Yuran Tadika, Taska Naik Sehingga 25% Tahun Depan, Ibu Bapa Luah Rasa Terbeban & Tekanan Kewangan

Yuran tadika taska naik sehingga 25% pada tahun hadapan susulan pengumuman gaji minimum RM1,700, kenaikan kos bahan mentah dan sewa premis

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Yuran taman didikan kanak-kanak (tadika) dan taman asuhan kanak-kanak (taska) seluruh negara dijangka naik antara 20 hingga 25 peratus pada tahun depan, susulan kenaikan kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan yang diumumkan kerajaan berkuat kuasa 1 Februari depan.

Persatuan Tadika Islam Malaysia (PERTIM) dan Persatuan Pendidik Institusi Pendidikan Negeri Johor, yang menaungi pengusaha tadika, selain Persatuan Pengasuhan dan Perkembangan Awal Kanak-Kanak Berdaftar Malaysia yang menaungi pengusaha taska mengesahkan kenaikan yuran perkhidmatan ditawarkan kira-kira 4,500 ahli mereka susulan kenaikan kos operasi.

Sebab Yuran Tadika, Taska Naik 2025

Penasihat Kehormat PERTIM, Zaharah Awang, berkata kira-kira 1,000 ahlinya di seluruh negara bersiap sedia menaikkan yuran perkhidmatan tadika mereka susulan kenaikan kos operasi bukan saja membabitkan gaji pekerja terutama guru, malah kenaikan kos bahan mentah untuk makanan dan bahan bantu mengajar, selain kadar sewa serta bil utiliti.

Bagaimanapun, katanya, kenaikan berkenaan perlu mendapat kebenaran dan menerusi permohonan dibuat kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), sebelum dilaksanakan.

“Sebenarnya PERTIM sudah membuat unjuran awal kenaikan gaji minimum sehingga RM2,000 sebulan secara berperingkat untuk beberapa tahun akan datang, namun ahli kami tidak jangka penguatkuasaan gaji minimum baharu RM1,700 akan berlaku seawal tahun depan.

Kenaikan Yuran Mengikut Lokasi Tadika

“Notis yuran tahun hadapan sebenarnya sudah diberikan kepada ibu bapa, namun dengan pengumuman pelaksanaan gaji minimum RM1,700 sebulan mulai Februari depan, ahli PERTIM terpaksa mengeluarkan notis baharu yuran membabitkan kenaikan antara hingga 25 peratus, mengikut lokasi tadika.

“Seramai 1,000 ahli kami yang juga pengusaha tadika di seluruh negara sebenarnya tersepit kerana tidak mahu menaikkan yuran, namun terpaksa berbuat demikian demi kelangsungan operasi tadika. Kita jangka, pengusaha yang tidak mendapat sokongan ibu bapa berdepan kemungkinan menutup operasi mereka, kerana kos operasi terlalu tinggi untuk ditanggung.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

“Apatah lagi, kos operasi tadika swasta 100 peratus adalah daripada bayaran yuran yang dibayar ibu bapa. Kenaikan kos operasi tadika sudah berlaku sejak selepas tamat Perintah Kawalan Perkhidmatan (PKP) lagi namun menjadi lebih ketara sejak tahun lalu susulan kenaikan harga barang dan kos sara hidup,” katanya kepada BH.

Mengulas lanjut, Zaharah berkata, kenaikan bahan mentah untuk makanan murid jagaan ahlinya naik lebih 60 peratus sejak tahun lalu, menyebabkan kos operasi tadika menjadi tinggi.

Katanya, kenaikan yuran tadika antara 10 hingga 25 peratus sebenarnya hanyalah untuk pengusaha bertahan demi kelangsungan perjalanan perniagaan mereka semata-mata.

Pelarasan Gaji Guru Tadika Ada Tambahan Kos

Pengerusi Persatuan Pendidik Institusi Pendidikan Negeri Johor, Hazman Sapawi, juga mengesahkan 500 tadika di negeri ini akan menaikkan yuran sama susulan kenaikan gaji minimum RM1,700 itu.

“Contohnya pelarasan gaji kakitangan tadika terutama guru akan membabitkan tambahan kos RM229.90 seorang sebulan. Ia membabitkan gaji minimum RM1,700; caruman majikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang meningkat kepada RM221 sebulan; caruman majikan untuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang meningkat kepada RM27.85 sebulan selain Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang meningkat kepada RM3.30 sebulan,” katanya.

