Perkembangan bayi 4 bulan ini adalah salah satu perkara yang buat ibu ayah semakin excited! Sifat ingin tahu bayi anda yang berusia 4 bulan akan semakin meningkat. Mereka akan lebih gemar cabaran! Sekarang, dia lebih pandai menunjukkan ekspresi dan anda akan lebih kerap melihatnya tersenyum, membuat bunyi dan tertawa. Sungguh comel!
Jangan terkejut jika dia cuba mengangkat kepala ketika meniarap. Ia salah satu cara untuk menunjukkan yang dia sedang cuba perkara baru dan sedang membesar dengan cepat. Sebagai ibu ayah, anda juga akan melihat banyak perubahan fizikal pada dirinya.
Di usia 4 bulan, berat bayi sudah mencapai 2 kali ganda beratnya semasa lahir dan anda mungkin tidak akan berjaya untuk berhenti dari mencubit pipi tembam itu. Tetapi di waktu ini jugalah anda perlu menyediakan diri anda dengan ‘rollercoaster’ emosi.
Perkembangan Bayi 4 Bulan: Perkembangan Fizikal
1. Mengangkat kepala
Anda akan lihat dia cuba untuk mengangkat kepala tanpa bantuan. Jika si kecil anda aktif, anda juga akan melihat dia cuba menolak kaki apabila kakinya berada di atas permukaan keras.
2. Berpusing dan bergolek
Kerana dia semakin banyak bergerak, anda akan banyak membuka video supaya dapat merakam momen dia meniarap dan bergolek.
Ketika ini, anda akan melihat dia cuba meletakkan tangan ke mulutnya dan menongkat badan menggunakan siku semasa meniarap.
3. Merasa dan belajar
Bayi anda akan mula mengutip apa saja di depan mata dan memasukkannya ke dalam mulut. Jadi jika anda ada mainan gantung atau mainan yang mengeluarkan bunyi atau bercahaya, bayi anda akan goncang, terbalikkan dan letakkan dalam mulut.
Malah anda harus bersedia kerana ia mungkin juga adalah rambut anda!
Ingat ketika mendukung bayi, pastikan tiada barang perhiasan yang tajam di telinga, leher atau kerongsang kerana ia akan menarik perhatian si kecil untuk diletakkan dalam mulutnya.
Ini kerana dia sedang belajar dan lebih banyak menggunakan tangannya.
4. Deria semakin kuat
Ketika ini, mata bayi anda akan bergerak dan lebih fokus pada objek yang bergerak atau terang. Ini kerana penglihatannya sudah mencapai 20/40. Dia juga dapat membezakan warna dan kontras.
Jadi jika anda perasan yang bayi belum boleh menggerakkan matanya bersama atau kelihatan seperti juling, beritahu doktor dengan segera!
5. Waktu tidur yang tetap
Berita baik! Ketika di usia 4 bulan, si kecil anda akan mula menyesuaikan diri dengan waktu tidur. Ini bermakna, anda dan dia boleh menikmati waktu tidur malam yang lebih panjang.
Selalunya, bayi tidur dalam lingkungan 7 hingga 8 jam ketika ini. Dan jika anda mengambil kira waktu tidur siang, anda akan melihat dia tidur 12 hingga 13 jam minimum sehari.
Jadi, tahniah! Anda boleh dapatkan tidur anda semula!
Perkembangan bayi 4 bulan: Perkembangan Kognitif
Sementara anda melihat segala perkembangan fizikal pada dia, anda akan terkejut dengan perkembangan kognitif yang pantas juga. Antaranya seperti:
1. Lebih pandai tunjukkan ekspressi
Sejurus si kecil anda masuk ke bulan ke-4, kebolehan dia untuk menunjukkan ekspresi akan meningkat dan dia boleh menunjukkan rasa gembira dengan mudah.
2. Lebih responsif
Ini juga menunjukkan yang dia lebih responsif terhadap anda dengan lebih kerap. Jadi jika anda memanggilnya, dia mungkin akan melihat anda sambil tersenyum, menunjukkan dia kenal anda.
3. Koordinasi tangan dan mata yang lebih baik
Koordinasi tangan dan matanya juga semakin baik. Ini bermakna, dia boleh melihat objek kemudian mencapai objek tersebut. Kebolehan motor juga semakin meningkat.
Dan yang paling seronok ialah, dia mula mengenali orang di sekelilingnya. Jadi, panggil namanya kerana dia mendengar dan tahu anda sedang bercakap dengannya.
Perkembangan Bayi 4 bulan: Perkembangan Sosial Dan Emosi
Seperti perkembangan yang lain, perkembangan sosial dan emosi dia juga berkembang.
Oleh sebab bayi anda sudah bersedia untuk memberi respon dan menunjukkan ekspresi, dia akan lebih banyak senyum. Namun, sama seperti lebih kerap menunjukkan rasa gembira dengan senyuman, mereka juga lebih banyak mengekspresikan rasa sedih dengan menangis.
