Kemajuan teknologi hari ini telah mengubah hampir keseluruhan cara ibu ayah membesarkan anak-anak. Sebilangan besarnya telah menyediakan telefon pintar khusus untuk si manja menikmati skrin YouTube kanak-kanak agar memudahkan proses penjagaan.
Namun kebebasan mengakses segala kandungan yang tersedia di hujung jari ini sebenarnya turut berupaya mendatangkan pengaruh negatif.
Ibu ayah perlu kawal akses YouTube kanak-kanak
Paparan video dengan pelbagai muzik dan animasi secara percuma dalam saluran YouTube kanak-kanak ini bukan sahaja menyeronokkan, tetapi turut membuatkan si manja gembira mengikuti setiap pergerakan yang ditunjukkan.
Tidak dinafikan, ibu ayah yang memberikan telefon pintar kepada anak kecil ini tidak akan bersama dengannya sepanjang masa. Mungkin sahaja meninggalkan anak sebentar untuk mencuci pakaian, mengemas rumah atau membersihkan dapur.
Menurut perkongsian oleh seorang pengguna Facebook, Sharla Rose menasihati ibu ayah untuk sentiasa memantau setiap masa anak-anak yang gemar melayan YouTube.
Hal ini kerana saluran berkenaan adalah sangat bahaya. Meskipun di sebalik cerita kartun yang disedikan, mengandungi unsur lucah dan mesej melakukan sesuatu bahaya.
”Bagi anda yang memberi gajet kepada anak-anak untuk melayan YouTube dengan bebas, sebaiknya kawal apa yang mereka tonton,” ujarnya.
Sekiranya tidak mampu untuk ‘menjauhkan’ gajet ini terhadap si manja, ibu ayah boleh menggunakan cara ini:
#1. Menggunakan YouTube Kids
YouTube Kids membolehkan anak-anak mencari video yang mereka mahukan dengan cara menaip atau menggunakan fungsi voice search. Fungsi ini membolehkan si manja menikmati pelbagai kandungan termasuklah video negatif.
Sebagai penyelesaiannya, ibu ayah boleh menyekat (disable) fungsi carian. Anda hanya perlu klik ikon kunci pada bahagian bawah sebelah kanan. Kemudian masukkan kata laluan, klik tetapan (setting), kemudian klik profil anak dan turn off tetapan carian.
Anda juga boleh menyediakan profil berasingan untuk setiap anak.
#2. Menetapkan password
Untuk masuk ke bahagian tetapan, anda perlu menetapkan kata laluan empat digit. Bukan itu sahaja, ada juga fungsi Parents Only Screen, hanya ibu ayah sahaja yang tahu dan boleh memasukkan kata laluan berkenaan.
#3. Lapor dan sekat kandungan video tidak sesuai
Ibu ayah boleh lapor dan sekat video-video yang memiliki pengaruh negatif dan tidak menyenangkan. YouTube Kids memiliki sebuah pasukan untuk menyemak dan memerhatikan video yang ditanda atau flagged video sepanjang masa.
Sekiranya anda merasakan terdapat kandungan tidak patut ditonton oleh si manja, boleh terus laporkan sahaja.
Caranya adalah dengan klik pada butang tiga dot di bahagian atas video, kemudian tekan block. Anda hanya boleh menyekat video yang sedang ditonton, tetapi jika merasakan ada saluran lain mencurigakan, ibu ayah boleh terus menyekatnya.
Bukan itu sahaja, YouTube Kids turut memiliki tetapan masa menonton video sebelum aplikasi berkenaan tertutup dengan sendiri sebaik sahaja tempoh masa ditamatkan.
#4. Video dan saluran Whitelist
Sejak tahun 2018, YouTube Kids telah menambah fungsi kawalan bagi membantu ibu ayah memilih kandungan, video serta saluran sesuai untuk si manja. Bagi menghidupkannya, anda perlu pergi ke bahagian tetapan dan pilih approved content only dalam profil anak-anak.
#5. Muat turun aplikasi Family Link
Google telah melancarkan aplikasi Family Link dan ia berfungsi di mana ibu ayah boleh mengawal akses anak-anak ketika menggunakan telefon pintar seperti membenarkan muat turun, akses ke laman web atau menetapkan masa penggunaan telefon.
Untuk menggunakannya, ibu ayah hendaklah terlebih dahulu mendaftar masuk menggunakan akaun yang telah didaftarkan. Seterusnya, ia akan meminta email dan anda perlu ikuti sahaja arahan seterusnya.
Ia adalah aplikasi yang tidak boleh uninstall, melainkan ibu ayah memilih untuk stop supervision. Bagi telefon ibu ayah, anda perlu memuat turun google family link for parent dan untuk telefon anak pula memuat turun google family link for children & teens.
Sebagai ibu ayah, anda sememangnya tidak dapat mengawal apa yang dikeluarkan oleh internet. Namun dengan sedikit usaha dan mencuba cara ini, ia sedikit sebanyak dapat membantu anda mengawal kandungan yang patut atau tidak patut ditonton oleh si manja.
Sumber: Sharla Rose
Kredit foto: freepik
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga:
https://my.theasianparent.comboram-tube