Ramai wanita yang mengalami rasa sakit ari-ari mengabaikannya kerana menyangka ia hanyalah masalah kecil atau tidak serius, sedangkan ia boleh menjadi petanda masalah kesihatan yang lebih serius seperti jangkitan atau masalah reproduktif.
Apa Itu Ari Ari
“Ari-ari” adalah bahagian bawah abdomen atau kawasan pelvis.
Istilah ini sering digunakan untuk menggambarkan rasa sakit atau ketidakselesaan yang dialami di kawasan tersebut berkait rapat dengan pelbagai masalah kesihatan wanita seperti senggugut, jangkitan saluran kencing atau masalah ginekologi lain.
Dimanakah Sakit Ari Ari Terletak?
Sakit ari ari atau sakit di bahagian ari-ari merujuk kepada kesakitan di kawasan bawah perut, lebih tepatnya di sekitar kawasan pelvis atau pangkal rahim.
Biasanya, kawasan ini terletak di bawah pusat, antara tulang pinggul. Jika sakit ini berterusan atau sangat teruk, adalah penting untuk mendapatkan nasihat dan pemeriksaan daripada doktor.
Punca Sakit Ari Ari
1. Jangkitan Saluran Kencing
Jangkitan saluran kencing boleh menyebabkan rasa sakit atau kencing tidak lawas dan perlu ke tandas berulang kali. Ia juga boleh merebak ke buah pinggang yang menyebabkan demam dan sakit belakang.
Selain itu, risiko penyakit batu karang juga boleh terjadi sekiranya anda terasa sakit dari bahagian pinggang hingga ke pangkal paha. Biasanya, dalam keadaan ini ujian air kencing perlu dilakukan dan jika ada darah dikesan pemeriksaan lanjut perlu dibuat.
2. Masalah Pencernaan
Masalah pencernaan biasanya disebabkan oleh sembelit atau cirit-birit, di mana rasa sakit datang dan pergi. Kembung perut juga boleh berlaku akibat gas yang terperangkap.
Ketumbuhan dalam usus boleh menyebabkan pergerakan najis dan angin terganggu. Jika terdapat darah dalam najis, pemeriksaan segera diperlukan kerana ia mungkin menandakan masalah serius seperti luka, buasir atau ketumbuhan lain yang perlu dikenal pasti.
3. Masalah Sistem Pembiakan Wanita
Sakit di bahagian bawah perut boleh disebabkan oleh masalah pada rahim, saluran fallopian, atau ovari. Kesakitan semasa haid dikenali sebagai dysmenorrhoea dan biasanya tidak berbahaya bagi wanita muda. Namun begitu, sakit semasa hubungan intim mungkin merupakan tanda penyakit serius.
Wanita yang sudah berkahwin dan mengalami sakit di bawah perut tetapi tidak datang haid mungkin hamil atau mengalami kehamilan luar rahim. Segera berjumpa doktor jika sakit berterusan.
Wanita yang sukar hamil dan mengalami sakit di bawah perut mungkin menghadapi masalah seperti endometriosis, fibroid, atau cyst ovari. Doktor akan bertanya tentang kitaran haid dan melakukan pemeriksaan fizikal serta ujian air kencing, darah, dan ultrasound.
Gejala Sakit Pada Ari Ari
Sakit ari-ari wanita merupakan antara petanda gejala bagi beberapa jenis penyakit yang berbeza. Simptom-simptom lain yang mungkin dialami oleh pesakit adalah:
- Kesakitan atau ketidakselesaan di bawah perut, terutama di sekitar pelvis.
- Rasa sakit atau terbakar semasa membuang air kecil.
- Kerap kencing atau rasa tidak puas kencing.
- Kembung perut dan kesukaran mengeluarkan gas.
- Kencing mengandungi darah
- Gatal pada kemaluan
- Kencing tanpa sengaja atau tanpa sedar
- Perubahan bau atau warna air kencing tidak seperti biasa
- Pendarahan atau keputihan yang tidak normal.
Rawatan Sakit Ari Ari
Berikut antara rawatan sakit ari ari wanita yang boleh dilakukan bergantung kepada penyebabnya. Antaranya ialah:
1. Pengambilan Ubat-Ubatan
Ambil ubat penahan sakit atau ubat anti-radang untuk mengurangkan kesakitan.
2. Perubahan Gaya Hidup
Amalkan diet sihat dan bersenam secara teratur.
3. Rawatan Perubatan
Jika ada jangkitan, doktor mungkin akan preskripsi antibiotik atau rawatan lain.
4. Terapi Hormon
Untuk masalah seperti endometriosis atau PCOS, doktor mungkin syorkan terapi hormon.
5. Pembedahan
Jika ada fibroid atau kista yang besar, pembedahan mungkin diperlukan.
6. Kaunseling atau Terapi
Sekiranya sakit berkaitan dengan stress atau emosi, kaunseling atau terapi perubatan yang bertauliah boleh membantu.
Kesimpulannya, sakit ari-ari tidak boleh dibiarkan begitu sahaja dan perlu dirawat dengan segera. Mengabaikan gejala ini boleh membawa kepada komplikasi yang lebih serius.
Oleh itu, jika anda mengalami sebarang gejala yang disebutkan di atas adalah penting untuk mendapatkan nasihat dan rawatan perubatan secepat mungkin bagi memastikan kesihatan anda terjaga dan penyakit ini dapat ditangani dengan cepat dan berkesan.
Semoga bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Punca Sakit Tapak Kaki Bagi Wanita & Senaman Untuk Mengatasinya
Baca juga: Kenapa Payudara Kita Sakit Sebelum Datang Bulan?
Baca juga: Kerap Sakit Kepala Sebelah Kanan, Ini Penyebab Ia Terjadi & Petua Bagi Mengatasinya!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!