Kes kebakaran banyak dilaporkan terjadi yang berpunca oleh penyimpanan tong gas tidak betul, litar pintas dan penggunaan api mancis. Siapa sangka hanya dengan kesilapan kecil sahaja boleh menyebabkan risiko kemalangan sehingga meragut nyawa insan tersayang.
Tidak dinafikan kebanyakan dari kita menggunakan gas memasak di rumah kerana lebih menjimatkan masa, tenaga dan wang ringgit. Apa yang sering dilupakan oleh kita sebagai pengguna adalah tidak memberi perhatian tentang aspek keselamatan selagi tidak berlaku sesuatu yang tidak diingini.
Terlupa tutup api dapur, tong gas meletup dan rumah terbakar
Puluhan rumah di sekitar Kompleks Perumahan Lepping, Makassar, Indonesia telah dilaporkan terbakar. Difahamkan ia berpunca daripada letupan gas di dapur.
Menurut keterangan oleh ketua bomba Kota Makassar, Hasanuddin menyatakan sebanyak 95 buah kediaman telah hangus dan musnah akibat kejadian terbabit.
Bagi mengawal keadaan, pihaknya telah mengerahkan puluhan jentera bomba dan anggota ke lokas untuk proses memadam api.
”Sebanyak 22 jentera bomba dan 95 anggota dikerahkan ke lokasi untuk memadam kebakaran. Kami telah berjaya memadam api kira-kira 12.30 tengah hari waktu tempatan.” jelasnya.
Salah seorang penduduk tampil dan mendakwa bahawa kejadian itu berlaku disebabkan oleh ada seorang wanita sibuk berbual sehingga terleka untuk mematikan api di dapur.
”Ia berpunca dari kelalaian seorang makcik yang sedang memasak. Dia kemudiannya berbual dengan jiran sebelah sehingga terlupa menutup api tong gas.” jelasnya.
Disebabkan insiden itu, penduduk yang hilang tempat untuk berteduh terpaksa menumpang tidur buat sementara di masjid.
Ada juga beberapa penduduk berusaha mengumpul sisa-sisa barangan yang masih boleh digunakan.
Ketua Perkhidmatan Sosial Kota Makassar, Rusmayani Masjid menjelaskan bahawa pihaknya kini sedang berusaha menyediakan keperluan makanan untuk kesemua mangsa kebakaran.
Panduan dan cara mengendalikan tong gas di rumah
Sikap acuh tidak acuh dalam pengendalian tong gas boleh memerangkap diri sendiri dan mengundang bahaya kepada orang lain.
Justeru khidmat masyarakat Shell telah menggariskan panduan lengkap kepada pengguna gas di rumah di dalam buku kecilnya.
Antara perkara yang perlu diberikan perhatian ialah:
- Beli silinder dan alat kelengkapan daripada wakil pengedar gas yang sah
- Pastikan anda meletakkan silinder gas dalam posisi menegak
- Letakkan dapur dan silinder gas tinggi dari paras tanah. Saluran getah tidak tersentuh dengan mana-mana bahagian dapur atau ketuhar panas
- Silinder gas hendaklah berada pada paras 1 cm hingga 1.5 sentimeter dari sebarang nyalaan atau punca haba seperti alat elektrik
Cara menyalakan dapur atau ketuhar yang bukan automatik
- Nyalakan mancis terlebih dahulu. Kemudian cucuh api ke pembakar dan barulah putar alat kawalan nyalaan
- Ketika memasak, pastikan anda membuka pintu atau tingkap bagi memastikan pengudaraan yang baik
- Jauhkan langsir dari dapur agar tidak berkibaran dan disambar api ketika memasak
- Jangan sesekali anda meninggalkan masakan di atas dapur tanpa sebarang pengawasan
- Elak letakkan perkakas memasak yang masih panas di atas silinder gas.
- Jangan biarkan silinder gas terdedah kepada haba yang berlebihan
- Sekiranya anda tidak memasak untuk jangka waktu yang lama, tutup saluran bekalan gas di dapur dan alatan lain
- Jika berlaku kebocoran gas, anda boleh mengesannya dari bau-bau yang meresap keluar secara berlebihan
- Lakukan pemeriksaan saluran gas dari semasa ke semasa. Anda boleh mengesan kebocoran dengan menggunakan air sabun. Jika terdapat buih yang semakin membesar, ia menandakan berlakunya kebocoran
Sekiranya berlaku sebarang kecemasan akibat kebocoran gas, ada beberapa perkara penting yang perlu anda lakukan. Antaranya:
- Tutup alat-atur dan kawalan nyalaan dapur
- Buka kesemua tingkap. Jangan pasang atau cuba menutup sebarang perkakas elekrtik atau memetik suis
- Sebaiknya laporkan kepada pengedar gas yang berdekatan
Jika berlaku kebakaran gas:
- Tutup segera bekalan gas. Jangan cemas
- Segera beritahu tentang kebakaran tersebut dan suruhlah semua orang keluar
- Jangan membahayakan diri sendiri untuk memadam api. Segeralah menghubungi pihak bomba secepat mungkin
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Gara-Gara Letak Tong Gas Dalam Kabinet Tertutup, Wanita Melecur Disambar Api Ketika Memasak!