Ingat lagi tak pada tradisi melayu menyambut hari lebaran masa kecil dahulu? Pastinya kita sering bercerita pada anak-anak tentang kemeriahan hari raya pada zaman kanak-kanak, malah kalau boleh ibu ayah pun mahu anak-anak merasai yang sama seperti kita jua.
Hari raya merupakan salah satu perayaan yang paling dinantikan khususnya buat yang beragama Islam. Saban tahun, pelbagai perubahan yang berlaku mengenai sambutannya tanpa kita sedari.
Tradisi melayu menyambut hari raya Aidilfitri
Semakin kita meningkat dewasa, kemeriahan Aidilfitri sudah pasti tidak sama lagi berbanding zaman kanak-kanak.
Iyalah, hari raya 2023 kali ini pastinya kita pula yang menyediakan baju raya, persiapan, perhiasan dan macam-macam lagi untuk menggembirakan anak-anak.
Walaupun anak-anak kelihatan gembira pada hari raya, si ibu bapa pula asyik terkenang zaman kanak-kanak mereka dan tradisi melayu yang berbeza sekali pada musim perayaaan tersebut.
Malah ada juga dalam kalangan kita yang ingin mengekalkan tradisi melayu hari raya dengan bersungguh-sungguh hanya kerana inginkan feel yang sama semasa waktu kecil dahulu. Hihi.
Tradisi hari raya yang semakin dilupakan
Ingat lagi tak suasana hari raya anda semasa zaman kanak-kanak? Ini beberapa tradisi lebaran yang tidak lagi ada atau makin dilupakan.
#1 Kad Raya
Dulu-dulu, kad raya ini antara perkara wajib setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri! Kad raya ada dijual di merata-rata dengan pelbagai rekabentuk yang menarik, siap ada yang mengeluarkan muzik bila kad itu dibuka.
Tetapi kini hanya e-kad sebagai pengganti. Tidak ada lagi kad-kad raya yang digantung pada dinding rumah buat penyeri.
#2 Pasang Pelita
Tradisi melayu ini masih diamalkan oleh sesetengah orang, walaupun pelita kini lebih moden dan tidak menggunakan minyak tanah lagi.
Suasana rumah menjelang raya sebenarnya kelihatan sangat cantik dan meriah apabila pelita dipacakkan di sekeliling rumah, malah waktu malam juga nampak berseri-seri!
#3 Main Bunga Api dan Mercun
Ha, ini salah satu aktiviti kegemaran bukan sahaja kanak-kanak, malah orang dewasa juga. Yang menariknya, hampir kesemua jiran tetangga akan keluar rumah pada waktu malam untuk bermain bunga api dan mercun bersama-sama sampai berasap keliling rumah!
Tetapi sejak banyak kes kecederaan yang mengakibatkan main mercun, kegiatan bermain mercun sudah tidak dibenarkan lagi. Hanya beberapa mercun dan bunga api sahaja yang masih boleh dimainkan.
#4 Tunggu Pengumuman Raya Depan TV
Sejak ada gajet, makin ramai yang hanya menunggu pengumuman hari raya melalui media sosial sahaja. Tetapi apa yang pasti, perasaan melihat pengumuman raya di televisyen bersama keluarga sememangnya berbeza, tambahan lagi apabila kita semua bersorak sekiranya esok confirm raya!
#5 Gotong Royong Menyiapkan Juadah Raya
Tradisi hari raya ini masih ada yang melakukannya, terutamanya bila membalut ketupat dan mengisi kuih dalam balang. Tetapi lemang dan dodol pula, ramai yang suka beli di gerai tepi jalan sahaja, bukan lagi buat sendiri.
Tradisi hari raya 2023 yang masih ada
Bagaimana pula dengan tradisi lebaran yang masih lagi diamalkan? Jom tengok senarai ini!
#1 Balik Kampung
Menjelang raya, pasti ramai yang isi borang cuti sampai seminggu lamanya! Anak-anak muda yang belajar dan bekerja di kota pasti akan pulang untuk menyambut hari raya bersama keluarga tersayang.
Yang menariknya, walaupun keadaan lalu lintas setiap tahun sesak, tetapi semangat untuk pulang beraya tetap tidak pudar bagi kebanyakkan orang.
Bagi yang bekeluarga pula, ada yang pulang ke 2 kampung walaupun jarak antara keduanya memakan masa yang lama!
#2 Takbir Raya
Walaupun takbir raya kini sering disiarkan di radio dan televisyen, namun laungan takbir raya masih lagi bergema setiap kali pagi raya.
Suasana raya pasti terasa apabila takbir bergema sambil sanak saudara sibuk menyiapkan diri untuk pergi ke surau dan masjid bagi menunaikan solat.
#3 Ziarah Kubur
Walaupun pada hari lebaran, pastinya ahli keluarga yang telah meninggal dunia masih lagi diingati. Inilah masanya untuk menziarah pusara ahli keluarga bersama-sama seisi keluarga dan mendoakan kesejahteraan mereka.
#4 Duit Raya
Duit raya sebenarnya bukanlah satu kemestian, tetapi ia memberikan rasa seronok bagi kanak-kanak kerana mereka seolah-olah mendapat saguhati apabila beraya.
Namun harus diingatkan ya, kalau mahu duit raya, perlulah beraya dengan ikhlas!
#5 Kunjung Mengunjungi
Apabila ramai sahabat dan sanak saudara pulang ke kampung, pastinya ini masa yang terbaik untuk bertemu dan merapatkan silaturrahim. Malah, masih ada yang beraya beramai-ramai dengan melakukan konvoi!
Walaupun letih seharian beraya, namun tradisi lebaran yang satu ini memang menyeronokkan!
Wah, bagaimana dengan sambutan lebaran anda pula kali ini? Jom kongsi bersama kami di ruangan komen!
Kredit foto: Mama Tisya & Kosmo
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Selesaikan Awal Giliran Beraya Suami Isteri, Pastikan Ia Adil & Fleksibel Elak Perbalahan
Baca juga: Bagi Pasangan Baru Kahwin, Raya Pertama Sebaiknya Di Rumah Keluarga Isteri, Ini Sebabnya…
Baca juga: Selalu Sangat Tersalah Ukuran Baju Raya Kalau Beli Online, Ini 10 Tips Cara Ukur Badan Dengan Tepat!