Ada Sebab Isteri Marah Suami Selalu, Dalam Diam Wanita Yang Bergelar Isteri Simpan Dan Pendam Perkara Ini Seorang Diri

Isteri marah suami selalu sebab apa? Para suami perlu tahu puncanya apa dan cara untuk meredakan kemarahan supaya rumah tangga harmoni.

Dalam beberapa bulan perkahwinan, suami isteri akan alami suasana yang cukup harmoni dan bahagia. Namun selepas beberapa tahun, suami akan kerap tertanya-tanya di dalam hati, kenapa selalu sangat isteri marah-marah?

Apatah lagi, selalu saja isteri marah bukan sebab hal besar, tapi berkaitan perkara remeh seperti anak sepahkan rumah, baju banyak nak kena basuh, pinggang mangkuk berlonggok atas sinki dan lain-lain.

Sebab itu kadang-kadang suami kurang faham, isteri marah itu berpunca dari apa sebenarnya?

Bagi membantu suami yang rungsing memikirkan sikap isteri marah ini, kami akan jelaskan kenapa isteri anda selalu marah-marah, dan apa yang anda boleh lakukan.

Memahami isteri marah – Kenapa isteri anda selalu marah-marah?

Sebelum ingin tahu mengapa isteri selalu marah sepanjang masa, suami perlu tahu beberapa perbezaan utama dalam emosi antara lelaki dan wanita dahulu

Penyelidikan menunjukkan, lelaki dan wanita mengalami kekerapan kemarahan yang sama namun berbeza dari segi penyampaiannya.

Menurut kajian itu, lelaki biasanya telah “dididik” untuk tunjuk kemarahan secara terang-terangan sementara wanita pula, sewajarnya sembunyikan kemarahan mereka.

Ahli psikologi, Sandra Thomas menjelaskan lelaki yang menunjukkan ekspresi marah merupakan tanda maskulin dan kejantanan. Tapi, wanita pula tidak digalakkan terlalu menonjolkan ekspresi kemarahan kerana ia tidak menyenangkan dan kurang berperasaan.

Sebab itulah kebanyakan wanita meluahkan rasa marah itu dengan cara lain supaya apa yang terpendam di hati mereka akhirnya dapat diluahkan.

Pada tahun 1993, Thomas menjalankan kajian terhadap kemarahan wanita yang membabitkan seramai 535 orang wanita di antara umur 25 dan 66 tahun.

Kajian itu mendedahkan tiga punca kemarahan wanita iaitu tidak berdaya, ketidakadilan dan ketidakpercayaan orang lain. 

Wanita menunjukkan kemarahan mereka dengan cara yang berbeza daripada lelaki seperti:

  • Marah lebih lama 
  • Menyimpan perasaan geram dan benci
  • Kurang cenderung untuk menyatakan kemarahan mereka 

Kenapa selalu sangat isteri marah sepanjang masa? Ini 3 sebabnya 

#1. Dia selalu fikir tentang perkara yang mungkin tidak pernah anda fikirkan 

Ya, mereka sangat letih secara mental dan fizikal. Bayangkan seharian dia bersama anak-anak. Yang bekerja pula penat kerja belum habis lagi, kena pula layan karenah anak-anak di rumah.

Itu tak termasuk lagi dia kena bangun waktu malam untuk menyusukan bayi. Mungkin juga dia bosan berurusan dengan tantrum anak kecil.

Barangkali sikap acuh tak acuh anda terhadap hal-hal rumah membuatkan dia lebih cepat marah dan penat. 

Di sinilah kemarahan dia akan “masuk sekaligus”. Keletihan itu membawa kepada tekanan langsung membuatnya marah.

Malah tinjauan menunjukkan tekanan adalah faktor utama yang menyebabkan isteri marah. Maka tak hairanlah kalau isteri tertekan akan marah sepanjang masa.

Apa yang suami boleh buat?

