Ibu hamil dan kadar kerosakan gigi yang tinggi
Tahukah anda yang ibu hamil dan ibu lepas bersalin mempunyai rekod kadar kerosakan gigi yang tinggi?
Ada banyak sebab kenapa hal ini berlaku pada ibu-ibu ini. Antaranya kerana:
- Mabuk hamil: Apabila ibu muntah pada waktu pagi, isi kandungan dalam perut sangat berasid dan boleh boleh menghakis gigi serta menyebabkan kerosakan.
- Refluks asid: wanita hamil cenderung mengalami masalah refluks akibat tekanan pada perut apabila saiz bayi semakin meningkat. Asid perut akan masuk ke dalam mulut dan menghakis gigi.
- Tidak rajin jaga kebersihan mulut: tugas ibu baru sudah sangat mencabar. Kebanyakkan ibu menghabiskan masa memberi perhatian sepenuh pada bayi hingga mengabaikan diri sendiri
- Perubahan dalam pemakanan: Apabila sibuk dengan bayi atau rasa tertekan dengan perubahan yang dialami, ini mendorong ibu untuk meningkatkan pengambilan makanan manis seperti coklat dengan alasan ingin mengurangkan stress.
Jadi, bolehkah ibu hamil mempunyai gigi yang kuat dan tak mudah rosak? Jawapannya boleh.
Tapi, ia bergantung kepada pemakanan anda. Ubat gigi mahal, flos dan cara gosok gigi yang betul tak semestinya dapat menghalang kerosakan gigi, kata Dr. Steven Lin, doktor gigi dari Australia.
Di dalam blognya, dia berkata punca kaviti bukan hanya sebab gula, tapi juga sebab kekurangan vitamin yang boleh memastikan gigi kekal kuat!
Ramai yang salah anggap kalau berus gigi dengan baik, kerosakan gigi boleh dielak. Ia bukan faktor yang paling penting.
Gigi tidak dapat pulih secepat organ lain seperti kulit. Sangat susah untuk memperbaiki dan menghalang kehilangan lapisan enamel pada gigi.
Untuk memastikan gigi anda kuat, sihat di samping mengawal bakteria dalam mulut, Dr. Lin menyarankan anda mengambil 4 vitamin ini:
4 vitamin untuk gigi kuat
#1 Vitamin A
Walaupun vitamin A selalu dikaitkan dengan penglihatan yang baik, ia juga boleh mengekalkan aliran air liur dalam mulut. Air liur penting untuk kesihatan gigi kerana ia:
- mengandungi mineral yang menguatkan gigi,
- boleh mencuci bakteria tidak baik, dan
- mengekalkan keadaan mulut yang neutral dan sedikit beralkali
Sumber vitamin A yang baik adalah telur, hati, ikan dan susu.
#2 Vitamin D
Vitamin D tidak hanya membantu menguatkan tulang dan gigi, ia juga boleh meningkatkan imuniti gigi.
Sel-sel ini juga menghasilkan dentin, bahagian gigi yang berkalsium di bawah lapisan enamel yang memainkan peranan penting dalam pertumbuhan semula gigi.
Untuk mereka yang ingin gigi kuat, Dr Lin mencadangkan pengambilan sekurang-kurangnya 2,000 IU vitamin D sehari.
Anda juga boleh memilih untuk berjemur dibawah sinaran matahari selama 20 minit – tapi elakkan daripada terselar.
Vitamin D juga terdapat dalam cendawan, produk tenusu dan ikan berlemak seperti salmon.
#3 Vitamin K2
Kalsium selalu dikenali sebagai mineral yang baik untuk gigi.
Tetapi tanpa Vitamin K2, kalsium tambahan boleh menyumbang kepada perkembangan bahagian lain dalam badan, misalnya arteri, kata Dr. Lin.
Vitamin K2 memainkan peranan penting kerana fungsinya membawa kalsium ke tulang dan gigi.
Apabila seseorang kekurangan Vitamin K2, kalsium berlebihan boleh tertinggal dalam arteri. Lama-kelamaan arteri itu akan menjadi sempit dan semakin keras.
Sumber-sumber Vitamin K2 yang baik termasuk dalam keju lembut dan keras, telur, mentega, hati, and salami.
#4 Vitamin E
Walaupun anda rajin menjaga kebersihan mulut, ia akan sentiasa mempunyai mikrobioma bakteria yang baik dan yang tidak baik.
Apabila dibiarkan, bakteria yang menyebabkan plak dan penyakit gusi boleh berkembang. Untuk mengawal keadaan ini, Dr. Lin mengesyorkan Vitamin E.
Walaupun antioksidan ini tidak memberi faedah kepada gigi secara langsung, ia boleh mengurangkan keradangan yang disebabkan oleh bakteria.
Vitamin ini boleh membantutkan perkembangan gingivitis sebelum ia berkembang menjadi penyakit periodontal.
Vitamin E boleh didapati dari bayam, brokoli, dan kekacang.
Jadi mulai sekarang, jom jaga gigi kita pula ya!
Sumber: Channel News Asia, Directionsindentistry
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga:
Cara Merawat Gigi Anak 2 Tahun Keatas & Panduan Penjagaan Gigi Yang Lengkap Agar Tidak Rosak