Kehamilan Ektopik: Kenali Punca, Gejala Dan Rawatan Terbaik Yang Perlu Ibu Tahu

Pembedahan membuang embrio salah satu cara untuk menyelamatkan nyawa ibu yang mengalami kehamilan ektopik atau hamil luar rahim. Mari lihat bagaimana ia dijalankan.

Setiap wanita yang sedang mengandung pastinya mahukan fasa kehamilannya berjalan dengan lancar, tanpa sebarang masalah atau komplikasi. Namun, ada sebilangan wanita hamil yang terpaksa melalui detik yang agak mencabar, iaitu apabila disahkan hamil di luar rahim atau secara saintifiknya disebut sebagai kehamilan ektopik. 

Kehamilan ektopik ini sememangnya salah satu komplikasi yang ingin dielakkan oleh mana-mana wanita mengandung sekalipun. Apakah tanda-tanda jika seseorang itu mengalami kehamilan di luar rahim? Apakah sebenarnya punca yang menyebabkan ia berlaku?

Untuk ibu, pastikan anda teruskan membaca artikel ini bagi mengetahui dengan lebih lanjut mengenai ectopic pregnancy supaya dapat dijadikan sebagai panduan pada masa akan datang. 

Apa itu Kehamilan Ektopik?

Apakah maksud mengandung luar rahim atau kehamilan ektopik? Ini penjelasan untuk anda. 

Sebenarnya, dari persenyawaan hingga ke bersalin, proses kehamilan memerlukan beberapa langkah dalam tubuh wanita. Salah satu langkah ini ialah apabila telur yang disenyawakan bergerak ke rahim untuk melekat sendiri.

Dalam kes kehamilan ektopik, telur yang disenyawakan tidak melekat pada rahim. Sebaliknya, ia mungkin melekat pada tiub fallopio, rongga perut, atau serviks.

Dianggarkan dalam 50 kehamilan, satu daripadanya adalah kehamilan ektopik. Dan kehamilan ini harus segera dirawat kerana ia boleh membahayakan nyawa ibu.

Bagi kehamilan ektopik, walaupun sel telur telah disenyawakan, janin tidak dapat kekal hidup kerana posisinya yang berada di luar rahim.

Jika keadaan ini dibiarkan, ibu akan mengalami masalah kesihatan yang serius.

Simptom Kehamilan Ektopik

Anda mungkin tidak dapat melihat sebarang gejala atau simptom pada awalnya. Walau bagaimanapun, sesetengah wanita yang mengalami kehamilan luar rahim mempunyai tanda atau simptom awal kehamilan yang biasa seperti terlepas haid, rasa sakit atau tidak selesa di bahagian payudara serta loya dan muntah-muntah.

Jika anda mengambil ujian kehamilan, hasilnya akan positif. Namun malangnya, kehamilan ektopik tidak dapat diteruskan seperti biasa.

Apabila telur yang disenyawakan tumbuh di tempat yang tidak sepatutnya, gejalanya menjadi lebih ketara.

Tanda awal kehamilan ektopik

Selalunya, tanda mengandung luar rahim yang awal adalah apabila keluarnya pendarahan (sedikit) di bahagian faraj dan sakit di bahagian pelvis.  

Jika darah itu bocor dalam tiub falopio, anda mungkin merasa sakit di bahagian bahu atau kerap membuang air besar. Bagaimanapun, gejala khususnya bergantung pada tempat darah terkumpul dan saraf mana yang terganggu. 

Gejala kecemasan

Jika telur yang disenyawakan terus membesar di dalam tiub fallopio, ia boleh mengakibatkan tiub itu pecah. Jadi, ia mungkin akan menyebabkan pendarahan yang banyak berlaku di dalam perut. Gejala yang mampu mengancam nyawa ini termasuklah terasa pening yang melampau, pengsan dan rasa terkejut.

Gejala yang memerlukan untuk jumpa doktor

Sila pastikan anda dapatkan bantuan perubatan kecemasan jika anda mempunyai sebarang tanda hamil luar rahim, termasuk:

  • Sakit perut atau pelvis yang teruk disertai dengan pendarahan faraj
  • Sakit kepala yang melampau atau pengsan
  • Sakit bahu
  • Sakit ketika membuang air besar

Punca Mengandung Luar Rahim 

Penyebab kehamilan luar rahim selalunya agak kurang jelas. Namun dalam sesetengah kes, keadaan-keadaan berikut telah dikaitkan dengan kehamilan ini:

  • keradangan dan parut pada tiub fallopio kesan daripada keadaan perubatan, jangkitan, atau pembedahan sebelumnya
  • faktor hormon
  • keabnormalan genetik
  • kecacatan kelahiran
  • keadaan perubatan yang menjejaskan bentuk dan keadaan tiub fallopio dengan organ pembiakan

Doktor anda mungkin boleh membantu berikan anda maklumat khusus dan mengenal pasti puncanya berdasarkan keadaan anda.

Rawatan Kehamilan Ektopik

Sangat penting untuk anda tahu dan ingat, kehamilan luar rahim tidak selamat untuk ibu. Embrio tidak akan dapat berkembang untuk jangka masa yang lama jadi anda perlu mengeluarkan embrio secepat mungkin demi kesihatan dan keselamatan ibu serta untuk kesuburan jangka masa panjang,  

Pilihan rawatan adalah berbeza-beza bergantung pada di mana berlakunya kehamilan ektopik dan perkembangannya.

