Tanda Susu Badan Kurang Selepas Bersalin, Ini Punca & Cara Atasinya!

undefined

Masalah kekurangan susu kadangkala hanyalah perasaan seorang ibu, terutama di awal kelahiran akibat kurang memahami sistem susu pada badan. Namun ada juga kes seperti ini yang benar-benar berlaku..

Masalah kekurangan susu biasanya disebabkan oleh faktor luaran seperti tekanan dan cara atau nasihat penyusuan yang salah. Oleh sebab itu, penting untuk setiap ibu peka dengan tanda susu badan kurang.

Satu fakta yang harus diketahui, payudara wanita memang diciptakan untuk mengeluarkan susu sebanyak yang diperlukan bayi. Lagi banyak demand makan banyaklah supply. 

Selain itu, pengeluaran susu ibu juga berkait rapat dengan reaksi bayi anda. Apabila bayi menangis kerana lapar, badan ibu akan bertindak balas kepada tangisan dengan menghasilkan hormon oxytocin.

Jika susu tidak diminum oleh bayi atau dipam keluar, prolactin tidak akan dihasilkan menyebabkan bekalan susu berkurang kerana sistem tubuh memahami dan mendapat signal hanya sedikit susu diperlukan.

Tanda Susu Badan Kurang di Awal Kelahiran

tanda susu badan kurang

 

Penghasilan susu yang banyak tidak berlaku dalam dua hingga empat hari selepas bersalin.

Ramai ibu merasakan kekurangan susu di awal kelahiran dan kemudian mengalami bengkak susu. Ia sebenarnya adalah panduan bagi ibu-ibu untuk menyusukan dan membantu payudara menentukan tahap keperluan susu apabila hormon telah diselaraskan dengan keperluan.

Jika ibu bertangguh untuk menyusukan, tidak mengikut keperluan bayi atau memberi susu formula, payudara akan mula membengkak semula. Pengeluaran susu selepas itu akan terus berkurang dan terbantut kerana dirasakan kurangnya permintaan.

Inilah sebenarnya masa untuk menggalakkan penyusuan bagi membantu tubuh menentukan kadar susu yang diperlukan. Lebih-lebih lagi kolostrum pada hari-hari awal selepas melahirkan memberikan perlindungan imunisasi paling tinggi di saat keadaan bayi yang masih sangat lemah ini.

Punca Susu Badan Kurang

tanda susu badan kurang

 

Kajian klinikal menunjukkan 1.5% wanita dunia tidak dapat menghasilkan susu yang cukup secara semulajadi disebabkan oleh beberapa perkara termasuk:

  • Ganguan hormon semasa atau selepas melahirkan.
  • Kekurangan tisu grandular yang berpunca daripada hypoplastic breast (payudara kekurangan tisu) dan pembedahan payudara seperti mastektomi, mengurangkan saiz atau pembuangan cyst.
  • Pembedahan payudara yang mengganggu laluan saraf dan duktus.
  • Sakit teruk seperti pendarahan melampau selepas bersalin beserta sindrom Sheehan, jangkitan kuman dan hipertensi.
  • Serpihan plasenta yang tertinggal yang mengekalkan tahap hormon progesterone yang cukup untuk melambatkan atau menghalang pengaktifan rembesan.

Tanda Susu Badan Kurang dan Bayi Kelaparan

tanda susu badan kurang

  • Berat bayi tidak meningkat seperti sepatutnya iaitu 28 – 30gm sehari dalam masa 3 bulan sejak dilahirkan dan 14 – 15gm dari umur 3 hingga 6 bulan.
  • Membuang air besar kurang daripada dua kali sehari dalam bulan pertama.
  • Menyusu kurang daripada 8 kali sehari (penyusuan minima).
  • Air kencing bayi berwarna kuning pekat.
  • Kurang buang air – kurang daripada 7 atau 8 lampin kain sehari atau 6 lampin pakai buang.
  • Bayi kelihatan mengantuk dan sukar dibangunkan pada waktu menyusu.

Cara Mengatasi dan Mengelakkan Kekurangan Susu

 

  • Segera susukan bayi – sentuhan kulit ibu pada bayi dapat menggalakkan bayi menyusu dalam jam pertama kelahiran.
  • Tingkatkan frekuensi menyusu sekurang-kurangnya setiap 2 – 3 jam sehari.
  • Elakkan melangkau waktu menyusu – pam susu jika terpisah daripada bayi.
  • Susukan pada kedua-dua payudara.
  • Bantu bayi yang mengantuk untuk kekal sedar ketika menyusu.
  • Elakkan puting tiruan (pacifier). Galakkan bayi bertenang melalui susuan.
  • Jaga kesihatan ibu – banyakkan rehat, minum air apabila haus dan ambil makanan seimbang.
  • Urut payudara sebaik anda merasakan payudara mula membengkak, jangan tunggu lama-lama. 

Pemberian susu formula haruslah menjadi langkah terakhir dan atas nasihat doktor.

