Penyusuan badan bukan sesuatu yang mudah. Ia fasa mencabar untuk mereka yang bergelar ibu menyusu. Adakah benar seorang isteri boleh meminta upah menyusukan anak daripada suaminya?
Isi Kandungan
Upah Menyusukan Anak
Menurut Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengikut Kamus Dewan edisi keempat, penyusuan adalah perihal (perbuatan) menyusui, sedangkan penyusu pula ialah orang yang menyusui.
Penyusuan dalam Islam dikenali sebagai ridha’ (الرِّضَاع) dan merujuk kepada bayi yang menghisap susu ibu. Istilah ini juga termasuk radh’an (رَضْعًا), ridha’an (رِضْعًا), dan radha’an (رَضَاعًا). Dalam konteks syarak, ia merujuk kepada proses pengaliran susu ibu ke dalam perut bayi dengan syarat-syarat tertentu. Istilah hadhanah, yang bermaksud penjagaan, juga berkaitan kerana penjaga boleh juga menyusu anak yang dijaganya.
Dalil Disyariatkan Penyusuan
Al-Qurtubi berkata: “Isteri yang diceraikan, maka bagi anak-anak mereka hendaklah bapa-bapa memberi upah atas penyusuan mereka.” (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 18/168)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan sebahagiaa ulama menyatakan bahawa jika seorang isteri meminta bayaran dari suaminya kerana menyusukan anak-anak, maka suami wajib memberikan upah tersebut. Ini merupakan sebahagian daripada pandangan Mazhab Hanbali. Mereka berdalilkan dengan firman Allah SWT:
فَإِنْ أَرْضَعْنَ لَكُمْ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ
Maksudnya: Jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikan kepada mereka upahnya. (Surah al-Talaq: 6)
Namun apa yang sahihnya adalah jika seorang isteri berada dalam perlindungan suaminya, tidak dibenarkan baginya untuk meminta bayaran sebagai ganti menyusukan anak-anaknya, kerana itu adalah kewajipan baginya, dan pada masa itu dia hanya mempunyai hak untuk mendapat nafkah sahaja. Ini sebagaimana firman Allah SWT:
وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَنْ يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyususan itu, dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. (Surah al-Baqarah: 233)
Upah Menyusu Bersyarat
Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili menyatakan hal keadaan seorang isteri yang layak untuk menuntut upah kerana menyusukan anak adalah sebagaimana berikut:
- Menurut Mazhab Hanafi, Syafi’i, dan Hanbali, seorang ibu tidak layak menerima bayaran atas penyusuan susu ketika dalam perkahwinan atau semasa dalam iddah selepas talak raj’i, kerana suami bertanggungjawab untuk memberikan nafkah kepadanya.
- Ibu berhak menerima bayaran atas penyusuan mengikut kesepakatan para ulama selepas berakhirnya perkahwinan dan iddah, atau semasa iddah kematian.
- Ibu berhak menerima bayaran atas penyusuan susu semasa iddah selepas talaq bain menurut pandangan yang lebih sahih di kalangan sebahagian ulama Hanafi, kerana dia dianggap seperti orang asing. Begitu juga dalam mazhab Maliki.
- Selain itu, pandangan ini juga dipilih oleh Syeikh Islam Ibn Taimiyyah: Jika seorang wanita berada di bawah tanggungan suaminya, maka yang dia miliki hanyalah hak untuk mendapat nafkah sahaja, dan tidak berhak untuk meminta bayaran.
Tidak Berhak Minta Upah
Justeru, berdasarkan pandangan ulama sebagaimana yang telah dinyatakan di atas, adalah jelas bahawa isteri yang menyusukan anak tidak berhak untuk menuntut sebarang bayaran daripada suami kecuali setelah berlakunya penceraian.
Hal ini kerana isteri masih di bawah tanggungan suami dan menerima nafkah daripadanya. Selain itu, tanggungjawab utama isteri adalah untuk menyusukan anak.
bukudrzulkifli.com
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Panduan Menyusukan Bayi Baru Lahir Dengan Betul, Kekerapan & Teknik Lekapan, Berat Anak Bertambah!
Baca juga: Sebelum Susukan Anak, Tambah Ilmu Dengan 7 Perkara Anda Wajib Tahu Ini!
Baca juga: Ini Rupanya Sebab Kenapa Bayi Baru Lahir Terus Pandai Cari Puting Ibu!