Musim PDPR susulan pandemik Covid-19 yang melanda dunia seakan-akan membuka mata betapa tugas mendidik seseorang yang selama ini diletakkan di bahu guru bukan mudah. Ramai yang mula sedar bukan mudah nak buat anak mahu belajar.
Tetapi sebenarnya seorang kanak-kanak normal sentiasa bersedia untuk belajar, cuma ia bergantung kepada bagaimana kesediaan mereka itu dimanfaatkan sepenuhnya.
Tidak pelik pun jika ada kalanya mereka mahal dan tiada mood kerana itu adalah reaksi biasa malah orang dewasa pun begitu, tetapi ketahuilah, mereka ini sentiasa bersedia untuk belajar.
Kanak-kanak sentiasa bersedia untuk belajar
Menurut perunding Parent Connect Consultancy, Noor Afidah Abu Bakar, rumah merupakan sekolah pertama dan utama kanak-kanak.
Ibu bapa adalah guru pertama dan utama bagi kanak-kanak. Pengalaman dalam kehidupan seharian merupakan silibus terpenting dalam pembelajaran kanak-kanak.
Jadi peranan ibu bapa sangat penting dalam pembelajaran anak-anak. Ikuti perkongsiannya mengenai kaitan pembelajaran anak-anak dan peranan ibu bapa.
#1. Kanak-kanak miliki keiginan semulajadi untuk belajar
Kanak-kanak memiliki keinginan semulajadi untuk belajar bermula dari dalam kandungan lagi. Buktinya, kecenderungan bayi dan kanak-kanak memasukkan sesuatu ke dalam mulut, menyentuh apa sahaja yang dilihat dan bertanya banyak soalan kepada orang dewasa merupakan cara mereka mengekspresikan kesediaan mereka untuk belajar dan menerima maklumbalas dari persekitaran.
Peranan ibu bapa:
- Jadikan pengalaman dan rutin seharian kanak-kanak sebagai peluang pembelajaran. Banyak yang boleh dipelajari walaupun berada di rumah.
- Dedahkan kanak-kanak kepada pengalaman yang sihat.
- Luangkan masa untuk berbual dengan kanak-kanak. Jangan hanya berkomunikasi untuk marah, menegah dan beri arahan sahaja.
- Tunjukkan contoh yang baik kepada kanak-kanak tentang kepentingan belajar dan bertanya.
#2. Kanak-kanak mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi
Seumpama saintis, kanak-kanak akan sentiasa melakukan eksperimen untuk mengetahui kesan dan akibat sesuatu perbuatan.
Apabila kanak-kanak melompat dari tempat yang tinggi dan merasai kesakitan ketika terjatuh, dia sedang belajar tentang kesan dan akibat perbuatannya.
Peranan ibu bapa:
- Ajar kanak-kanak untuk pertimbangkan risiko apabila melakukan sesuatu. Menghalang tanpa difahamkan hanya membuahkan tingkah laku yang sama secara berterusan.
- Sediakan persekitaran fizikal rumah yang sesuai dengan perkembangan dan keperluan kanak-kanak.
- Layan soalan-soalan yang ditanya. Sekiranya tidak tahu jawapannya, minta tangguhkan dahulu untuk mencari jawapan.
#3. Kanak-kanak belajar dari persekitaran
Setiap pengalaman seharian, baik positif mahupun negatif merupakan ‘silibus’ pembelajaran bagi kanak-kanak. B
erkunjung ke kedai adalah pengalaman, bergaduh sesama adik beradik adalah pengalaman, menonton kartun adalah pengalaman, memanjat pokok adalah pengalaman.
Kanak-kanak bukan hanya belajar dari sekolah dan buku, lebih penting lagi kanak-kanak belajar dari manusia dan objek yang berada di sekeliling mereka.
Peranan ibu bapa:
- Dedahkan kanak-kanak kepada pengalaman yang mengajar aspek fizikal, emosi, rohani, intelektual dan sosial. Bukan hanya akademik.
- Kenalpasti minat dan kecenderungan kanak-kanak bagi menyediakan pengalaman bermakna bagi setiap individu.
- Sediakan peluang untuk kanak-kanak meneroka dan bertanya soalan.
- Terapkan skil kehidupan pada kanak-kanak.
#4. Kanak-kanak memberikan pendapat dengan cara yang berbeza-beza
Kanak-kanak menyampaikan idea melalui tingkah laku, aksi dan bahasa yang digunakan. Ada yang selesa mencurahkan idea di atas kertas ataupun di atas skrin.
Kanak-kanak yang biasa dengan buku akan menyampaikan idea melalui penulisan dan lakaran. Kanak-kanak yang dibiasakan dengan skrin akan meluahkan idea melalui medium tersebut.
Tingkah laku kanak-kanak juga adalah satu bentuk komunikasi. Fahami apakah pendapat, keperluan ataupun kekurangan yang cuba disampaikan melalui sesuatu tingkah laku, baik yang positif mahupun negatif.
Peranan ibu bapa:
- Sediakan peluang untuk kanak-kanak memberikan idea melalui cara yang selesa bagi mereka.
- Tunjukkan cara untuk menyampaikan idea dan pendapat dengan adab dan akhlak yang betul.
- Berikan peluang untuk kanak-kanak menyelesaikan masalah dalam kehidupan seharian mereka.
- Ingatkan kanak-kanak bahawa tidak semua soalan mempunyai jawapan ‘BETUL’ atau ‘SALAH’.
Semoga semua ibu bapa diberikan kekuatan dan pedoman untuk mendidik anak sebaiknya supaya mereka sentiasa belajar perkara terbaik dalam hidup mereka. Semoga berjaya!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Kredit foto: klikdokter
Baca juga: ‘’Bapa Borek, Anak Rintik’’- Ayah Jangan Macam-Macam, Anak Ikut Tingkah Laku Anda!
Baca juga: Anak Kurang Fokus Ketika Kelas Online? Cuba Dudukkan Dia Atas Gymball Sambil Belajar
Baca juga: Anak Suka Bermain Sambil Belajar, Ibu Berilah Kebebasan Supaya Otak Berkembang!