Payudara Leper dan Tidak Bengkak Bukan Tanda Kurang Susu

Ramai juga ibu-ibu yang bimbang bekalan susu makin berkurangan selepas 6-12 minggu selepas bersalin, ini kerana ibu-ibu tidak lagi merasakan bengkak payudara, payudara tidak rasa penuh atau lebih lembut dan leper walaupun tiba waktu menyusu bayi. 

Hakikatnya bekalan susu anda sudah di tahap mencukupi untuk bayi anda. Selepas beberapa minggu, payudara anda kini sudah menghasilkan kuantiti yang sepatutnya diperlukan bayi anda . Tidak kurang dan tidak lebih, hanya sedang elok. 

Ketika awal-awal kelahiran bayi anda, dalam minggu pertama hingga kedua, normal untuk ibu-ibu rasa bengkak susu dan walaupun selepas bayi menyusu, payudara masih terasa penuh. Ini kerana bekalan susu anda masih tidak tahu jumlah yang sepatutnya diperlukan bayi. 

Kerapkan penyusuan bayi itu adalah kuncinya untuk menggalakkan pengeluaran susu yang lancar dan membuat payudara anda lebih selesa. 

Ada sesetengah bayi yang mengalami jaundice atau demam kuning akan kurang menyusu. Mereka lebih mahu tidur dan sukar untuk dikejutkan untuk menyusu. Keadaan ini menjadikan payudara ibu mudah membengkak. Jadi sentiasalah pam dan susukan bayi menggunakan botol. 

Cara Banyakkan Susu Badan Yang Kering dengan Pemakanan

 

Rata-rata para ibu di Malaysia mengamalkan beberapa makanan untuk menambah susu badan. Antara yang paling diamalkan termasuk jantung pisang, lobak putih, air rebusan kucai, horlicks, sawi, sup ikan, pucuk betik dan pucuk manis dengan kadar keberkesanan yang berbeza.

Beberapa jenis herba juga disarankan sebagai peningkat pengeluaran susu yang dikenali sebagai galactogogues. Antaranya termasuk halba (fenugreek), Goat’s Rue, basil, Milk Thistle, jintan manis dan alfalfa.

Halba terbukti berkesan secara saintifik dalam masa 7 hari dan berkekalan selama 6 minggu. Halba terkenal dengan fungsinya menggalakkan peluh dan memandangkan sistem payudara adalah sama seperti kelenjar peluh, maka ia membantu penghasilan susu.

Bagi herba lainnya, tiada kajian saintifik yang cukup bagi membuktikan keberkesanan dan keselamatan penggunaanya malahan ada kajian yang menunjukkan kesan negatif herba tertentu terhadap sesetengah keadaan pengambilnya.

Begitu juga dengan teh herba. Sesetengah herba mempunyai kesan yang kuat dan berfungsi seperti dadah serta merbahaya terutama kepada wanita hamil. Antara herba yang selamat diambil sebagai teh termasuk halia, Rose Hip dan lemon.

Makanan Untuk Meningkatkan Kualiti Susu

Antara sebab lain apabila bayi kurang naik berat atau mudah fussy adalah kerana susu yang agak cair atau kurang nutrien yang diperlukan bayi. Sebab itulah penting juga pengambilan makanan yang berkhasiat dan makanan yang penuh lemak yang baik. 

Antara makanan yang boleh menambahkan kualiti susu ibu adalah:

Avocado: Buah avocado kaya dengan nutrisi penting penting seperti protein, serat dan karbohidrat, dan walaupun ia kaya dengan lemak dan kalori, ia sebenarnya buah yang bebas dari kolestrol.

Salmon: Ikan salmon menjadi pilihan ramai orang kerana kandungan nutrisinya yang tinggi. Ia kaya dengan zat besi, protein, kalsium, serat dan lemak yang baik. Sesuai untuk menjadikan susu yang lebih pekat dan meriah. 

Kekacang: Makanlah kekacang baik ketika hamil dan ketika menyusu bayi. Ia amat kaya dengan nutrien penting yang diperlukan badan. Ia kaya dengan Vitamin E, magnesium, fosforus, protein, serat dan macam-macam lagi!

Buah mangga: Ini ramai yang tidak tahu, jika anda ambil sebiji buah mangga sehari, badan anda sebenarnya boleh menghasilkan susu yang lebih banyak dan lebih berkualiti. Anda juga boleh ambil jus mangga yang dicampur dengan lobak merah, buah oren dan macam-macam lagi, ikut selera anda. 

Anda mengamalkan pemakanan khas untuk menambah susu? Apa kata kongsikannya di ruangan komen di bawah dan dengan ibu-ibu lain?

Semoga bermanfaat.

Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Eh, Kenapa Susu Ibu Warna Lain-lain? Selamat Atau Tidak Nak Bagi Pada Bayi?

Baca juga: Tak Menyangka Susu Badan Tiada, Bayi Baru Lahir Rupanya Kelaparan Selama 14 Hari, Ibu Baru Tolong Alert

Baca juga:  10 Tips Untuk Ibu Dengan Saluran Susu Badan Yang Tersumbat

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!