Mula-Mula Scan Kembar, Kemudian Tinggal Satu Bayi Saja! Itulah Sindrom Bayi Kembar Hilang Dalam Rahim

Apa itu Vanishing Twin Syndrome? Ia merupakan keadaan yang berlaku apabila satu bayi lenyap semasa imbasan scan dilakukan pada temujanji yang seterusnya.

Vanishing twin syndrome atau sindrom kembar hilang berlaku apabila imbasan awal mendedahkan ibu mengandungkan bayi kembar tetapi pada imbasan seterusnya hanya satu janin kelihatan. Ia adalah fenomen kembar yang hilang di dalam rahim semasa mengandung akibat keguguran.

Kemudian, tisu janin yang gugur akan diserap oleh kembar yang sihat.

Mari kita lihat keadaan yang lebih terperinci serta gejala yang berlaku pada ibu hamil.

Punca dan gejala Vanishing Twin Syndrome

Dalam kebanyakan kes, punca sindrom kembar hilang ini tidak diketahui.

Namun, analisa plasenta atau tisu janin sering mendedahkan ada kelainan kromosom pada kembar yang hilang. Sementara kembar yang hidup biasanya sihat. Implikasi tali pusat juga boleh jadi punca ia terjadi.

Anggaran kejadian ini menunjukkan vanishing twin syndrome berlaku dalam 21 ke 30% kehamilan kembar. Ibu yang melalui proses IVF ada ketikanya terpaksa berhadapan dengan situasi ini apabila ada bayi yang hilang manakala yang satu lagi sihat.

Penyelidikan juga menunjukkan kes ini biasanya berlaku pada wanita hamil yang berumur 30 tahun ke atas terutamanya mereka yang menggunakan rawatan kesuburan seterusnya mendapat risiko pada kehamilan.

Simpton vanishing twin syndrom

  • Kekejangan yang ringan
  • Pendarahan faraj
  • Sakit pinggul
  • Tahap hCG (hormon) meningkat secara perlahan tidak seperti selalu
  • Perkembangan janin kembar yang boleh dikesan dari darah ibu

Apapun gejala yang muncul, sebaiknya rujuk doktor dengan segera.

Diagnosis bayi kembar lenyap dalam kandungan ibu

Kredit: Parents Magazines

Dengan imbasan ultrasound, doktor boleh tahu tentang situasi bayi kembar lenyap ini.

Sebagai contoh, seorang ibu melakukan ultrasound pada enam ke tujuh minggu kehamilan. Kemudian doktor kenalpasti dua janin dan beritahunya mempunyai bayi kembar.

Apabila kembali pada lawatan seterusnya, mungkin hanya satu denyutan jantung yang dapat didengari dan imbasan juga menunjukkan hanya satu janin kelihatan. Itu tandanya ibu alami vanishing twin syndrome.

Dalam sesetengah kes, kembar yang hilang tidak diketahui sehingga bayi dilahirkan. Sesetengah tisu janin masih kelihatan pada dinding plasenta selepas bersalin.

Kalau hamil dengan IVF senang nak kesan sebab doktor boleh tahu jumlah telur yang disenyawakan.

Rawatan dan risiko

  • Bila ini terjadi ibu memerlukan rawatan yang lebih istimewa.
  • Jika satu janin telah hilang, maka kehamilan ibu lebih berisiko tinggi dan memerlukan ujian dan pemantauan yang lebih rapi.
  • Dalam sesetengah kes, bayi yang sihat selamat dilahirkan dan tiada sebarang masalah kongenital.
  • Jika bayi kembar hilang pada trimester ke 2 atau 3, janin yang hidup kemungkinan mengalami Cerebral Palsy yang lebih tinggi, kelahiran pramatang, berat badan rendah, jangkitan dan pendarahan.

Justeru, jika anda alami situasi bayi kembar hilang ini, jangan bersedih kerana tetap ada satu lagi janin yang masih sihat dan memerlukan jagaan rapi dari anda. Jangan lupa perkara itu!

Jika rasa sedih dan telah lama impikan bayi kembar, kongsikan rasa sedih itu dengan suami anda supaya anda tidak memendamnya seorang diri.

Semoga perkongsian ini bermanfaat.

 

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Foto: Medical Daily

Sumber: Penulis asal Jaya. Artikel ini mendapat keizinan dari theAsianparent Singapore untuk diterjemahkan. 

Baca juga: Pelik Tiba-Tiba Bayi Hilang Dalam Kandungan, Betul Ke Ia Berkaitan Alam Ghaib?