Waktu kecil dulu, anda mungkin masih ingat yang mak ayah selalu cakap, “Makan banyak-banyak sayur atau buah ini, ia adalah makanan yang bagus untuk mata!”
Mereka pun letak seaneka sayuran dalam pinggan termasuklah lobak (kebanyakan anak kecil tidak berapa minat) sebagai hidangan yang perlu dihabiskan sebelum bermain.
Baca juga: Bahaya Anak Malas Mengunyah, Terus Telan Makanan, Gigi Rosak & Sukar Bercakap Jelas
Jenis makanan untuk mata mengikut saranan pakar
Menurut Shania Khialani, seorang pakar nutrisi dan diet dari Pusat Dietitians Marie-Claire O Shea di Australia, ada banyak kajian yang telah dibuat tentang hal ini.
Ternyata, kita boleh menjaga kesihatan mata dengan mengambil beberapa jenis makanan untuk mata, terutamanya yang tinggi kandungan Vitamin A.
Khialani menjelaskan bahawa satu kajian pada tahun 2011 yang dijalankan oleh Universiti Oxford telah membuktikan kaitan antara Vitamin A dengan pengurangan masalah mata. Antara makanan yang dikatakan dapat membantu kesihatan mata ialah:
1. Lobak merah
Sememangnya, lobak adalah antara makanan yang sering dikaitkan dengan penglihatan yang bagus. Kalau anda nak tahu, sayuran dan buahan berwarna oren dan kuning mempunyai beta karotene yang tinggi.
Ia adalah sejenis Vitamin A yang boleh dijumpai dalam tumbuhan dan dapat membantu melindungi mata si manja.
Selalunya, anak kecil memang suka lobak kerana warnanya yang terang dan cantik. Jadi, ambil kesempatan ini dan beri anak anda makan lobak banyak-banyak ya!
Cadangan: Masukkan hirisan lobak dalam hidangan sup ayam, bubur nasi, pasta, atau salad.
2. Sayuran berdaun hijau
Khialani turut menerangkan sayuran berwarna hijau serta berdaun seperti parsli, bayam dan kale mempunyai kandungan lutein dan zeaxanthin yang tinggi.
Dua bahan ini membantu meningkatkan tahap penglihatan kerana menjadi makanan utama karotenoid yang ada pada retina mata manusia.
Malah, ia turut melindungi mata dari pancaran matahari yang berbahaya kerana fungsi antioksidan tinggi yang turut ada pada bahan ini.
Cadangan: Jangan masak sayuran hijau ini terlalu lama kerana khasiatnya akan berkurangan jika terlebih masak. Celur atau tumis beberapa minit sahaja sebelum menghidangkannya pada si kecil anda.
3. Salmon
Kebanyakan minyak ikan seperti salmon sangat kaya dengan asid lemak omega 3, yang membantu retina mengatasi masalah keradangan.
Cadangan: Untuk hidangan yang ringkas dan cepat, anda hanya perlu bakar atau grill salmon dalam periuk pan bersama mentega sehingga keperangan. Ia sangat mudah untuk disediakan dan kebanyakan kanak-kanak akan menyukainya!
4. Avokado
Ini lagi satu makanan untuk mata rabun yang terbaik bagi menjaga power mata anak. Avokado dikatakan mempunyai kandungan lutein yang tinggi berbanding semua sayuran dan buahan lain!
Jika diambil selalu dan dalam jangka masa yang panjang, avokado dapat mencegah risiko katarak dan penyusutan makula.
Cadangan: Lenyekkan avokado dan buat hidangan makanan pejal bayi anda. Atau, hiris avokado dan masukkan dalam hidangan sandwich supaya dia mendapat bekalan lemak dan Vitamin E yang baik untuk matanya!
5. Telur
Apabila anda memberikan telur kepada anak anda, pastikan dia turut memakan bahagian kuning. Ini kerana, warna kuning itu kaya dengan khasiat dan nutrien. Semakin pekat warna kuning telur itu, semakin berkhasiat dan bagus untuk si kecil anda!
Cadangan: Rebus telur dan hancurkan bersama lada hitam dan mayonis. Buat sandwich dan berikannya kepada si keci anda. Atau, berinya telur separuh masak dan makan bersama roti kaya – yummy!
6. Lada benggala (Capsicum)
Selalunya, lada benggal, atau capsicum, boleh didapati dalam pelbagai warna (seperti warna traffic light!) iaitu merah, kuning dan hijau.
Capsicum mengandungi Vitamin A yang bagus untuk penglihatan dan menjaga mata dari terkena penyakit. Lada ini tidaklah pedas, maka ia sesuai untuk si kecil anda.
Cadangan: Potong lada benggal kecil-kecil dan tumis. Campurnya dalam hidangan sup atau nasi anak anda.
7. Kekacang
Kekacang juga adalah sejenis powerfood yang sesuai untuk dimasukkan dalam hidangan anak anda demi menjaga power matanya.
Antara contoh kekacang yang bagus adalah seperti almond dan kacang gajus kerana ia kaya dengan Vitamin E dan asid lemak omega 3. Ia membantu mengurangkan kekeringan mata.
Cadangan: Jadikan kekacang sebagai snek untuk si kecil anda makan sementara menunggu waktu hidangan utama. Jika anak anda gemar makan bubur, masukkan kacang ini ke dalam hidangan buburnya itu.
8. Blueberry
Ia mengandungi bahan magikal yang dikenali sebagai anthocyanosides. Bahan ini selalunya ada pada retina mata kita dan membantu meningkatkan power mata untuk penglihatan waktu malam.
Jika diambil selama 2 bulan, anda pasti akan dapat melihat perbezaannya pada penglihatan anda pada waktu malam. Maka, berikannya kepada anak anda, demi menjaga power matanya.
Cadangan: Disebabkan buah blueberry tidaklah mudah untuk diperolehi di kedai runcit atau supermarket, mungkin anda boleh membelinya dalam bentuk kapsul atau pil. Cadangan kandungan yang patut anak anda ambil setiap hari adalah 600mg.
9. Coklat gelap
Kalau anak anda gemar coklat pula, ambil kesempatan ini dan berikannya dark chocolate (bukannya coklat bersusu yang biasa).
Dark chocolate kaya dengan flavonoid yang dapat membantu melindungi saluran darah dalam mata dan menguatkan lensa serta kornea mata.
Cadangan: Berikan dark chocolate sebagai snek harian si kecil anda. Malah, anda turut boleh membuat minuman coklat panas menggunakan dark chocolate.
10. Wolfberry
Turut dikenali sebagai buah beri Goji, buahan yang kecil, merah dan manis ini kaya dengan tonik yang dapat menjelaskan penglihatan mata. Ia dijadikan sebagai satu bahan remedi bagi masalah power mata yang tinggi, mata kering, dan penglihatan kabur.
Ia disebabkan oleh kandungan beta karotena, Vitamin B, Vitamin C, serta asid linoleik yang ada di dalam buah beri Goji ini.
Cadangan: Masukkan buah wolfberry ke dalam air lai ci kang bersama dengan longan dan kurma untuk meningkatkan kesihatan mata dan menjaga power mata anak anda!
Sumber: The Asian Parent Singapore
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga: Nak Elak Anak Jatuh Sakit, Ibu Ayah Kena Ajar Mereka Makan Makanan Sihat Sejak Kecil