Tabah Diuji Kematian Anak Kecil, Habuannya Mereka Beri Syafaat Kepada Ibu Ayah Di Akhirat Kelak

Anak meninggal sebelum baligh atau anak syurga akan beri syafaat kepada ibu ayah ketika di akhirat. Mereka memegang tangan anda sama-sama masuk ke syurga

Anak syurga didefinisikan sebagai anak yang baru lahir, ketika lahir, anak meninggal sebelum baligh atau keguguran. Manakala turut dikatakan bahawa anak yang cacat atau tidak waras adalah anak syurga kerana mereka tidak dihisab.

Dalam hal ini mereka adalah yang meninggalkan dunia secara suci, tanpa melakukan dosa dan sebelum dosa dikira.

Anak meninggal dunia sebelum baligh, kedudukan anak syurga seperti yang digambarkan oleh Rasulullah S.A.W

Sering kali ditanya bagaimana kedudukan anak-anak yang masih kecil setelah mereka meninggalkan dunia, Rasulullah menggambarkan mereka berada dalam dua kelompok iaitu:

#1. Bagi arwah anak-anak orang yang tidak beriman, mereka akan menjadi pelayan-pelayan di dalam syurga dan hidup bebas di dalamnya tanpa mempedulikan ibu ayah.

#2. Kumpulan anak-anak yang beramal soleh termasuklah yang keguguran. Mereka akan ditempatkan di dalam syurga Allah di gunung sangat indah.

Di gunung berkenaan terdapat pokok-pokok thuba dan anak-anak ini akan dijaga oleh Nabi Ibrahim AS dan Sarah AS.

Kelebihan anak meninggal sebelum baligh, mereka sedang berbahagia di syurga

Mereka juga tidak pernah berasa haus, sentiasa dalam kekenyangan, malah sering berdoa kepada Allah supaya dapat berpimpinan tangan bersama kedua ibu ayah memandangkan mereka tidak mempunyai kesempatan untuk melakukannya di dunia dahulu.

Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abi ad-Dunya:

”Di dalam syurga terdapat sepohon pokok iaitu pohon thuba yang semuanya dapat menikmati susu termasuklah bayi-bayi yang meninggal dunia dan masih menyusu. Pengasuh mereka ialah Nabi Ibrahim Khalilullah.”

Bagi anak-anak kecil yang sudah tidak lagi menyusu, mereka akan ditempatkan di dalam perut burung-burung berwarna hijau dan berterbangan di dalam syurga.

Apabila datangnya masa untuk semua orang ditentukan tempat sama ada syurga mahupun neraka, anak-anak kecil tadi belum masuk ke syurga dan apabila mereka diminta oleh malaikat untuk berbuat demikian, mereka akan menjawab:

”Kami tidak akan masuk selagi tidak bertemu dengan arwah ibu dan ayah. Kami ingin masuk ke syurga bersama mereka.”

Apabila malaikat mengatakan anak-anak tersebut bahawa ibu ayah mereka berada di neraka, mereka terus menangis:

”Sekiranya di dunia kami tidak sempat bersama-sama dengan ibu ayah, kenapa di akhirat juga kami tidak boleh bersama mereka? Izinkan kami memberi syafaat kepada ibu dan ayah supaya kami masuk ke dalam syurga Allah.”

credit to sources

Kemudian, anak-anak ini akan berterusan menangis sehingga turunnya rahmat Allah dan kemudian memerintahkan malaikat agar mengambil ibu ayah kepada anak-anak ini yang sedang berada dalam neraka.

Dengan syafaat yang diberikan olehNya, lalu dibawa masuk ibu bapa bersama anak-anak mereka ke dalam syurga. Sebaik sahaja ibu ayah dikeluarkan dari api neraka, mereka akan memegang tangan ibu bapa mereka dan bergayutan dengan penuh keriangan menuju ke jalan syurga Allah S.W.T.

Kelebihan ibu ayah yang diuji anak meninggal sebelum baligh 

Berkata Imam al-Nawawi Rahimahullah:

”Anak-anak mereka ialah Da’amis Syurga yang bererti ahli syurga kecil. Asalnya ialah du’mus yang bermaksud haiwan-haiwan kecil yang berada dalam air. Mereka tidak berpisah dengannya. Maksudnya, anak-anak kecil di dalam syurga ini tidak berpisah darinya.” (Rujuk kitab Syarh Muslim-16/182)

credit to sources

Berkata Ibn al-Athir Rahimahullah:

”Mereka itu bebas bergerak di dalam syurga, masuk ke dalam rumah-rumahnya, tiada apa yang menghalang mereka daripada suatu tempat seperti perangai kanak-kanak ketika di dunia, tiada siapa yang boleh menghalang mereka memasuki haram (kawasan peribadi satu-satu keluarga) dan tiada siapa yang perlu berhijab apabila dengan mereka.” (Rujuk kitab al-Nihayah fi Gharib al-Hadis wa al-Athar- 2/289)

Amat beruntunglah bagi ibu ayah yang mempunyai anak syurga di dunia dan di akhirat kelak. Meskipun terpisah awal, mereka tetap menjadi penunggu setia anda di sana nanti sebagai penyelamat untuk jalan terakhir memasuki syurga.

Redhalah dengan ketentuan dan takdir daripada Allah S.W.T. Bersedihlah seketika waktu dan sabar menerima segala ujian ini kerana pastinya akan ada ganjaran lebih besar menanti anda di akhirat.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Bayi 8 Hari Maut Kerana Dipegang & Dicium, Ibu Merayu Semua Ambil Pengajaran 

Baca juga: Terlalu Rindu Anak Yang Sudah Meninggal, Wanita Ini Bertemunya Melalui Teknologi VR

Baca juga: ‘Syurga Buatmu Sayang. Baba Janji Jaga Anak Kita,’- Suami Redha Isteri Meninggal Ketika Bersalin