Memandangkan kebelakangan ini telah tular perdebatan dari kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang pakar motivasi terkenal mengenai wanita bodoh sikit-sikit demi suami, ramai yang tampil memberikan pendapat masing-masing.
Tidak terkecuali seorang ibu dan terapi cara kerja, Maryam Jamadi yang meluahkan rasa kurang setuju dengan beberapa kenyataan mengenai kehidupan wanita masa kini.
Perlukah wanita bodoh demi jodoh atau suami?
Dari semalam saya baca kajian berkaitan lambat dapat jodoh disebabkan hormon testerone tinggi bagi memastikan info tersebut betul dan sahih. Saya sedikit terasa sebab penghidap PCOS macam saya memang berdepan masalah hormon testerone yang tinggi.
Maaf saya tidak mengecam bliau dan faham apa yang dimaksudkan. Cuma mahu memberikan pencerahan memandangkan isu ini masih hangat di media sosial.
#1. Lambat dapat jodoh sebab tinggi hormon testerone
Wanita yang memiliki hormon testerone yang tinggi cenderung kurang berminat untuk berkahwin dan kurang keutamaan untuk berkahwin. (Udry, Morris & Kovenock, 1995).
Bagi saya tidak adil untuk kita pukul rata wanita lambat dapat jodoh. Ada ramai wanita bujang di luar sana mahu berkahwin, namun belum berjumpa jodoh yang sesuai.
#2. Lelaki suka wanita lembut-lembut
Sememangnya ada kajian berkenaan ini. Tapi kenapa wanita yang kurang lembut perlu berlakon jadi lembut semata-mata untuk mendapat jodoh. Ada ramai sahaja wanita di luar sana minat buat kerja kasar, bertukang, mengecat dan lain-lain.
Pendapat saya, daripada wanita yang perlu diubah, lebih baik cari pasangan yang serasi dan boleh terima kita seadanya.
#3. Lelaki sebagai imam
Setiap pasangan adalah saling melengkapi. Ada pandai dalam sudut, ada kurang di sudut yang lain. Suami memang menjadi imam dan ketua keluarga, tetapi dia tak semestinya arif dalam semua benda.
Misalnya isteri kerja akauntan, patutkah isteri jadi bodoh-bodoh sikit tentang akaun dan biarkan suami yang boros dalam kewangan untuk mengurus akaun keluarga? Semata-mata nak bagi suami rasa ”menang” dan dominan dalam keluarga.
#4. Lambat-lambat dapat jodoh
Kahwin bukan kewajipan sebagai wanita. Disebabkan inilah ada wanita yang terburu-buru berkahwin dan akhirnya salah pilih pasangan. Hidup merana tak apa, yang penting berlaki.
Ada yang mempertahankan perkahwinan toksik semata-mata tidak mahu jadi janda. Sebenarnya, kajian mendedahkan pasangan berkahwin yang mengadu tidak serasi dengan pasangan menjadi punca masalah rumah tangga. Mereka mengalami 3 kali ganda lebih murung dari orang bujang.
Justeru lebih baik wanita memilih pasangan daripada menerima sahaja mana-mana lelaki untuk jadi suami.
Manakala kenyataan siapa tinggi testerone, asyik nak memandu kereta, nak berdikari dan inginkan pencapaian, memanglah lambat berjodoh.
Adakah wanita hari ini tidak layak untuk capai sesuatu yang dia mahukan? Jika ditakdirkan belum jumpa jodoh lagi, perlulah ‘move on’. Ramai sahaja kawan-kawan saya yang belum berkahwin, tapi mereka bahagia dapat pergi melancong satu dunia dan dapat jaga ibu ayah.
#5. Wanita bodoh-bodoh sikit
Ada yang berpendapat isteri kena jadi bodoh-bodoh sikit supaya suami buat kerja rumah sama-sama. Jangan terlalu berdikari nanti suami harapkan isteri sahaja buat semua tugas rumah tangga.
Maaf saya tidak sokong pendapat ini sebab kenapa perlu berlakon bodoh kalau memang dah pandai? Lebih bagus suami isteri sama-sama berbincang, tidak perlu pendam atau berlakon dalam rumah tangga.
Masing-masing kena belajar mendengar pendapat dan tidak membelakangkan pasangan. Kebahagiaan itu adalah subjektif, rezeki kita juga tidak sama setiap orang.
Kahwin boleh menjadi lubuk kebahagiaan dan boleh jadi lubuk kebinasaan juga.
Wanita yang bijak pasti mahukan lelaki yang bijak.
Lelaki yang bijak juga pasti mahukan wanita yang bijak.
Anak yang bijak pula lahir dari wanita yang bijak
Yang mahukan wanita ”bodoh-bodoh sikit” ini cuma lelaki yang EGO. Semua nak menang. Mungkin penggunaan ayat ini sepatutnya ditukar kepada ”mengada-ngada sikit”.
Pokok pangkalnya disini, apa yang paling penting dalam hubungan suami isteri adalah komunikasi yang berkesan.
Sumber: Maryam Jamadi
Kredit foto: Google Images
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 9 Sikap Suami Ini Ternyata Menyakiti Hati Istri & Merosakkan Hubungan Rumah Tangga