Memilih susu untuk anak 1 tahun ke atas sering menjadi persoalan bagi ibu bapa. Adakah susu formula masih diperlukan, atau sudah tiba masanya untuk beralih ke susu penuh krim?
Pada usia ini, kebanyakan nutrien sepatutnya datang daripada makanan pejal, namun susu tetap menjadi sumber penting kalsium dan protein
Susu Untuk Anak 1 Tahun, Adakah Masih Diperlukan?
Bagi kebanyakan anak yang sihat, susu formula tidak lagi diperlukan selepas usia setahun. Berikut adalah sebabnya:
1. Susu Segar Atau Susu Full Cream Membekalkan Nutrien Cukup
Selepas setahun, anak boleh mula minum susu penuh krim (whole milk) yang membekalkan kalsium, vitamin D, dan lemak sihat yang diperlukan untuk pertumbuhan.
Jika anak mengalami intoleransi laktosa atau alahan susu, terdapat alternatif seperti susu soya, susu badam, atau susu oat yang diperkaya dengan kalsium dan vitamin D.
2. Makanan Pepejal Sepatutnya Menjadi Sumber Utama Nutrisi
Pada peringkat ini, anak perlu lebih banyak makan makanan pepejal berbanding bergantung kepada susu sebagai sumber utama nutrisi. Makanan sebenar membekalkan serat, protein, dan nutrien kompleks yang tidak dapat sepenuhnya digantikan oleh susu formula.
3. Susu Formula untuk Kanak-Kanak Tidak Semestinya Lebih Baik
Banyak jenama memasarkan susu formula khas untuk kanak-kanak sebagai penting untuk perkembangan otak dan imuniti, tetapi realitinya, susu formula ini sering tidak diperlukan bagi kanak-kanak yang makan dengan baik.
Malah, sesetengah susu formula ini mengandungi gula tambahan dan bahan perisa tiruan yang tidak memberi manfaat lebih daripada makanan sebenar.
Susu Full Cream Untuk Anak 1 Tahun
Pada usia satu tahun, anak anda sepatutnya mendapatkan kebanyakan nutrien daripada makanan pejal. Walaupun susu masih merupakan sumber pemakanan yang penting, kebanyakan kalori si kecil selepas umur setahun harus datang daripada makanan pejal yang pelbagai.
Susu formula pertumbuhan atau susu formula yang diperkaya mungkin mempunyai kandungan tenaga yang lebih tinggi berbanding susu lembu penuh krim, yang boleh mengurangkan selera anak untuk diet sihat dan seimbang.
Ramai ibu memilih susu penuh krim kerana ia, termasuk susu segar atau susu UHT merupakan sumber kalsium, protein, vitamin D dan riboflavin yang mudah didapati dan senang disediakan. Riboflavin adalah vitamin B penting yang menyokong pertumbuhan dan perkembangan tulang, otot, dan saraf anak anda.
Diet yang sihat dengan tambahan susu penuh krim memberikan nutrisi yang diperlukan untuk pertumbuhan yang sihat.
Cara Memperkenalkan Susu Full Cream Kepada Anak?
Ramai ibu yang pertama kali mencuba susu penuh krim tertanya-tanya bagaimana cara terbaik untuk memberikannya kepada anak mereka. Berikut adalah beberapa kaedah biasa:
1. Campurkan Susu Penuh Krim dengan Susu Ibu atau Susu Formula
Perkenalkan susu penuh krim secara perlahan-lahan dengan mencampurkannya bersama susu ibu atau susu formula. Tingkatkan nisbah susu penuh krim secara beransur-ansur dalam campuran tersebut. Anda boleh mula dengan satu perempat susu penuh krim dicampur dengan tiga perempat susu ibu atau susu formula.
2. Gunakan Susu Penuh Krim sebagai Bahan dalam Makanan
Jika anak anda gemar makan oat, cuba masak oat dengan susu penuh krim menggantikan air. Jika dia suka minum smoothie, tambahkan susu dalam campuran smoothie. Cari makanan kegemarannya dan tambahkan atau campurkan dengan susu penuh krim.
