Apalah masalah ibu ini. Anak 4 tahun dipukul hingga mati hanya sebab dia terbuang air besar dalam seluar. Kanak-kanak ini didera oleh ibu kandungnya yang dikenali sebagai AS berusia 24 tahun tanpa rasa kasihan.
Difahamkan, selepas memukul anaknya hingga meninggal dunia, suspek panik dan pergi ke rumah adik iparnya untuk memaklumkan mangsa sudah meninggal dunia akibat terjatuh.
Anak 4 tahun dipukul hingga mati kerana terberak dalam seluar
Menurut laporan agensi, kejadian itu berlaku di Surabaya. Adik ipar kepada wanita berkenaan memberitahu, terdapat kesan luka pada badan mangsa dan mempercayai kanak-kanak itu meninggal dunia akibat terjatuh.
“Namun, keadaan berubah apabila nenek mangsa tidak dapat menerima keadaan jenazah cucunya yang disifatkan ‘sangat teruk dan penuh kesan luka’.
“Hal ini kerana, mangsa dijaga neneknya sejak berusia tiga bulan sehinggalah dia diserahkan kembali kepada ibu kandungnya baru-baru ini,” kata polis.
Nenek mangsa kemudiannya membuat laporan polis dan hasil bedah siasat mengesahkan kanak-kanak malang itu mati akibat didera. Mangsa meninggal dunia akibat pendarahan otak selepas ibunya menghantukkan kepalanya ke dinding.
Ketika disoal siasat, suspek mengakui kesalahannya dan memaklumkan dia hilang sabar dengan anaknya kerana kanak-kanak itu degil dan sukar memahami arahan.
Cara kawal marah bila tengah stres dengan anak
Berikut adalah beberapa cara mengawal marah yang boleh anda praktikkan kepada anak-anak.
#1. Ingat anak bukan robot, dia seorang yang unik
“Cubalah buat perangai elok sikit. Tak malu ke dengan adik?”
“Ish, kalau Papa buat macam ni dulu memang habislah kena rotan dengan Atuk kamu tau…! Kamu nak kena rotan?”
Secara tidak sedar, ini antara ayat perbandingan yang kita biasa gunakan kepada anak. Tiada manusia di dunia ini yang suka dibanding-bandingkan dengan orang lain, termasuklah anak kecil. Jadi, berhenti bandingkan anak dengan sesiapa termasuklah diri kita sendiri.
Menurut Psychology Today, situasi ini juga sering berlaku kerana karenah anak mengingatkan kita kepada tingkah laku kita sendiri pada zaman kanak-kanak. Contohnya, dulu kita selalu dirotan bila tak dengar cakap.
Jadi kita fikir, kalau kita kena hukum, anak pun patut terima hukuman yang sama. Kemarahan dan rasa dendam yang ada pada zaman kanak-kanak mempunyai pengaruh yang besar kepada seseorang individu sehingga menjadi dewasa.
#2. Asingkan anak dari tempat kejadian
Apabila anak buat perangai dan kita mula rasa nak marah, tarik nafas dalam-dalam sebelum memberi respon pada anak. Dengan helaan nafas, kita dapat berfikir secara lebih rasional. Kemudian, bertindak tanpa perlu berkata apa-apa.
Contohnya jika anak sedang bergaduh atau melontar barang, tarik mereka daripada tempat kejadian supaya tidak mencederakan orang lain. Dengan mengasingkan anak daripada tempat kejadian, ia dapat mengelakkan keadaan daripada bertambah buruk.
#3. Cuci muka untuk sejukkan badan
Jika perasaan marah sedang meluap-luap, ambil sedikit masa untuk mengasingkan diri anda pula. Cara terbaik adalah dengan mencuci muka atau mengambil wudhuk. Sedikit sebanyak, air ini dapat menyejukkan ‘api’ kemarahan.
Kemudian, kembalilah pada anak dengan mood yang lebih baik. Dengan mengukir senyuman walaupun sedang marah, ia dapat memberi arahan kepada otak supaya respon dengan lebih positif terhadap situasi yang dihadapi.
#4. Letak diri di posisi anak
Bayangkan kalau kita berada di tempat anak. Apakah yang akan kita rasa? Tengah excited nak bermain dengan ibu ayah, anak pula dimarah dan diherdik sedangkan mereka belum faham apa-apa tentang masalah di tempat kerja.
Tentu anak akan rasa keliru, sedih dan takut jika tak disayangi ibu ayah. Mungkin anak anda mahukan perhatian atau mahu memberitahu anda sesuatu yang baru mereka pelajari hari ini. Dengan siapa lagi mereka mahu berkongsi perasaan dan kegembiraan, bukan?
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Kredit foto: Agensi
Baca juga: Jangan ‘Over’ Marah Anak, Risau Dia Terikut-Ikut Gaya & Cara Kita Ketika Marah
Baca juga: Ada Sebab Isteri Marah Selalu, Dalam Diam Mereka Simpan 3 Benda Ini Seorang Diri…
Baca juga: Isteri Selalu Marah Anak Sebenarnya Dia Geram Dengan Suami Dalam Diam!