Panduan Lengkap Perkembangan Bayi 1 Bulan Untuk Ibu Ayah

undefined

Kami kongsikan perkembangan tumbesaran dan milestone anak anda yang berusia 1 bulan buat panduan anda sebagai ibu ayah.

Pasti ibu ayah yang baru menimang cahaya mata ingin tahu perkembangan bayi 1 bulan supaya mudah untuk anda monitor. Tumbesaran seorang bayi pada satu tahun pertama hidupnya merupakan tahun perkembangan dan tumbesaran paling laju dalam hidup seorang manusia.

Jadi, tidak hairanlah jika ramai yang akan berkata, “Cepatnya anak awak besar!” atau “Tak sangka masa cepat berlalu!”.

Apa yang anda boleh lakukan semasa fasa ini adalah menikmati dan melihat bayi anda membesar setiap bulan.

Perkembangan Bayi 1 Bulan: Fizikal

Sebaik saja dilahirkan, bayi akan mula menguasai beberapa kebolehan walaupun dia ada banyak lagi milestone tumbesaran untuk dicapai.

Bayi yang baru lahir tanpa sebarang komplikasi akan terus ada naluri semula jadi untuk belajar bernafas, menggenggam jarinya, mengenal bau ibunya sendiri dan membandingkan bau itu dengan bau orang lain.

Malah, ada juga bayi sudah belajar untuk menghisap jarinya semasa dalam rahim lagi! Anda mungkin merasakan bayi baru lahir hanya tahu tidur, menyusu, menangis, dan perlu ditukar lampinnya selalu.

Pada usia ini, bayi anda belum lagi boleh mengawal otot dan hanya bergantung kepada aksi refleks seperti menghisap, menguap, bersin dan menangis.

Semasa dia membesar dalam sebulan pertama, dia akan mula tahu yang dia boleh mengawal badannya sendiri. Pertamanya, dia akan meneroka tangan dan jari-jemari.

Dia akan teruja mengetahui yang dia boleh menggenggam tangan anda apabila jarinya dipegang atau menghisap sesuatu untuk mendapatkan rasa tenang atau apabila dia lapar!

Perkembangan Bayi 1 Bulan: Sensori

perkembangan bayi 1 bulan, bayi 1 bulan

Merangkak, berjalan, berlari, malah menari akan mula dilakukan oleh bayi anda; lebih cepat daripada yang dijangkakan.

Tapi, ia hanya akan bermula selepas bayi anda belajar mengenal badannya sendiri dan mula berinteraksi dengan dunia di sekelilingnya.

#1. Penglihatan

Bayi akan mula membuka matanya. Walaupun pada waktu ini matanya belum mampu fokus pada objek yang jauh dari 1 meter, tapi dia boleh memfokus secara tepat pada muka anda apabila didukung.

Jarak ini adalah lebih kurang jarak dari mata ke dada anda.

Oleh sebab itu, pada usia ini, melihat ke mata anak anda adalah satu cara yang penting untuk berhubung, atau bonding, dengannya.

Luangkanlah masa untuk melihat si kecil anda; lihat bentuk tubuhnya, badannya yang kecil, dan mula berkenalan dengannya dengan melihat wajah serta senyuman bayi anda.

Bayi anda juga dapat berkenalan dengan anda apabila dia melihat wajah ayah dan ibunya. 

#2. Pendengaran

Bayi anda juga boleh mula mendengar semasa di usia kehamilan 28 minggu. Dari dalam perut ibunya, dia sudah boleh mendengar bunyi dalam tubuh ibu serta bunyi dari dunia luar rahim.

Bayi yang baru lahir ditenangkan oleh suara ibunya yang bercakap atau menyanyi kepadanya, dan bayi usia sebulan juga sudah pandai untuk berasa sedih apabila terdengar bunyi garang atau menyedihkan.

Kajian juga telah membuktikan yang bayi baru lahir memberikan lebih respon pada bunyi suara tinggi wanita berbanding lelaki.

Sebab itulah, kita dapat lihat ramai para ayah akan bersuara nyaring apabila bercakap dengan bayi (comelnya!) untuk meniru suara high-pitch wanita.

#3. Bau

Hidung si kecil juga sensitif pada usia 1 bulan. Sehinggakan, dia mampu untuk membezakan antara bau ibu dengan bau orang asing.

Ini digabungkan dengan deria rasa yang elok berkembang (tahukah anda yang bayi mempunyai deria rasa yang lebih tajam dari orang dewasa?) di mana ia mampu untuk membiasakan dirinya dengan rasa manis susu badan ibu atau susu formula.

#4. Sentuhan

Semua orang memerlukan sentuhan fizikal yang lembut dan menenangkan untuk rasa sejahtera dan bahagia; begitu juga dengan bayi anda.