Kedua-dua cara ini akan membantu anak anda perlahan-lahan membiasakan diri dengan rasa susu penuh krim, sambil memberi masa kepada sistem penghadaman untuk menyesuaikan diri dengan kandungan protein dan mineral yang lebih tinggi dalam susu ini.
Pemakanan Anak Usia Setahun
Pada usia 12 bulan, si manja mungkin sudah makan bersama anda dan keluarga. Jika mereka masih makan makanan bayi, sekarang adalah masa yang sesuai untuk beralih kepada makanan biasa. Ini akan memudahkan anda dan juga lebih menjimatkan.
Bayi pada usia ini memerlukan enam hidangan kecil sehari: sarapan, makan tengah hari, dan makan malam, serta snek pada waktu pagi, petang, dan sebelum tidur.
Kanak-kanak berusia setahun mula menunjukkan sifat berdikari dan ingin makan sendiri. Walaupun ia mungkin bersepah, penting untuk memberi mereka peluang belajar makan sendiri.
Anda boleh meletakkan alas plastik atau surat khabar di bawah kerusi tinggi untuk memudahkan pembersihan.
Selera Makan Bayi 1 hingga 2 Tahun
Dari usia 1 hingga 2 tahun, pertumbuhan bayi menjadi lebih perlahan. Selera makan mereka akan berkurang dan mereka mungkin menjadi pemilih dalam makanan. Jangan risau—kanak-kanak tidak akan membiarkan diri mereka kelaparan. Tanggungjawab anda adalah menyediakan pelbagai makanan sihat, dan tugas anak anda adalah untuk memilih dan memakannya.
Waktu makan harus menjadi pengalaman yang menyenangkan, jadi elakkan memaksa anak untuk makan atau menghabiskan semua makanan di pinggan. Jika anak anda tidak lapar pada satu hidangan, simpan makanan tersebut dan tawarkan semula beberapa jam kemudian. Mereka mungkin akan makan pada waktu hidangan atau snek yang seterusnya.
Bolehkah Anak Usia 1 Tahun Menyusu Botol?
Ini adalah masa yang sesuai untuk mula menghentikan penggunaan botol susu. Jika belum dilakukan, galakkan anak anda menggunakan cawan. Cara yang baik untuk berlatih ialah semasa mandi, di mana tumpahan tidak akan menjadi masalah. Jika bayi anda mahu susu atau jus, letakkan dalam cawan. Jika botol hanya diisi dengan air, minat anak terhadap botol akan berkurang.
Jika anda masih menyusukan bayi, penting untuk mereka belajar menggunakan cawan. Tawarkan susu, jus, atau air selepas makan dalam cawan.
Jangan biarkan anak tidur dengan botol. Gula dalam susu atau jus boleh melekat pada gigi dan tidak akan dibersihkan oleh air liur semasa tidur. Jika anda memberi bayi botol sebelum tidur, pastikan untuk membilas mulut mereka dengan beberapa teguk air dan jangan biarkan mereka membawa botol ke tempat tidur.
Kesimpulannya, susu untuk anak 1 tahun jenis formula tidak lagi menjadi keperluan utama kerana mereka sepatutnya mendapatkan sebahagian besar nutrien daripada makanan pejal yang seimbang.
Susu penuh krim boleh menjadi pilihan yang lebih baik kerana ia membekalkan kalsium, protein, dan vitamin penting tanpa mengurangkan selera makan anak terhadap makanan sihat yang lain.
Namun, jika anak tidak menggemari susu penuh krim, terdapat banyak alternatif lain seperti yogurt dan keju untuk memenuhi keperluan pemakanan mereka.
Semoga artikel ini bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Baca juga: Susu Full Cream Untuk Anak: Bila Boleh Bayi Minum, Jenis Susu Terbaik & Manfaat Untuk Si Manja
Baca juga: Susu UHT: Apa Itu Susu UHT, Kebaikan & Jenis Susu Terbaik Untuk Anak 1 Tahun Keatas
Baca juga: Anak Picky Eater? 8 Susu Untuk Tambah Selera Makan Ini Terbaik Untuk Si Manja Anda Yang Sedang Membesar
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!