Ibu ayah baru tentu selalu membaca tentang bayi selepas lahir kerana ada banyak perkara dan petua baik yang boleh dipelajari.
Tambahan pula ada saja perkara ‘aneh’ yang berlaku setiap hari yang buat anda tertanya-tanya, apa yang berlaku? Mengapa ia berlaku? Adakah normal?
Isi Kandungan
10 perkara mengenai bayi selepas lahir
Persoalan-persoalan tentang bayi baru lahir itu adalah normal sekali. Lebih-lebih lagi untuk anda yang baru pertama kali menimang cahaya mata.
Oleh itu, sesetengah ibu ayah mungkin akan cenderung menjadi seorang yang over protective kerana bimbang ragam yang ditunjukkan oleh si kecil mungkin boleh menjejaskan kesihatan bayi mereka.
Mari kita lihat beberapa perkara mengenai bayi selepas lahir yang mungkin nampak membimbangkan, tetapi sebenarnya normal.
#1. Kulit bayi nampak kering
Selama 9 bulan, bayi anda dikelilingi oleh cecair yang melindungi dan membantu mengawal suhu di dalam rahim ibu.
Oleh itu, jangan terkejut apabila melihat kulit bayi baru lahir yang sedikit kering kerana ia adalah perkara biasa apabila kulit mereka baru terdedah kepada udara.
Kulit bayi baru lahir sangatlah sensitif, jadi jangan hairan apabila melihat ruam atau bintik kecil seperti jerawat.
Kadang-kadang, ia juga boleh jadi menggelupas. Tetapi jangan risau, ada beberapa cara penjagaan kulit bayi yang boleh ibu ayah lakukan iaitu:
- Jangan mandikan bayi terlalu lama. Selain itu elak gunakan sabun dalam kuantiti yang banyak kerana ia boleh menghilangkan minyak semula jadi pada kulit si manja
- Selepas mandi, lapkan keseluruhan badan bayi sehingga benar-benar kering terutamanya di bahagian belakang telinga, ketiak, leher dan siku.
- Sapukan losen atau pelembap untuk mengekalkan minyak semula jadi pada kulit si manja
- Cara penjagaan kulit bayi yang seterusnya adalah melakukan urutan. Ia terbukti dapat membantu mengurangkan peredaran kortisol, iaitu hormon ketegangan dalam aliran darah. Selain itu ia mampu melegakan masalah kembung perut serta sembelit.
#2. Darah keluar dari vagina bayi perempuan
Selama durasi kehamilan, hormon estrogen yang dialami ibu hamil juga boleh memberi kesan kepada rahim janin perempuan.
Ini adalah perkara normal dan sesetengah bayi perempuan akan datang period di minggu pertama selepas dilahirkan.
#3. Ubun-ubun lembut pada bayi
Apabila baru dilahirkan, kepala baby baru lahir akan berasa lembut di bahagian tengkorak.
Ini adalah normal untuk semua baby baru lahir, kerana bahagian ubun-ubun kepala yang lembut dapat membantu bayi anda turun melalui saluran kelahiran.
Anda tidak perlu takut untuk memegangnya, ubun-ubun lembut akan berdenyut kerana di bahagian itu ada saluran darah yang menutupi otak.
Seiring pertambahan usia, proses penutupan ubun-ubun bayi baru lahir bermula ketika usia si manja 6 bulan dan akan tertutup sepenuhnya ketika bayi berusia 18 bulan.
#4. Rongga kecil di dada bayi
Menurut pakar, tulang dada terdiri 3 bahagian. Rongga yang anda lihat mungkin bahagian paling bawah dari tulang dada bayi.
Seiring dengan perkembangan baby baru lahir, otot dada dan perutnya akan menarik tulang tersebut sehingga ia menjadi lurus dan rongga itu hilang.
Tetapi sebelum ini berlaku, jaringan lemak bayi selepas lahir akan melindungi bahagian tersebut.
#5. Najis cair seakan-akan cirit-birit selepas minum susu ibu
Bayi yang diberi susu ibu secara eksklusif senang membuang air besar setiap kali selesai menyusu kerana susu ibu mudah dicerna oleh badan bayi baru lahir.
Bayi yang diberi susu formula pula akan lebih jarang membuang air besar.
Jika najis bayi anda nampak cair dan lembut, ini adalah perkara yang normal. Ini kerana bayi anda hanya minum susu dan belum lagi makan makanan pejal.
#6. Kerap sedu
Pakar berpendapat, bayi sering sedu kerana komunikasi antara otak dan diafragma yang belum sempurna.
Ibu bapa tidak perlu rasa bimbang, kerana walaupun anda fikir ia nampak tidak selesa, sedu pada bayi baru lahir tidak berbahaya.
Jika ibu bapa masih bimbang, baca sini untuk mengetahui cara untuk mengatasainya.
#7. Bayi sering menangis
Bayi yang sering menangis pasti menyebabkan ibu bapa rasa panik. Untuk pengetahuan anda, bayi baru lahir hanya boleh berkomunikasi melalui tangisan.
