Pernah tak anda mendengar dan membaca fakta tentang AEFI (Adverse Events Following Immunization) atau kesan sampingan yang boleh berlaku selepas imunisasi? Benarkah ada bahaya vaksin ini pada anak?
Sememangnya topik ini menjadi topik hangat di kalangan ibu bapa di Malaysia malah tak kurang juga yang berbalah di antara satu sama lain demi menguatkan hujah dan pendirian masing-masing berkaitan dengan vaksinasi pada anak.
Menurut Dr Charlotte Jane Joseph dalam ruangan perkongsian soalan di doktorbudak.com, pengambilan vaksin bertujuan untuk memberi perlindungan kepada kita daripada penyakit berjangkit.
Namun, memang kita tak dapat sangkal bahawa ada bahaya vaksin ini di mana boleh menyebabkan kesan sampingan. Inilah antara yang digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak yang mungkin membacanya melalui internet atau laman sosial semata-mata.
Menurut Dr Charlotte, AEFI ini memang wujud dan persoalannya adakah masyarakat perlu risau tentangnya? Jawapannya adalah YA dan TIDAK.
Sebelum itu, World Health Organization telah menubuhkan Global Advisory Committee on Vaccine Safety secara khas dengan memantau kualiti vaksin dan bertanggungjawab menyelidik semua kemusykilan serta persoalan daripada masyarakat serata dunia tentang keselamatan vaksin.
Bagi pengetahuan semua, World Health Organization mengenal pasti bahawa AEFI berpunca dari 4 kategori ini:
Bahaya vaksin – Ini 4 kategori AEFI
#1. Berkaitan dengan program vaksin
AEFI boleh berlaku disebabkan pemberian vaksin yang sudah terlepas tarikh luput, vaksin yang salah diberi sukatan atau vaksin yang tidak disimpan dengan cara yang betul.
Atas sebab itu, Kementerian Kesihatan Malaysia telah membuat garis panduan yang terperinci bagi mengelakkan perkara di atas daripada berlaku. Setiap anggota kesihatan yang memberi vaksin telah dilatih dan vaksin tersebut disimpan mengikut yang ditetapkan.
#2. Berkenaan dengan vaksin
Seterusnya AEFI juga boleh berlaku berpunca dari vaksin atau kompenen vaksin itu sendiri. Jadi amatlah penting untuk membandingkan antara bahaya penyakit dan risiko vaksin.
Contohnya demam campak seperti dalam laporan artikel yang ditulis oleh Dr Zahilah yang bertajuk “Adakah vaksin MMR selamat?” telah diterangkan sebelum vaksin MMR diperkenalkan iaitu terdapat dua juta kematian daripada demam campak hampir setiap tahun!
Jadi, bagaimana pula dengan vaksin MMR? Apakah AEFI ini ada pada vaksin MMR? Bahkan ada kalanya ia boleh menyebabkan bayi demam dan sakit pada tempat cucuk. Ini biasanya hilang selepas beberapa hari dan tidak meninggalkan kesan yang buruk kepada si kecil.
Selain itu, ada juga kesan sampingan lain selepas vaksin MMR dilakukan seperti muncul ruam yang biasanya hilang selepas 7 ke 10 hari.
Sementara itu, ada juga kesan yang lebih serius seperti alahan yang teruk atau anaphylaxis boleh berlaku tetapi peratusannya adalah kecil.
Walau bagaimanapun, setiap anggota kesihatan telah dilatih untuk mengenalpasti dan merawat kesan sampingan yang mungkin boleh berlaku.
Kemungkinan mendapat demam sawan daripada vaksin MMR adalah 1 dalam 9000 vaksin berbanding risiko mendapat sawan daripada demam campak adalah 1 dalam 200!
Malah kemungkinan untuk mendapat kesan sampingan pada otak daripada MMR adalah 1 dalam 1,000,000 vaksin berbanding risiko jangkitan otak dari demam campak adalah 1 dalam 1000.
Sekaligus ini menunjukkan bahawa risiko daripada penyakit adalah berkali ganda jauh lebih berbahaya berbanding risiko daripada vaksin. Malah risikonya juga adalah sangat kecil.
#3. Berlaku secara kebetulan
Ini bermaksud selepas bayi menerima imunisasi mereka akan mengalami batuk atau selsema dan ini tidak bersangkut paut dengan vaksin yang diambil.
#4. Tidak diketahui
Secara umumnya vaksin adalah selamat namun LIVE Vaccine (virus atau bakteria hidup yang dilemahkan) seperti MMR dan BCG tidak selamat untuk golongan kanak-kanak seperti:
– Kanak-kanak yang mempunyai imuniti yang rendah contohnya menghidap penyakit kanser, leukemia dan AIDS.
– Sedang melalui rawatan kemotherapi untuk penyakit kanser atau kurang dari enam bulan dari dos terakhir.
– Ataupun kurang 3 bulan sejak rawatan immunoglobulin.
– Mengambil dos steroid yang tinggi dosnya untuk lebih 7 hari atau steroid dos rendah lebih dari 2 minggu. Di kalangan kanak-kanak ini vaksin perlu diberi selepas 3 bulan.
Dalam situasi inilah yang menyebabkan kesan sampingan dalam konteks yang merisaukan. Walaubagaimanapun, kanak-kanak tersebut telah mendapat pemantauan yang rapi dari doktor dan ibu bapa juga telah diberitahu terlebih awal.
Vaksin boleh diambil jika:
– Batuk dan selsema tanpa demam
– Kanak-kanak tersebut ada lelah/asthma atau eczema
– Menerima rawatan antibiotik
– Demam kuning masa bayi
– Berat badan yang berkurangan
– Bayi pramatang
Walau bagaimanapun, setiap kesan sampingan mestilah dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan dahulu untuk tindakan lanjut.
Akhir kata dari Dr Charlotte, vaksin adalah selamat dan penyakit berjangkit adalah berbahaya.
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Sumber: Doktor Budak
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga:
https://my.theasianparent.comvaksin-untuk-bayi