Jika anda berhenti tiba-tiba ketika bermain dengan bayi, anda akan membuatkan dia sedih. Jangan risau, di usia ini, dia akan lebih suka bermain dan akan memberitahu anda sama ada dia mahu meneruskan permainan atau berhenti.
Juga, jangan terkejut jika dia cuba meniru mimik muka anda. Di usia comel ini, mereka mula meniru mimik muka yang mereka lihat. Tentulah dia mahu mengikut ibunya!
Perkembangan Bayi 4 Bulan: Perkembangan Bahasa Dan Pertuturan
Dalam usaha untuk faham kelakukan dan perkembangan si kecil, jangan lupa yang dia akan belajar semua perkara dari anda. Jadi apabila anda memanggilnya dengan panggilan manja serta suara yang dibuat comel atau berlagu, dia akan cuba meniru perbuatan itu.
Walaupun tidaklah betul-betul sama, dia akan mula mengeluarkan bunyi sekarang.
Untuk menggalakkan kemahiran bahasa bayi anda, cuba bercakap dengan bayi seperti anda bercakap dengan orang dewasa.
Kajian menunjukkan meniru suara nyanyian bagus untuk bayi. Ia membantu mereka belajar dengan lebih cepat. Juga, guna ayat lengkap serta tatabahasa yang betul.
Guna perkataan seperti “tolong” dan “terima kasih”. Walaupun mereka tidak memahami maksudnya, tapi mereka akan faham maksud kedua perkataan ini di masa hadapan.
Perkembangan Bayi 4 Bulan: Kesihatan dan Nutrisi
Doktor akan menasihatkan anda supaya memberi susu badan sehingga 6 bulan dan mula memberi makanan selepas itu. Tapi, kadang-kala, bayi rasa tidak cukup dengan susu badan atau formula. Jadi, apa yang anda boleh lakukan dalam situasi ini?
Jika doktor menyarankan untuk bayi anda makan, dan bayi anda sudah boleh menegakkan kepala lalu duduk, anda bolehlah memulakan makanan. Tapi ingat, makanan pertama bayi hendaklah mengandungi zat besi dan dicampurkan dengan susu badan atau susu formula.
Perkembangan Bayi 4 Bulan: Tips Yang Amat Membantu
Si kecil anda baru mula meneroka. Dan disebabkan dia gemar mengutip apa sahaja yang boleh dicapai, cuba pastikan objek tersebut selamat.
1. Beri benda bertekstur
Berikan bayi anda banyak tekstur untuk diteroka seperti permainanan lembut dan buku. Memang dia mungkin akan buang dan main sudu sahaja, jadi biar dia main sudu kayu.
Cuma pastikan objek tidak terlalu kecil hingga dia boleh tertelan atau terlalu besar hingga boleh mencederakan diri sendiri. Paling penting, pastikan bayi anda dekat dengan anda setiap masa ketika bermain.
2. Menyanyi dan cakap dengan bayi lebih kerap
Bayi 4 bulan juga akan belajar menstabilkan kepalanya, jadi, dudukkan dia di riba anda, dan menyanyi, bermain dan bacakan buku kepadanya. Percayalah, dia suka mendengar suara lunak anda dan ketika ini dia juga belajar melihat anda dan senyum kepada anda.
3. Rumah selamat untuk bayi
Mula buat rumah anda selamat untuk bayi bergerak. Letakkan pagar pada tangga, kunci laci dan almari serta simpan wayar-wayar agar tidak berselerak. Selain daripada itu, nikmati fasa indah ini dan biarkan si kecil menjadi peneroka.
Bila Perlu Risau?
Kadangkala, bayi anda memerlukan stimulasi untuk merangsang perkembangan minda mereka. Jika anda risau tentang kemahiran sosial anak anda, ibu ayah disarankan untuk menjalankan langkah pelbagai langkah.
Contohnya, kerap bercakap dengan anak, menyanyikan lagu kanak-kanak kepada mereka, bercerita dengan mereka, bermain ‘cak-cak’, cuba untuk memegang mainan bayi 4 bulan, goyangkan kaki bayi, panggil nama panggilan mereka.
Walau bagaimanapun, jika langkah-langkah di atas sudah dicuba namun anak anda tidak menunjukkan perkembangan sejajar dengan perkembangan bayi 4 bulan, ibu ayah disarankan untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada pakar perkembangan anak-anak.
- doctoroncall.com.my (Ogos 12, 2020) Kenali Perkembangan Bayi 4 Bulan Anda Sebagai Panduan Untuk Anda
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Panduan Lengkap: Tumbesaran dan Milestone Anak Anda Yang Berusia 5 Bulan
Baca juga: Panduan Lengkap: Tumbesaran dan Milestone Anak Anda Yang Berusia 3 Bulan
Baca juga: Panduan Lengkap: Tumbesaran Dan Milestone Anak Anda Yang Berusia 1 Bulan
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!