dan menjadikan perut kenyang. Hal ini sekaligus membantu mengawal nafsu ketika makan dan jumlah pengambilan kalori.
Pilihan lain anda boleh amalkan adalah roti gandum penuh, susu rendah lemak dan buah-buahan sebelum menikmati hidangan utama seperti lemang dan rendang.
#2. Elak mulakan dengan dessert atau biskut raya
Kebiasaannya, pasti para ibu atau suri rumah akan cuba menyediakan beberapa jenis biskut raya berwarna-warni ketika hari raya. Pelbagai bentuk, warna dan rasa pastinya akan menarik perhatian!
Justeru, takkanlah anda tidak makan langsung? Hal yang penting di sini adalah mengawal jumlah kuantiti biskut penuh lemak, kandungan gula tinggi dan tidak mengenyangkan.
Misalnya almond london mengandungi 110 kkal, tart nenas 70 kkal dan biskut cornflakes 90 kkal.
#3. Jangan lebihkan kuah
Sekiranya anda adalah seorang pencinta rendang daging, cuba elakkan diri dari mengambil kuah berlebihan kerana ia kaya dengan santan penuh lemak. Selain itu kuah jenis sup juga perlu diambil dalam kuantiti sedikit.
Jika ia berasa masin kerana pengambilan garam berlebihan, ia akan meningkatkan takungan jumlah air dalam badan. Kesannya akan menyebabkan berlakunya masalah gemuk air.
#4. Makan dalam kuantiti sederhana
Meskipun berasa sungguh teruja melihat pelbagai hidangan di atas meja, latih diri anda untuk bersabar dan mengambil masa bagi menentukan makanan apa yang sepatutnya dimakan dalam kuantiti sederhana agar tidak menganggu sistem penghadaman.
Dengan cara ini, ia mampu mengelakkan anda makan ikut nafsu sehingga melebihi keperluan kalori harian yang boleh menyebabkan berlakunya pertambahan berat badan.
#5. Pengambilan air kosong secukupnya
Bagi sesetengah kediaman, pastinya akan menyediakan pelbagai warna air berkarbonat, oren mahupun sirap. Namun sebagai ibu ayah, anda hendaklah memberikan yang terbaik buat anak-anak.
Gantikan sahaja air yang tinggi dengan gula dengan air kosong kerana ia memberikan banyak kebaikan kepada tubuh badan. Pastikan anda mengambil secukupnya agar dapat melancarkan sistem penghadaman dan penting bagi sistem metabolisme badan.
#6. Ingat peraturan 20 minit
Inilah masa yang diperlukan untuk anda berasa kenyang setelah suapan makanan pertama. Di sini, makanlah secara perlahan-lahan atau tetapkan saiz hidangan agar tidak berlebihan.
Seperti sunnah Nabi, berhenti makan sebelum kenyang. Hari Raya atau Aidilfitri adalah hari untuk anda meraikan kemenangan dalam melawan dan mendidik nafsu. Sepanjang bulan Ramadhan, pastinya dapat menahan lapar serta dahaga, menghidupkan amalan bersedekah atau khatam al-Quran.
Justeru kenapa waktu puasa anda boleh berdisiplin, tetapi tidak setelah memasuki Syawal?
#7. Senaman mudah selepas makan di rumah
Sekiranya anda setuju bahawa makanan adalah sumber tenaga, jadi perlu mencari jalan untuk membuang tenaga berkenaan agar ia tidak disimpan sebagai lemak.
Ketika perut mula berasa kenyang, biasanya anda pasti rasa malas atau mengantuk. Elakkan terus duduk terbaring kerana situasi ini mungkin menyebabkan anda menyesal di kemudian hari.
Kami mencadangkan anda untuk melakukan beberapa senaman mudah untuk membakar kalori seperti:
- Basuh pinggan mangkuk selepas makan.
- Mengemas bahagian meja makan
- Berjalan di dalam rumah
- Bermain dengan anak kecil.
- Main mercun dapat meningkatkan dengupan jantung
- Gelak ketawa bersama keluarga dapat membakar lebih banyak kalori
Sumber: Misi Kurus Online, Coach Anuar
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 5 Soalan Cepumas Raya Dan Cara Bijak Untuk Menjawabnya