Baru-baru ini tular mengenai perkongsian seorang jururawat mengenai bagaimana pesakit COVID-19 beragama Islam yang memerlukan alat bantuan pernafasan diminta mengucap kalimah Syahadah sebelum ‘ditidurkan’.
Detik itu dikongsi oleh Shahrin Sahbudin di laman Facebook (FB) miliknya yang turut disertakan dua keping gambar pesakit terlantar di atas katil hospital.
Perkongsiannya itu kemudiannya telah dikongsi semula dalm FB Kementerian Kesihatan (KKM).
Dalam perkongsiannya itu, Shahrin menunjukkan gambar bagaimana seorang pesakit COVID-19 ‘ditidurkan’ dalam rawatan intubasi dengan alat bantuan pernafasan.
Doktor bunuh pesakit COVID-19 dengan beri ‘ubat tidur’?
Rentetan daripada kebanyakan kes kematian adalah daripada pesakit yang telah ‘ditidurkan’ itu, ramai netizen yang terus menghentam doktor kerana menidurkan pesakit lantas meninggal dunia.
Ulas Dr Ahmad Samhan melalui akaun Twitter persendiriannya, dia menyatakan rakyat perlu faham isu ini pada pangkalnya. Pesakit tahap 4 atau 5 perlu ditidurkan agar mereka dapat diberi bantuan pernafasan melalui tiub.
Bukan semua pesakit COVID-19 harus ditidurkan, dan bukan semua pesakit kritikal yang ditidurkan akan ‘pergi’.
Bila kena covid ni, virus ni serang paru-paru. Paru-paru akan jadi radang dan kemungkinan jangkitan kuman sekali. Paru-paru tak dapat berfungsi dengan baik.
Bayangkan kalian lemas dalam air. Begitulah keadaannya. Tarik nafas tapi oksigen tak masuk. Kalian akan panik. Tercungap-cungap. Pucat.
Bila tengok pernafasan begini dan kandungan oksigen semakin berkurangan dalam badan, doktor akan buat keputusan untuk beri bantuan pernafasan(intubate).
Kalau tak beri bantuan pernafasan, bila-bila masa pesakit akan tak sedarkan diri dan meninggal dunia.
Untuk beri bantuan pernafasan, doktor perlu masukkan tiub pernafasan dalam tekak. Bayangkan kalian masukkan jari dalam tekak, mesti rasa nak termuntah kan?
Jadi dalam keadaan sedar tak boleh masukkan tiub pernafasan. Sebab kita ada ‘gag reflex’. Doktor kena beri ‘ubat tidur’ barulah boleh masukkan tiub pernafasan.
Bila dah masuk tiub pernafasan, barulah oksigen masuk paru-paru dan disambungkan dengan mesin pernafasan. Sementara ‘ditidurkan’, doktor boleh beri rawatan untuk lawan virus dan bakteria.
Jika keadaan paru-paru dah semakin sembuh, doktor akan cabut tiub pernafasan dan pesakit akan bernafas tanpa bantuan mesin pernafasan.Jika keadaan paru-paru semakin teruk, kemungkinan pesakit akan menemui ajal.
Sebab itulah, sebelum masukkan tiub pernafasan doktor minta pesakit mengucap 2 kalimah syahadah dan minta izin dari pesakit dan keluarga terlebih dahulu.
Boleh tak kalau tak nak ‘tidurkan’? Boleh. Itu hak pesakit. Doktor ni cuma ikhtiar nak selamatkan nyawa pesakit. Itu je.
Doktor bukan suka-suka nak ‘tidurkan’ pesakit apatah lagi nak ‘bunuh’ pesakit.
Bagi umat Islam wajib ucap dua kalimah syahadah sebelum ‘ditidurkan’
Kata jururawat tersebut, sebelum ‘ditidurkan’, pesakit berkenaan diminta mengucap dua kalimah syahadah dan bercakap buat kali terakhir melalui panggilan video bersama ahli keluarga.
“Mungkin itulah salam terakhir pada keluarga… dan ini adalah perjalanan terakhir seorang daripada pesakit COVID-19 aku. Moga ditempatkan bersama para solihin,” komennya dalam perkongsian gambar tersebut.
Shahrin yang bertugas di Hospital Sungai Buloh berkata, apa yang lebih menyedihkan ‘pemergian’ pesakit COVID-19 ini akan hanya ditemani petugas hospital dan bukan daripada ahli keluarga sendiri.
“Mati itu pasti… daripada ‘Dia’ kita datang dan kepada ‘Dia’ juga kita kembali,” tambahnya lagi.
Hantaran Shahrin yang dikongsi dalam FB KKM itu dikongsi lebih 39,000 dan menerima 150,000 likes.
Walau bagaimanapun dalam memupuk kesedaran orang ramai, ada juga yang merasakan perkongsian itu agak sensitif.
Menerusi perkongsiannya yang lain, Shahrin meminta maaf kepada pihak yang sensitif dengan hantarannya yang sebelum ini.
Shahrin menegaskan bahawa, maksud tidurkan pesakit adalah prosedur intubasi kerana pesakit COVID-19 berada di peringkat akhir rawatan yang memerlukan bantuan alat pernafasan untuk bernafas.
“Kenapa perlu mengucap dua kalimah syahadah sebab pesakit bagaikan bertarung nyawa.
“Apapun kami cuba sedaya upaya untuk setiap pesakit sihat dan kembali bersama keluarga tersayang, cuma ada masa Allah SWT lebih sayangkan pesakit,” katanya
Tiada urusan kekal duduk di rumah
Tiada apa yang lebih penting pada waktu ini selain daripada memastikan diri dan keluarga tersayang selamat dan bebas dari jangkitan membunuh ini.
Kini siapa saja boleh dikatakan berpotensi tinggi untuk dijangkiti. Seakan semakin dekat rantaian COVID-19 ini dengan kita.
Tidak percaya? Buka ‘Hotspot’ di aplikasi MySejahtera anda dan lihat status jangkitan terdekat dengan anda sudah berapa banyak kes. Dengan hanya kurang daripada 1KM sudah beratus kes. Bermakna sekeliling kita sekarang tidak lagi selamat.
Bak kata DG Hisham, kekal duduk di rumah sekarang supaya tiba waktu berkumpul nanti, tiada siapa yang akan ketinggalan.
Sumber: Ahmad Samhan, Berita Harian
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Bayi 2 Minggu Positif COVID-19 Ketika Dalam Pusat Jagaan Selepas Bersalin
Baca juga: Nurse Sarat Mengandung Akhirnya Jadi Korban COVID-19
Baca Juga: Jururawat 7 Bulan Hamil Meninggal Dengan Bayi Dalam Kandungan Akibat Berjangkit daripada pesakit