Betul Ke Kalau Tuala Wanita Tak Basuh, Nanti Jin Kacau? Kaum Wanita Wajib Tahu Fakta Ini!

Antara soalan famous tentang tuala wanita adalah sama ada darah kotor yang melekat di atasnya perlu dibersihkan terlebih dahulu atau dibiarkan sahaja?

Pernah tak bila anda masuk ke mana-mana tandas awam, anda terlihat ada tuala wanita yang masih berdarah di buang ke dalam tong sampah yang terdedah? Apa reaksi anda ketika itu? Sebagai seorang manusia tentunya timbul perasaan ‘kurang senang’ dengan perlakuan tersebut, kan?

Namun begitu, adakah tuala wanita ini wajib dibasuh terlebih dahulu sebelum dibuang ke dalam tong sampah?

Isu ini sebenarnya telah lama berlaku khususnya kepada pelajar yang menetap di asrama di mana mereka akan didenda sekiranya tidak mencuci pad wanita dengan baik sebelum membuangnya.

Ini kerana, kononnya darah yang tidak dibasuh itu akan dijilat syaitan atau jin sekaligus membuatkan badan berasa sakit.

Berikut ini kami sediakan penjelasan lanjut berkaitannya.

Perlu atau tidak tuala wanita dibasuh sebelum dibuang?

#1. Dalil basuh jika menggunakan kain

Menurut sudut agama Islam, kita sebenarnya diajar supaya membersihkan pakaian sekiranya terkena darah haid dan pakaian tersebut boleh digunakan untuk bersolat.

Hal ini kerana, darah haid termasuk dalam kategori najis berdasarkan hadith dari Asma, Puteri Abu Bakar yang mengatakan Nabi pernah bersabda tentang darah haid yang terkena pakaian.

Hendaklah (perempuan itu) mengeriknya (darah haid tersebut) kemudian menggosoknya dengan air kemudian mencucinya, kemudian ia (boleh) solat dengan kainnya itu. Bukhari dan Muslim.

Malahan orang di zaman dahulu biasanya menggunakan kain untuk menampung darah semasa haid. Jadi bila mahu digunakan semula, ia perlu dibasuh terlebih dahulu.

#2. Kalau guna tuala wanita pakai buang, tak perlu basuh

Ulama turut bersepakat, untuk pad yang tidak digunakan semula, ia tidak perlu dibasuh. Cukup bungkus elok-elok dan buang dengan baik atau ditanam.

Jika tak ada kawasan untuk tanam buang dengan sempurna dan tertib.

Jika di asrama, buang dalam bekas rentokil yang disediakan pihak asrama bukannya letak tepi pintu tandas, flush dalam mangkuk jamban atau buang dalam sinki. Itu memang membuatkan orang yang melihat bikin marah!

Ia samalah seperti kita guna kapas untuk cuci darah, adakah kita mencuci kapas itu dahulu sebelum membuangnya? Tidak bukan? Maka ia juga sama dengan kes tuala wanita ini.

#3. Jangan timbulkan kepercayaan khurafat

Tolong hentikan kepercayaan khurafat ini seperti kalau tak buang dengan elok, nanti jin jilatlah dan sebagainya.

Ini kerana, kalau dibuang dengan cara yang baik, maka tiada hal yang akan berlaku cuma anda perlu bertawakal dan baca bismillah.

Bahkan, Allah yang cipta darah kotor itu dan kita sebagai manusia yang diberi akal untuk berfikir perlulah bertanggungjawab membuangnya dengan cara yang baik.

Kepercayaan khurat yang kononya tuala wanita yang dipenuhi darah haid perlulah dibasuh terlebih dahulu adalah kepercayaan yang karut dan bertentangan dengan apa yang dilakukan di kalangan para wanita pada zaman Nabi Muhammad SAW.

Abu Sa’id Al- Khudriy berkata

Pernah ditanya kepada Rasulullah SAW apakah kami boleh berwuduk dengan air dari telagan Budha’ah iaitu telaga yang tempat dibuang kain tuala wanita, sisa anjing dan kotoran? Nabi SAW menjawab, sesungguhnya air itu suci tidak menajiskannya sesuatupun. Kesimpulannya, jika nak basuh, silakan basuh tapi jangan jatuhkan hukum bila ada orang yang tidak membuatnya tapi membuangnya dengan cara yang terbaik. 

Panduan memilih tuala wanita yang betul

#1. Saiz seluar dalam

Sebelum memilih tuala wanita, anda perlu tahu ukur lilit seluar dalam mengikut pangkal pinggang kerana ukuran yang tepat dapat membuatkan anda memilih tuala wanita yang betul.

#2. Ketebalan

Tuala wanita maxi biasa selalunya mempunyai ketebalan yang sesuai untuk aliran darah yang banyak. Namun, ada juga wanita yang suka pakai yang nipis kerana selesa. Jadi, pilihlah mengikut keselesaan anda.

#3. Sayap atau tidak

Fungsi sayap pada pad wanita ini adalah untuk mengelak darah dari terbocor lalu terkena bahagian seluar dalam anda. Ia disyorkan jika anda mempunyai aliran darah yang banyak dan selalu melakukan aktiviti di luar.

Semoga bermanfaat.

Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysi

Sumber: Salwasaleh 

Baca juga

https://my.theasianparent.comkitaran-haid-normal