Rawatan perubatan 

Doktor anda mungkin menyatakan bahawa komplikasi segera tidak mungkin berlaku. Jadi dalam kes ini, doktor anda akan memberikan beberapa ubat yang boleh menghalang jisim ektopik daripada pecah. Satu ubat biasa untuk ini ialah methotrexate (Rheumatrex).

Methotrexate ialah ubat yang akan membantu menghentikan pertumbuhan sel yang membahagi dengan cepat, seperti sel-sel jisim ektopik. Doktor anda biasanya akan memberikan ubat ini dalam bentuk suntikan.

Dalam pada itu, anda juga melakukan ujian darah dengan kerap bagi memastikan ubat tersebut berkesan. Jika ia berkesan, anda akan mengalami gejala yang serupa seperti keguguran termasuklah: 

  • kekejangan
  • pendarahan
  • kehilangan tisu

Pembedahan lanjut jarang diperlukan selepas gejala-gejala ini berlaku. Methotrexate tidak membawa risiko kerosakan tiub fallopio yang sama dengan pembedahan. Walau bagaimanapun, anda tidak akan dapat hamil selama beberapa bulan selepas mengambil ubat ini.

Pembedahan

Ramai pakar bedah mencadangkan untuk mengeluarkan embrio dan membaiki sebarang kerosakan dalaman. Prosedur ini dipanggil sebagai laparotomi. Doktor anda akan memasukkan kamera kecil melalui hirisan kecil untuk memastikan mereka dapat melihat kerja mereka. Pakar bedah kemudiannya akan mengeluarkan embrio dan membaiki sebarang kerosakan pada tiub fallopio.

Jika pembedahan pertama tidak berjaya, pakar bedah mungkin akan melakukan laparotomi sekali lagi, namun kali ini melalui hirisan yang lebih besar. Doktor anda juga mungkin perlu mengeluarkan tiub fallopio semasa pembedahan jika ia rosak.

Selepas pembedahan selesai, doktor anda akan memberi anda arahan khusus mengenai penjagaan selepas pembedahan. Matlamat utama adalah untuk memastikan hirisan anda bersih dan kering. Pastikan anda berjaga-jaga dengan tanda-tanda jangkitan yang mungkin berlaku termasuklah:  

  • pendarahan yang berpanjangan dan tidak berhenti
  • pendarahan yang berlebihan
  • bau busuk dari tempat yang dibedah
  • panas apabila disentuh
  • kemerahan
  • bengkak

Pendarahan faraj yang sedikit mungkin akan berlaku dalam tempoh sehingga enam minggu selepas pembedahan anda. Namun, anda boleh sahaja mengambil langkah-langkah penjagaan lain seperti:

  • tidak mengangkat barang berat
  • kerap minum air bagi mengelakkan sembelit
  • menahan diri daripada hubungan seksual, penggunaan tampon, dan douching
  • berehat sebanyak mungkin pada minggu pertama selepas pembedahan

Risiko Kehamilan Ektopik

Semua wanita yang aktif secara seksual mempunyai risiko tertentu untuk kehamilan ektopik. Bagaimanapun, ia akan lebih berisiko jika: 

  • umur ibu 35 tahun ke atas
  • mempunyai sejarah pembedahan pelvis, pembedahan abdomen, atau pernah mengalami beberapa kali keguguran
  • ada sejarah penyakit radang pelvis (PID)
  • mempunyai sejarah endometriosis
  • conception yang dibantu oleh ubat atau prosedur kesuburan
  • anda seorang perokok
  • ada sejarah kehamilan ektopik
  • memiliki sejarah penyakit kelamin (STD), seperti gonorea atau klamidia
  • mempunyai keabnormalan struktur dalam tiub fallopio yang menyukarkan perjalanan telur

Cara Mengelakkan Kehamilan Ektopik

Anda mungkin boleh mengurangkan risiko melalui penjagaan kesihatan reproduktif yang baik. Minta pasangan anda memakai kondom semasa hubungan seks dan hadkan bilangan pasangan seksual anda. Ini juga boleh mengurangkan risiko anda untuk mengalami STD, yang boleh menyebabkan PID di mana ia merupakan satu keadaan yang boleh menyebabkan keradangan dalam tiub fallopio.

Buat juga pemeriksaan secara berkala dengan doktor anda, termasuk pemeriksaan ginekologi dan STD biasa.

Dalam pada itu, anda juga boleh mula berhenti merokok jika anda adalah seorang perokok supaya risiko untuk mengalami kehamilan luar rahim berkurang.

Semoga bermanfaat!

Sumber

Mayo Clinic (March 12, 2022). Ectopic Pregnancy. www.mayoclinic.org/diseases-conditions/ectopic-pregnancy/symptoms-causes/syc-20372088

WebMD (n.d). Ectopic Pregnancy: What to Know. www.webmd.com/baby/pregnancy-ectopic-pregnancy#1

Healthline (Jan 8, 2018). Ectopic Pregnancy. www.healthline.com/health/pregnancy/ectopic-pregnancy#outlook

Artikel ini mendapat kebenaran untuk diterjemahkan daripada theAsianParent Indonesia

Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Doktor Keguguran Semasa Menyambut Bayi, Rupanya Dia Sendiri Mengandung Luar Rahim!

Baca juga: Wanita Keluar Susu Dari Vulva Akibat Tisu Ektopik, Ini Kes Sangat Jarang Berlaku!

Baca juga: Kejang Perut Melampau Awal Kehamilan, Salah Satu Tanda Hamil Ectopic Atau Luar Rahim!

Penulis

Aqma