Mengurut si kecil yang baru lahir itu juga adalah satu cara bonding yang berkesan. Dia pasti merasakan yang sentuhan ibu atau ayahnya amat menenangkan!

Urutan lembut juga membantu untuk tumbesaran bayi anda, terutamanya bahagian otot.

#5. Refleks

Bayi juga lahir dengan beberapa refleks, di mana ia penting untuk survival dirinya!

Ini termasuklah refleks rooting, iaitu kemahiran untuk mencari payudara ibunya apabila pipi bayi diletakkan berhampiran dengan bahagian dada.

Selain itu, bayi anda juga mempunyai refleks menghisap dan menelan yang membolehkannya untuk minum, dan refleks gag, iaitu kebolehan yang mengelakkannya daripada minum terlampau banyak cecair.

Bayi yang baru lahir juga boleh mengeluarkan mukus yang memenuhi peparu semasa 9 bulan dalam rahim!

Apabila bayi anda meniarap, dia secara automatik akan mengangkat kepala untuk membolehkannya bernafas; dia tidak akan menelangkup kepalanya ke lantai.

Ini dipanggil refleks labyrinthine.

Perkembangan Bayi 1 Bulan: Kognitif

perkembangan bayi 1 bulan, bayi 1 bulan

Perkembangan kognitif adalah satu proses pembinaan pemikiran, termasuklah mengingat, menyelesaikan masalah dan membuat keputusan.

Bermula dari awal, bayi anda mampu menyerap segala informasi tentang dunia barunya dan maklumat tentang orang di sekeliling.

Bayi anda selalu memerhatikan anda, mendengar apa yang anda katakan, dan memerhatikan persekitarannya.

Perkembangan Bayi 1 Bulan: Emosi & Sosial

Bayi yang baru lahir tidak akan menangis apabila mereka bosan, tetapi apabila mereka mahu keperluan asas mereka dipenuhi.

Contohnya lapar, lampin basah, berasa penat, dia terlampau panas atau sejuk dan sebagainya.

Ia adalah penting untuk anda tidak mengabaikan tangisan bayi anda yang baru berusia sebulan, ataupun membuatkan dia berasa tidak selesa terlampau lama.

Pada usia ini, menangis adalah cara komunikasi yang utama baginya dan dia amat memerlukan anda memahami bahasa tangisan itu. Mengabaikannya mampu memudaratkan bayi anda.

Sewaktu umur 1 bulan, bayi anda juga mudah dipengaruhi oleh penjaganya. Si kecil anda akan mudah meragam ketika anda sedang marah-marah.

Dia juga pandai untuk fokus dan teruja apabila melihat anda gembira. Bayi sangat suka melihat wajah anda dan apabila diajak “bersembang” dengan suara yang lembut dan perlahan.

Anda juga perlu tahu yang sebagai sebahagian daripada perkembangan bayi anda, dia juga sudah mula pandai untuk mengekspresikan emosinya selepas melihat tingkah laku anda.

Jadi, semakin anda tenang, semakin tenang juga bayi anda nanti.

Perkembangan Bayi 1 Bulan: Pertuturan & Bahasa

perkembangan bayi 1 bulan, bayi 1 bulan

Satu fakta menarik tentang perkembangan bayi adalah perkembangan pertuturan dan bahasa bayi anda bermula selepas dia membina kemahiran mendengarnya.

Amat penting untuk anda memantau kemahiran mendengar bayi, dan melihat sebarang tanda masalah atau jangkitan telinga, terutamanya jika ia kerap berlaku.

“Pertuturan” bayi yang pertama hanyalah bunyi-bunyian dan ia berlaku sebaik sahaja dia dilahirkan.

Tanda Bahaya Yang Ibu Perlu Peka

#1. Bayi tidak membuang najis dengan betul (sembelit)

Secara amnya, bayi yang baru lahir akan membuang najis dengan banyak dan agak kerap. Dalam beberapa hari yang pertama, bayi akan membuang najis yang berwarna hijau tua atau hitam (meconium).

Bagaimanapun setelah bayi telah mula menyusu dengan kerap, ciri-ciri najis bergantung kepada penyusuan bayi tersebut. Kebiasaannya, bayi yang diberikan susu ibu selalunya akan membuang najis antara 5 ke 6 kali sehari. Najisnya juga akan lebih cair berbanding dengan bayi yang diberikan susu formula.

Namun begitu, frekuensi pembuangan najis antara bayi adalah berbeza, mungkin ada yang hanya membuang najis selepas setiap kali menyusu atau bahkan ada juga yang membuang najis setiap 3 hari. 

Seseorang bayi itu dikatakan mengalami sembelit sekiranya dia membuang najis yang seakan batu kecil. Sembelit boleh menyebabkan najis berdarah.