Apabila terkencing, kelaparan atau hanya mahu didukung, dia akan menangis untuk menarik perhatian ibu ayah.
Walau bagaimanapun, jangan mengharapkan senyuman atau reaksi lain yang menunjukkan dia bertindak balas terhadap sentuhan anda, kerana bayi baru lahir belum pandai melakukannya.
#8. Ruam di muka atau jerawat bayi
Hormon ibu yang masih di dalam badan bayi kadang-kadang boleh mencetuskan ruam atau jerawat pada bayi baru lahir.
Ini biasanya berlaku pada usia dua minggu atau dua bulan dan tidak berbahaya. Ibu bapa hanya perlu bersihkan muka bayi anda dengan kain yang lembut.
#9. Payudara kelihatan besar dan ada cecair di dalamnya
Hormon yang menyebabkan bayi perempuan datang haid juga boleh menyebabkan payudara bayi baru lahir kelihatan besar.
Keadaan ini boleh berlaku kepada bayi lelaki dan bayi perempuan.
Biarpun agak mengejutkan, ia bersifat hanya sementara saja dan tidak akan mempengaruhi kesihatan bayi.
Jadi ibu ayah jangan sesekali memicit payudara bayi untuk mengeluarkan cecair berkenaan.
Biarkan sahaja dan cecair itu akan hilang sendiri apabila diserap oleh tubuh bayi.
#10. Sering bersin
Bayi selepas lahir mempunyai hidung yang sangat kecil, hanya sedikit mukus akan menyebabkan bayi itu bersin.
Hidung bayi yang baru keluar dari rahim yang mengandungi cecair mungkin sedikit tersumbat sehingga menyebabkannya selalu bersin.
Ibu ayah tidak perlu bimbang jika bersin ini disertakan bersama mukus berwarna kuning yang tebal. Ia merupakan tanda selesema.
Ragam bayi dalam pantang
- Bayi tidur lena waktu siang dan berjaga malam
Newborn atau bayi yang baru lahir akan lebih kerap tidur terutama 3 minggu pertama selepas kelahiran. Hal ini kerana mereka memerlukan 16 hingga 17 jam waktu tidur yang secukupnya.
Walau bagaimanapun tidur bayi akan terjaga apabila mereka ingin menyusu, biasanya setiap dua hingga empat jam.
Jika waktu malam berjaga, ibu ayah kena bertabahlah dan saling bekerjasama. Sebenarnya anak kecil anda sedang membiasakan dirinya dengan persekitaran.
-
Bayi kerap kembung perut
Ragam bayi dalam pantang yang seterusnya adalah masalah kembung perut. Ia adalah normal dan kerap berlaku pada bayi terutama berumur kurang dari enam bulan.
Abdomen bayi kelihatan kembung walaupun sebenarnya normal kerana ruang dalam abdomen masih kecil berbanding saiz organ lain dalam abdomen.
Justeru jika bayi menyusu badan, ibu perlulah elakkan makanan jenis berangin. Praktikkan cara penyusuan yang betul bagi mengelakkan banyak udara ditelan oleh bayi.
-
Sentiasa ingin berdukung
Dalam sesetengah kes, ragam bayi dalam pantang adalah menangis setiap kali dibiarkan berbaring seorang diri di atas tilam. Ini adalah normal dan menandakan bahawa bayi perlukan lebih banyak masa untuk bertenang.
Salah satu sebab mengapa bayi anda selalu ingin didukung adalah untuk merasakan hangat dari badan ibu.
Tanpa rasa hangat dari badan ibu, bayi baru lahir selalunya rasa sejuk. Ia adalah sangat penting mereka berasa nyaman dan selesa.
Cara membedung yang betul boleh membantu bayi anda berasa selamat serta mengekalkan suhu paling optimum.
-
Kuat menyusu
Menurut pakar laktasi bertauliah, Ratzuraini Rahim, ibu jangan risau apabila bayi kuat menyusu kerana ia adalah sesuatu yang normal bagi si manja menyusu badan.
Hal ini kerana sifat susu ibu lebih mudah dicernakan berbanding susu formula. Ini sekaligus membuatkan bayi kerap berasa lapar.
-
Bayi kerap berak
Bayi yang baru berusia seminggu memang normal untuk buang air besar dengan kerap!
Untuk beberapa hari yang pertama, najis si manja memiliki warna hijau tua atau kehitaman (meconium).
Selepas bayi mula kerap menyusu badan, selalunya kekerapan membuang air besar adalah 5 hingga 6 kali sehari. Najisnya pula adalah lebih cair berbanding bayi yang minum susu formula.
Cara menenangkan bayi menangis menurut Islam
Ada beberapa cara menenangkan bayi menangis menurut Islam iaitu dengan mengamalkan beberapa doa ini:
- Memberikan pelukan hangat. Jika si manja tiba-tiba menangis dengan kuat, ibu ayah perlu dukung dan peluk mereka dengan kuat.