  • Tawarkan bantuan walaupun cara kecil. Contohnya jika lihat isteri menyusukan anak, bawalah dia segelas air dan makanan ringan. Atau jika lihat dalam peti ais makanan sudah berkurang, anda tolong tambah dan beli yang baru.
  • Cari cara untuk kurangkan stres isteriurut leher dan bahu isteri bagi mengurangkan ketegangannya dengan kerja rumah setiap hari.
  • Kenali keletihan isteri seperti bertanya apakah bantuan yang boleh diberi, sekaligus membawa ketenangan kepadanya.

 #2. Ketidakadilan terhadap kerja-kerja rumah

Bayangkan, setiap hari isteri kena fikir kerja pejabat, kerja rumah, stok makanan di rumah, barangan runcit, temu janji doktor, ubat anak-anak dan segalanya isteri kena fikir dan hadap seorang diri!

Pembahagian kerja rumah seharuslah dibahagi sama rata, tapi umumnya isteri memang akan mengambil bahagian yang paling banyak dan merumitkan.

Sebab itu isteri akan rasa terbeban dari sudut kognitif, emosi dan fizikal selama bertahun-tahun.

Apa yang suami boleh buat? 

  • Menghormati dan fahami isteri anda. Sentiasa menghargai apa yang telah dia lakukan selama ini.
  • Ambil beberapa beban dari bahu isteri anda dan berikan keyakinan kepadanya bahawa anda juga membantu dia melakukan pekerjaan itu.
  • Ajar anak membantu kerja rumah yang ringan seperti cuci piring, sapu sampah, kemas rumah dan lain-lain.

#3. Seorang wanita yang tidak berdaya 

Menjadi seorang ibu adalah pengalaman yang sangat kuat, namun kebanyakan ibu terpaksa menanggung derita pada masa yang sama kerana suami tak selalu memahaminya.

Apatah lagi, dia kehilangan dirinya sendiri dalam banyak hal kerana hidupnya kini bertulangkan pada anak-anak dan suami sahaja.

Setiap keputusan yang diambil akan ditentukan demi kesejahteraan anak-anak.

Jika dia bekerja, mungkin dia terpaksa kerja lebih waktu. Tapi bila dia memutuskan untuk tinggal di rumah, maka dia akan kehilangan masa untuk dirinya sendiri.

Sebab itu isteri mula membenci ketidakadilan ini lalu menimbulkan kemarahan yang mendalam.

Apa yang suami boleh buat: 

  • Sentiasa berada di sisi isteri semasa dia melahirkan anak.
  • Tolong tukarkan lampin anak dan mandikan bayi anda
  • Sokong isteri dalam setiap keputusan yang dibuatnya. Tolong jangan anggap isteri pentingkan diri jika dia memutuskan untuk kembali bekerja.
  • Jika penjagaan anak ada masalah, sama-sama dengannya untuk penyelesaian.
  • Anda mungkin selalu bertanyakan tentang keadaan anak, kan? Jadi sekali sekala tanyakan juga keadaan isteri adakah dia sihat, sakit dan sebagainya.

Wanita bukanlah makhluk yang rumit tapi sebolehnya hargai dan fahami dirinya. Inilah antara tiga sebab mengapa isteri marah sepanjang masa.

Sebab itu suami perlu sentiasa menyokong dan berada di sisi isteri tak kira masa susah mahupun senang. Biar keharmoniaan rumahtangga itu berkekalan sampai bila-bila.

Ha… jom isteri, tag suami anda untuk memudahkan mereka memahami apa yang anda rasa. Semoga dengan perkongsian ini, suami anda akan lebih memahami dan meringankan beban yang dirasai anda itu.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Sumber: Penulis asal Nalika Unantenne dan mendapat keizinan dari theAsianparent Singapore untuk diterjemah.

Kredit gambar: Baitul Jannah

Baca juga:

5 langkah mengajak suami bantu isteri dengan kerja rumah dan jaga anak

 

Penulis

Farhana Fuad