Jadi, amat penting untuk untuk ibu ayah peka terhadap sebarang perbezaan ketara dalam frekuensi pembuangan najis bayi.

Jika ibu mencari susu untuk bayi sembelit, kami ada senaraikan di sini.

#2. Nafas berbunyi

Jika nafas bayi anda berbunyi, ia biasanya disebabkan oleh masalah ‘Laryngomalacia’. Laryngomalacia merupakan masalah kongenital tisu larinks atau kotak suara di saluran pernafasan bahagian atas peti suara, dan merupakan masalah paling kerap ditemui dalam kalangan bayi.

Struktur larinks yang tidak berfungsi dengan baik menyebabkan tisu sekitarnya jatuh dan menutupi di atas bukaan saluran pernafasan, seterusnya menghalang proses pernafasan pada bayi anda. 

Kebanyakan kes laryngomalacia pada bayi tidak terlalu serius dan boleh sembuh tanpa sebarang pembedahan apabila bayi sudah berusia antara 18 hingga 20 bulan.

Walau bagaimanapun, ada peratusan kecil bayi yang mengalami laryngomalacia akan mempunyai masalah pernafasan, kesukaran makan atau menyusu dan mengalami masalah berat badan.

#3. Tidak mahu menyusu

Bayi 1 bulan bergantung kepada susu, khususnya susu ibu sebagai sumber nutrisinya. Namun, terdapat beberapa keadaan yang mungkin menyebabkan si kecil enggan menyusu, dan akibatnya bayi menjadi lapar dan merengek sepanjang masa sehingga mungkin mengalami penurunan berat badan.

Antara beberapa sebab yang menyebabkan bayi kurang selera untuk menyusu adalah kerana:

  • bayi mengalami kesakitan akibat patah bahu atau lebam selepas dilahirkan, sehingga menyebabkan dia tidak selesa untuk menyusu.
  • bayi alami selsema dan menyebabkan ketidakselesaan semasa proses penyusuan.
  • hidung bayi tersumbat dan mengalami kesukaran bernafas
  • perpisahan yang berpanjangan antara ibu dengan bayi sehingga menyebabkan si kecil sukar untuk menyusu
  • perubahan pada bau badan ibu

#4. Waktu tidur berubah

Seorang bayi baru lagi sepatutnya mendapatkan tidur sebanyak 14 hingga 17 jam sehari. Namun, ada juga yang tidur sebanyak 11 jam sehari, atau bahkan sehingga 19 jam sehari.

Jika bayi anda kurang tidur atau terlebih tidur berbanding biasanya, maka ia mungkin menjadi tanda bayi anda sedang sakit atau mengalami gangguan dalam rutin mereka.

Segera kunjungi doktor untuk melakukan pemeriksaan dan mengetahui punca ia berlaku dan mengelakkan ia daripada berterusan.

Bila Anda Perlu Risau?

Perkembangan bayi bergantung kepada pelbagai faktor antenatal dan postnatal. Antaranya adalah seperti kesihatan ibu ketika hamil dan umur gestasi bayi ketika dilahirkan.

Contohnya, bayi yang lahir pada minggu ke-38 mungkin mencapai milestone lewat daripada bayi yang lahir pada usia 40 minggu.

Selain itu, ia turut bergantung kepada komplikasi ketika bersalin, penyakit yang dialami ketika baru lahir, dan faktor genetik serta persekitaran.

Anda juga perlu mengambil kira pengaruh personaliti, pendidikan dan sikap ibu bapa kepada bayi.

Bayi yang lahir dalam persekitaran yang sihat dan penyayang akan membesar dengan baik berbanding bayi yang tidak lahir dalam persekitaran seperti itu.

Jika bayi anda tidak mencapai usia purata untuk milestone perkembangan bayi dan kemajuannya sedikit lewat dan menyebabkan anda berasa risau, maka anda perlu membuat konsultasi dengan doktor pediatrik.

Ingatlah, kadar tumbesaran setiap bayi adalah berbeza. Setiap bayi itu unik dan mungkin ada yang akan mencapainya lebih cepat atau lebih lambat.

Namun, ia bukanlah penentu tentang bagaimana dia akan membesar.

Malah, si kecil anda yang lambat mencecah milestone ketika bayi mungkin akan membesar dengan baik sehingga menjadi seorang doktor atau saintis!

  1. What to Expect (Oct 25, 2021). Baby Month 1: Your Newborn Guide. www.whattoexpect.com/first-year/month-1

Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Panduan Lengkap: Tumbesaran dan Milestone Anak Anda Yang Berusia 2 Bulan

Baca juga: Panduan Lengkap: Tumbesaran dan Milestone Anak Anda Yang Berusia 3 Bulan

Baca juga: Panduan Lengkap: Tumbesaran dan Milestone Anak Anda Yang Berusia 4 Bulan

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!