Apa Itu Tonsil Bengkak? Ketahui Penyebab, Punca & Rawatan Untuk Mengatasi Rasa Sakit
Tonsil bengkak sehingga berdenyut sudah semestinya meninggalkan rasa ketidakselesaan terhadap tubuh yang menyebabkan kita demam.
Tonsil bengkak terjadi disebabkan jangkitan virus yang menyebabkan berlakunya keradangan pada saluran pernafasan. Ia menjadikan individu rasa tidak selesa untuk menelan makanan pejal dan ada sesetengahnya mengalami demam panas.
Sakit tonsil bengkak boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira peringkat umur, tetapi lebih kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak berbanding golongan remaja, dewasa dan orang tua.
Isi Kandungan
Kenali Apa Itu Tonsil Dan Tonsil Bengkak
Tonsil adalah sejenis tisu limfoid yang terletak di bahagian kerongkong pada saluran pernafasan. Ia berfungsi sebagai sistem imun yang melindungi badan daripada terkena jangkitan.
Masalah tonsil bengkak atau dalam istilah perubatan dikenali sebagai tonsilitis berpunca daripada jangkitan virus tetapi boleh terjadi disebabkan jangkitan bakteria lain seperti Streptococcus pyogenes, Influenza dan Adenovirus.
Apa Punca Tonsil Bengkak
Punca utama tonsilitis termasuk:
1. Jangkitan Bakteria
Bakteria Streptococcus pyogenes adalah punca paling biasa dan turut menyebabkan sakit tekak streptokokus.
2. Jangkitan Virus
Virus seperti Epstein-Barr (penyebab mononukleosis) atau adenovirus juga boleh mencetuskan tonsilitis.
3. Jangkitan Kulat
Walaupun jarang berlaku, jangkitan kulat seperti Candida albicans boleh menyebabkan tonsilitis, terutamanya pada individu yang mempunyai sistem imun lemah.
Faktor lain yang boleh memburukkan keadaan ini termasuk pendedahan kepada udara tercemar, tabiat merokok, atau kurang menjaga kebersihan diri.
Gejala Tonsil Bengkak?
Jika anda ingin mengenal pasti sama ada anda terkena tonsil bengkak, berikut adalah merupakan gejala tonsil bengkak:
- Demam panas
- Lemah badan
- Sakit tekak
- Pening kepala
- Kelenjar limfoid membengkak
- Tonsil berubah warna merah timbul nanah
- Ulser di sekitar tekak
- Tidak selesa menelan
- Hilang selera makan
- Suara berubah garau
- Nafas berbau busuk
Apa Pula Kesan Tonsil Bengkak Kepada Individu?
Tonsil yang bengkak bukan sahaja menyakitkan, malah boleh mengganggu aktiviti harian. Antaranya:
1. Sakit Tekak Yang Berterusan
Individu mungkin mengalami kesakitan ketika menelan, bercakap atau bahkan bernafas.
2. Demam dan Keletihan
Jangkitan tonsil sering disertai dengan demam, keletihan dan badan rasa lemah.
3. Gangguan Tidur
Tonsil bengkak boleh menyebabkan dengkuran atau kesukaran bernafas semasa tidur, yang akhirnya menjejaskan kualiti tidur.
4. Bau Mulut
Jangkitan tonsil juga boleh menyebabkan nafas berbau akibat pengumpulan bakteria.
Bagaimana Cara Merawat Tekak Bengkak?
Jika anda mengalami sakit tekak bengkak berulang dan tidak begitu teruk, ini cara rawatan yang boleh dilakukan sendiri di rumah.
- Kumur dengan air garam.
- Persekitaran yang bersih .
- Mengambil gula-gula sakit tekak seperti lozenges.
- Makan ubat-ubatan yang dipreskripsi oleh doktor perubatan.
Apa Pantang Larang Tonsil?
Bagi yang sedang mengalaminya, sebarang kelewatan menerima rawatan akan mendatangkan mudarat terhadap tubuh badan seperti mengalami kesukaran bernafas, gangguan tidur yang teruk dan kegagalan organ yang mengakibatkan kematian.
Ini kerana, tekak bengkak terbahagi kepada tiga tahap iaitu akut, kronik dan berulang. Bagi tonsilitis akut, anda mungkin tidak perlu melakukan pembedahan berbanding dengan tahap kronik dan berulang.
Terdapat beberapa pantang larang yang perlu dipatuhi antaranya:
Semasa sakit
- Rehat secukupnya.
- Perlu menghabiskan antibiotik untuk membunuh bakteria dan mengelakkan jangkitan berulang.
- Minum air kosong secukupnya bagi mengurangkan risiko dehidrasi.
- Mengambil makanan yang bertekstur lembut seperti bubur, sup dan aiskrim bagi melegakan sakit tekak.
Selepas pembedahan tonsilitis kronik dan berulang
- Mengambil makanan dan minuman yang mudah ditelan dan elakkan saiz hidangan yang terlalu besar dan keras.
- Kurangkan bercakap, berteriak atau menyanyi sebelum benar-benar pulih.
- Pastikan cukup rehat dan tidur supaya badan kembali bertenaga.
Cara Mencegah Tonsil Bengkak
1. Amalkan Kebersihan Diri
Pastikan kebersihan diri sentiasa dijaga untuk mengurangkan risiko terkena jangkitan. Biasakan mencuci tangan dengan kerap menggunakan sabun dan air, terutamanya sebelum makan, selepas menggunakan tandas atau selepas bersin dan batuk.
2. Elakkan Berkongsi Barangan Peribadi
Barangan seperti sudu, garpu, gelas, tuala, atau berus gigi tidak sepatutnya dikongsi dengan orang lain, terutamanya jika mereka sedang sakit.
Perkongsian barangan ini boleh memindahkan bakteria atau virus yang menyebabkan jangkitan termasuk tonsilitis.
3. Kekal Hidrat
Minum air yang mencukupi untuk memastikan tekak sentiasa lembap dan sihat.
4. Jauhkan Diri dari Individu Sakit
Jika ada orang terdekat yang mengalami tonsilitis, cuba elakkan kontak rapat buat sementara waktu. Pastikan anda menjaga jarak dan mengamalkan langkah berjaga-jaga seperti memakai pelitup muka jika perlu.
Bila Perlu Jumpa Doktor?
Tonsil bengkak biasanya boleh dirawat di rumah, tetapi terdapat situasi tertentu di mana anda perlu mendapatkan rawatan perubatan segera. Segera berjumpa doktor jika anda mengalami:
- Demam melebihi 38.5°C yang tidak reda walaupun selepas mengambil ubat.
- Kesukaran bernafas atau menelan sehingga menjejaskan aktiviti harian.
- Bengkak tonsil yang semakin besar atau terdapat nanah pada bahagian tonsil, menandakan kemungkinan abses.
- Tonsilitis yang kerap berulang dalam masa yang singkat, yang mungkin memerlukan pemeriksaan lanjut untuk menentukan rawatan terbaik.
Semoga bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Pedih Ulu Hati Ketika Mengandung, Sampai Terasa Gas Di Tekak, Ada Penawar Tak?
Baca juga: “Pedihnya Ulu Hati, Rasa Macam Kena Bakar”, Doktor Samhan Kongsi Cara Rawat Gastrik Dengan Mudah
Baca juga: Masalah Sakit Gigi Berdenyut, 11 Petua Ini Terbukti BERKESAN Menghilangkannya!