Aqiqah adalah penyembelihan haiwan yang dilakukan sebagai tanda syukur dengan kelahiran anak yang baru lahir. Namun, terdapat sedikit perbezaan aqiqah anak perempuan dengan anak lelaki menurut islam.
Isi Kandungan
Hukum Aqiqah Anak Perempuan
Menurut mazhab Syafie dan jumhur ulama menyatakan bahawa hukum aqiqah adalah sunat muakkad bagi yang berkemampuan. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
مَعَ الْغُلاَمِ عَقِيقَتُهُ فَأَهْرِيقُوا عَنْهُ دَمًا وَأَمِيطُوا عَنْهُ الأَذَى
Maksudnya: “Bersama-sama kelahiran bayi ada aqiqahnya. Oleh itu, tumpahkanlah darah aqiqah bagi pihaknya dan buangkanlah kekotoran dan najis daripadanya.”
Begitu juga dengan sabda Baginda SAW yang lain:
الْغُلاَمُ مُرْتَهَنٌ بِعَقِيقَتِهِ يُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ السَّابِعِ وَيُسَمَّى وَيُحْلَقُ رَأْسُهُ
Maksudnya: “Bayi itu tertebus dengan aqiqahnya. Penyembelihan aqiqah dilakukan pada hari yang ketujuh selepas kelahirannya, dalam masa yang sama diberikan nama dan dicukur rambutnya.
Ia sunat dilakukan pada hari ketujuh kelahiran bayi tersebut termasuklah memberikan nama yang baik dan juga mencukur rambut bayi yang baru lahir.
Walau bagaimanapun, sekiranya tidak berkesempatan dan ingin melakukan sebelum hari ketujuh atau selepasnya pahala aqiqah tetap dikira.
Ini kerana tempoh untuk melakukan aqiqah adalah bermula sejurus kelahiran bayi sehinggalah mencapai waktu baligh.
Selepas tempoh baligh, ibu atau ayah disunatkan untuk melakukan ibadah korban bagi menggantikan aqiqah anaknya.
Jumlah Kambing Aqiqah Anak Perempuan
Jumlah kambing aqiqah anak perempuan berbeza dengan anak lelaki iaitu cukup dibuat dengan 1 ekor kambing sahaja.
Bersesuaian dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang menyebutkan:
مَنْ وُلِدَ لَهُ وَلَدٌ فَأَحَبَّ أَنْ يَنْسُكَ عَنْهُ فَلْيَنْسُكْ عَنِ الْغُلاَمِ شَاتَانِ مُكَافِئَتَانِ وَعَنِ الْجَارِيَةِ شَاةٌ
Maksudnya: Sesiapa yang dikurniakan anak dan ingin melakukan ibadat untuknya, maka lakukanlah ibadah aqiqah bagi anak lelaki dua ekor kambing dan bagi anak perempuan pula seekor kambing.” – Hadis riwayat Ahmad, Abu Dawud, al-Tirmidzi, Ibn Majah, al-Nasaie dan al-Tabrani dan lain-lain.
Mazhab al-Shafie berpendapat aqiqah boleh digantikan dengan lembu. Seperti korban, lembu dibahagikan kepada 7 bahagian.
Bagi anak perempuan cukuplah 1 bahagian lembu asalkan tidak berkurangan dari syarat yang ditetapkan. Kalau lebih, tidak mengapa.
Kelebihan Aqiqah Anak Perempuan
1. Sebagai Tanda Syukur Kepada Allah SWT
Firman Allah dalam surah al-Hasyr, ayat 9:
وَمَنْ يُّوْقَ شُحَّ نَفْسِهٖ فَاُولٰۤىِٕكَ هُمُ الْمُفْلِحُوْنَۚ
Maksudnya: “ Dan sesiapa yang menjaga dirinya dari kebakhilan, maka mereka itulah orang-orang yang berjaya.”
Dengan mengadakan majlis aqiqah dapat menyuburkan hati dengan sifat pemurah dan terhindar dari sifat bakhil.
2. Jauhkan Anak Dari Gangguan Syaitan
Segala doa yang dititipkan oleh tetamu yang meraikan majlis aqiqah anak sudah pasti menjauhkan anak dari gangguan syaitan yang direjam serta dijauhi dari segala anasir jahat.
3. Menguar-uarkan Kelahiran Anak
Islam menggalakkan umatnya menguar-uarkan khabar berita yang gembira seperti kelahiran bayi, pernikahan dan perkahwinan. Ia bertujuan supaya tidak timbul fitnah di kemudian hari.
4. Mengeratkan Silaturrahim
Kehadiran tetamu, kaum kerabat dan keluarga yang hadir dapat merapatkan silaturrahim dan mewujudkan kasih sayang sesama kita.
Harga Kambing Aqiqah
Berapa harga seekor kambing untuk aqiqah? Harga tersebut bergantung kepada berat kambing selepas diproses.
Harganya sekitar RM750 untuk 4 – 5 kg daging sehingga mencecah ke RM 1200 untuk 13 – 14 kg daging.
Semoga bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di lamantheAsianparent Malaysia
Baca juga: Boleh Cukur Jambul Bayi Dahulu, Baru Buat Aqiqah Jika Ibu Ayah Tidak Berkemampuan
Baca juga: Cara Tahnik Bayi & Hukumnya, Ini Perkara Ibu Bapa Perlu Tahu Sebelum Melakukannya
Baca juga: Aqiqah Anak Lelaki & Perempuan: Syarat Akikah, Hukum Dan Panduan