Luahan Dan Pandangan Ibu Bapa

”Kenaikan gaji RM200 nampak macam berita baik, tapi bila yuran taska pula naik RM100 bagi setiap anak – iaitu 25% daripada yuran asal RM400 – beban keluarga semakin terasa. Bayangkan kalau ada tiga anak di taska, jumlah tambahan setiap bulan boleh jadi sangat membebankan. Dalam keadaan ini, kenaikan gaji bukannya untung, malah seperti rugi.”

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

”Walaupun saya sendiri tak ada anak kecil lagi dan bekerja di sektor kerajaan yang bakal terima kenaikan gaji, saya rasa swasta pun patut dapat manfaat yang sama. Kalau akhirnya harga barang dan perkhidmatan naik, matlamat kenaikan gaji tu jadi sia-sia. Kadang-kadang, kalau kesannya macam ni, lebih baik tak payah naik gaji pun, sebab akhirnya rakyat yang semakin terbeban.”

”Bagi yang kerja sendiri macam kami, setiap kenaikan harga memang terasa sangat. Tapi kita kena kuat demi anak-anak. Salah satu cadangan saya, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu tambah lagi tadika kerajaan di sekolah rendah. Sekarang ni tak semua sekolah rendah ada tadika KPM, dan kalau setiap sekolah ada, ia bukan saja memudahkan ibu bapa tapi juga buka peluang pekerjaan untuk guru tadika.”

”Akhirnya, kenaikan gaji tak akan bermakna kalau kos hidup naik sama laju. Rakyat biasa yang tak terlibat dengan kenaikan gaji tetap tersepit, dan beban hidup makin berat.”

Persediaan Ibu Bapa Dengan Kenaikan Yuran 2025

Berikut adalah 5 cara persediaan ibu bapa untuk menghadapi kenaikan yuran tadika:

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

1. Semak dan Kemas Kini Bajet Keluarga

Setiap kenaikan kos memerlukan penyesuaian bajet. Semak semula perbelanjaan bulanan keluarga dan cari cara untuk mengurangkan kos yang tidak penting. Ini boleh melibatkan kurangkan makan di luar, perbelanjaan hiburan, atau langganan yang tidak diperlukan. Dengan bajet yang lebih ketat, keluarga boleh memastikan mereka masih mampu menampung yuran tadika tanpa mengorbankan keperluan penting lain.

2. Simpan Lebih Awal

Membuat simpanan lebih awal membantu ibu bapa bersedia untuk sebarang peningkatan kos. Simpanan bulanan dalam tabung khas untuk pendidikan anak-anak akan memberi ibu bapa “buffer” kewangan. Ini akan memudahkan mereka menampung kenaikan yuran secara tidak langsung tanpa tekanan kewangan yang besar.

3. Cari Tadika yang Berpatutan

Ibu bapa boleh membandingkan yuran tadika di kawasan mereka untuk mencari pilihan yang sesuai dengan bajet. Sekiranya yuran tadika swasta terlalu tinggi, tadika di bawah kerajaan seperti tadika Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) boleh menjadi alternatif lebih murah.

4. Rancang Pembayaran Secara Ansuran

Ada sesetengah tadika yang membenarkan pembayaran yuran secara ansuran. Ini boleh meringankan beban dengan membahagikan jumlah yuran bulanan kepada beberapa pembayaran kecil sepanjang tahun. Berbincang dengan pengurusan tadika untuk mengetahui pilihan pembayaran yang lebih fleksibel.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Dengan persiapan yang rapi, ibu bapa boleh menguruskan kenaikan yuran tadika dengan lebih bijak tanpa menjejaskan kewangan keluarga secara keseluruhan.

Kredit Foto: Tadika & Taska UK Permai

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Ramai Ibu Ayah Terbeban Dengan Caj Yang Mahal, Terpaksa Hentikan Anak Dari Tadika/Taska

Baca juga:  Perbezaan Taska Dan Tadika Untuk Anak, Ini Info Lengkap Bagi Mengelakkan Ibu Ayah Keliru

Baca juga:  15 Tadika Terbaik Di Malaysia (Preschool) Tahun 2024 & 2025 Pilihan theAsianparent Malaysia

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan