Selepas mandi dan pakaikan baju, anda perasan ada bintik-bintik merah sekitar leher, lengan dan belakang badan bayi. Anda mula cemas dan terdetik “kenapa dengan bayi aku ini, semalam elok saja!” Kemudian, anda hantar gambar pada emak di kampung. Emak beritahu, itu ruam panas.
Oooohhh…. baru anda tahu, bintik-bintik merah yang tumbuh secara tiba-tiba di bahagian badan bayi itu namanya ruam bayi. Ia bukannya alahan atau jangkitan kuman yang merbahaya.
Namun, ruam bayi harus dirawat segera kerana takut ia merebak di kawasan badan yang lain. Nanti bayi rasa miang dan tak selesa!
Apa tanda-tanda ruam panas atau ruam bayi?
Kredit: Medical News Today
Kebiasaannya, badan si kecil memang tak akan terlepas dari diserang ruam panas. Ruam bayi berbentuk bintik-bintik merah halus yang tumbuh sekitar leher, bawah lengan, punggung, belakang badan, celah kelakang dan tepi ketiak.
Ruam panas muncul apabila bayi berhadapan dengan suhu yang panas dan lembap seperti di Malaysia. Oleh sebab cuaca yang tak menentu, bayi mudah diserang ruam bayi atau juga dipanggil ruam panas.
Bintik-bintik merah ini juga timbul apabila bayi berpeluh dan ia menyebabkan pori kulit tersumbat. Seterusnya, peluh tak dapat keluar.
Sebab itulah ruam bayi mula timbul kerana kelenjar peluh bayi belum matang sepenuhnya.
Baca juga: 3 kesalahan ibu bapa yang boleh menyebabkan ruam lampin pada bayi
Bagaimana cara nak merawat ruam bayi?
Kredit: Unsplash
Ruam panas akan hilang sendiri dalam beberapa hari. Namun ada beberapa cara yang boleh anda lakukan untuk melegakan ketidakselesaan bayi seperti:
1# Ruam panas: Jangan biarkan bayi berpeluh
Ruam panas muncul apabila bayi dalam keadaan panas dan berpeluh. Jadi, untuk elak si kecil anda berpeluh, tidurkannya di bilik yang berangin seperti meletakkan kipas mini berdekatan dengan katil atau buaian tempat tidur.
Kalau keluar berjalan-jalan pula, pastikan anda menggunakan payung atau cari tempat berteduh dari terik panas.
2# Ruam panas: Guna krim hidrokortison
Ha… saya tahu, mesti ramai yang susah nak sebut nama krim ini. Kalau nak tahu, krim ini kegunaannya adalah merawat alergi dan ruam-ruam pada kulit bayi.
Macam ruam panas ini pun dia boleh rawat. Tapi, dapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi dulu ya sebelum ambil apa-apa ubat. Nanti ruam jadi bertambah teruk, susah pula.
Tapi kalau ruam bayi hanya naik sikit-sikit, tempek saja dengan bedak sejuk. Esok atau lusa mesti sembuh!
3# Sapu losyen kalamin

Jika anda tak nak guna krim hidrokortison, anda boleh juga guna losyen kalamin. Biasanya ia berwarna merah jambu.
Ia mengandungi zink oksida dan feric oksida, di mana, kedua-dua bahan ini digunakan untuk merawat gatal disebabkan kehadiran ekzema, ruam, cacar air, sengatan dan gigitan serangga.
4# Pakaian bayi dari kain kapas
Penting untuk anda memilih pakaian bayi dari fabrik yang sesuai. Kalau pilih fabrik sintetik, poliester atau nilon, ia akan memerangkap panas. Lantas tubuh bayi cepat peluh.
Jadi pilihan pakaian yang lebih tepat adalah yang diperbuat dari kapas. Kalau nampak badan bayi anda peluh dan tak selesa, tanggal atau longgarkan pakaiannya.
Biar dia rasa dingin sedikit. Ruam pun tak akan tumbuh.
5# Sejukkan kulit yang dijangkiti ruam
Terakhir cara nak rawat boleh dibuat dengan sejukkan kawasan kulit yang terkena ruam itu menggunakan tuala sejuk basah. Kemudian biar tubuhnya kering sendiri tanpa lap dengan tuala.
Sumber: Baby Center
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Bayi Merengek Tidak Selesa Akibat Ruam Lampin? Ini 7 Krim Terbaik Pilihan Ibu Bapa!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!