- Cara menenangkan bayi menangis menurut Islam adalah dengan memberi susu. Bayi meragam mungkin disebabkan rasa lapar ataupun tidak selesa
- Ibu ayah perlu bertenang dan tidak panik. Ketika bayi menangis, anda perlulah mengawal perasaan kerana mereka sebenarnya dapat merasakan aura daripada orang tuanya. Jika bayi menangis, pujuklah dengan lembut dan elakkan amarah dari dalam hati
- Cara seterusnya ialah membaca doa dari ayat-ayat suci al-Quran iaitu dari surah At-Takwiir ayat 20. Ayat tersebut berbunyi, “ Dzii quwwatiin ‘inda dzil’arsyi makiin ”.
Maksudnya, “Siapa yang berkuasa, yang tinggi kedudukannya di sisi Allah yang mempunyai ‘Arasy,” (QS. At-Takwiir: 20)
Tiupkan pada tapak tangan anda dan sapukan pada muka bayi, tiupkan juga pada telinga bayi yang menangis
Daftar kelahiran anak
Setiap kelahiran yang berlaku di Malaysia, anda hendaklah daftar kelahiran anak dalam tempoh 60 hari dari tarikh bersalin.
Pendaftaran bayi baru lahir adalah percuma di cawangan JPN berdekatan.
Untuk daftar kelahiran anak, ia boleh dilakukan oleh individu seperti berikut:
- Ibu atau bapa kanak-kanak itu
- Penjaga kanak-kanak itu
- Individu yang mengetahui atau menyaksikan tentang kelahiran kanak-kanak itu
- Ibu dan bapa kanak-kanak (bagi pendaftaran kelahiran anak tak sah taraf)
Antara dokumen yang diperlukan untuk pendaftaran bayi baru lahir adalah:
- Borang Daftar Kelahiran JPN.LM01 yang telah diisi dengan lengkap (asal);
- Borang Pengesahan Kelahiran daripada hospital atau Surat Pengesahan Doktor bagi kelahiran di rumah (asal);
- Laporan Polis bagi kelahiran di rumah (asal);
- Kad Pranatal (Buku Rawatan Mengandung) atau Kad Rawatan Semasa Ibu Mengandung (asal dan salinan);
- Kad pengenalan atau dokumen pengenalan diri ibu dan bapa (asal dan salinan)
- Kad Pengenalan atau dokumen pengenalan diri pemaklum [jika pemaklum bukan ibu atau bapa kanak-kanak] (asal dan salinan);
- Sijil Kematian ibu dan bapa kanak-kanak (asal dan salinan- jika berkaitan); dan
- Dokumen Perkahwinan atau Perceraian ibubapa kanak-kanak (asal dan salinan).
- Surat akuan AM80 sekiranya tiada buku rawatan mengandung atau kad rawatan mengandung
Susu untuk new born
Susu ibu adalah susu yang terbaik untuk bayi berusia bawah dua tahun. Walau bagaimanapun tidak semua direzekikan dengan susu badan mencukupi, sehingga terpaksa memilih susu untuk new born.
Jika anda baru pertama kali memilih susu untuk new born, ada beberapa tips yang boleh dijadikan panduan:
#1. Pilih jenama produk susu formula yang terkenal dan ada reputasi yang baik
#2. Pilih susu formula dengan harga yang anda mampu bayar
#3. Ketahui kandungan khas tambahan dalam susu
#4. Pilih susu formula terbaik mengikut umur anak anda. Ia boleh dilihat pada botol atau plastik. Biasanya susu untuk new born dipanggil sebagai Step 1 atau Langkah 1.
#5. Pilih dan pantau. Tiada susu formula terbaik yang sama untuk semua bayi! Setiap kanak-kanak mempunyai daya pencernaan yang berbeza. Justeru selepas memberikan susu untuk new born, ibu hendaklah memantau perubahan pada diri anak dan najis.
Keperluan bayi baru lahir
Ibu ayah baharu pastinya akan keliru dalam menyediakan keperluan bayi baru lahir. Disebabkan itu, anda akan beli sahaja tanpa menyedari ia sebenarnya perlu atau tidak untuk baby baru lahir.
Berikut beberapa keperluan bayi baru lahir yang lengkap:
- Pakaian: Elakkan pilih saiz newborn kerana bayi akan membesar dengan cepat
- Barut bayi
- Kain bedung
- Rompers
- Sarung tangan dan kaki
- Lampin (baca label dan beli ikut berat si manja)
- Barang keperluan bayi baru lahir: Tisu basah
- Kapas
- Barangan penjagaan bayi (Mandian, bedak, losen minyak, krim ruam)
- Sediakan termometer untuk pantau suhu bayi
- Barang keperluan bayi baru lahir: Botol susu dan puting
- Berus pembersih botol
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Perkembangan Bayi 3 Minggu Yang Penting Untuk Diperhatikan
Baca juga: Senarai Bantuan Bayi Baru Lahir 2022 Mengikut Negeri, Ini Panduan & Cara Untuk Memohon
Baca juga: Cara Azan Bayi Baru Lahir Dengan Tertib, Bakal Bapa Prepare Awal-Awal Agar Tidak Tersalah!