Terujanya apabila tiba masa untuk membeli baju bayi baru lahir kan? Tapi bila saat nak menyimpannya apabila bayi anda tidak lagi muat baju yang comel-comel tu pasti bercampur baur perasaannya.
Baju bayi baru lahir yang tidak lagi digunakan perlu disimpan rapi, manalah tahu ada rezeki untuk yang kedua ketiga dan seterusnya, bolehlah digunakan lagi. Tidaklah membazir untuk membeli yang baru.
Ini cara yang betul untuk anda simpan, tak bolehlah sekadar lipat-lipat dan letak dalam almari sehingga tibanya cahaya mata baru. Untuk menjamin kualiti baju bayi ia perlulah disimpan dengan rapi.
Cara simpan baju bayi baru lahir
#1. Basuh semua baju yang ingin disimpan dengan pencuci baju bayi
Ini bagi memastikan baju-baju bayi tidak terkena bahan kimia yang kuat dari sabun pencuci baju orang dewasa. Malah apabila anda basuh baju bayi terlebih dahulu tidaklah nanti baju bayi berbau hapak, atau berbau almari apabila disimpan nanti.
Segala kotoran perlu dibuang terlebih dahulu agar baju yang disimpan bersih sempurna. Elakkan penggunaan mesin pengering ya untuk menjamin kualiti baju bayi. Baju bayi yang sering dikeringkan guna mesin akan cepat kecut dan berbulu.
Sidai di tempat yang tidak terlalu panas dan jika boleh lipatlah terus sebaik anda angkat dari rak penyidai bagi mengelakkan baju berkedut jika dikumpul lama-lama.
#2. Simpan dalam kotak kedap udara
Boleh juga disimpan dalam plastik dan divakum ia boleh menjimatkan ruang penyimpanan. Namun seeloknya simpanlah dalam kotak kedap udara dengan rapi.
Letakkan sedikit pewangi organik di dalam kotak tersebut, oh! jangan lupa dalam kotak mesti dilapik dengan kain bersih sebelum anda letakkan baju anak-anak.
#3. Gosok baju
Kulit bayi sangat lembut dan sensitif. Jika ia terdedah kepada kimia, bakteria atau organisma lain, ia boleh membuatkan kulit mereka merah, gatal atau ruam. Salah satu cara untuk melindungi mereka yang mungkin anda tak pernah terfikir adalah dengan gosok baju anak.
Membasuh baju dengan bersih saja tak cukup untuk melindungi kulit si kecil anda dari gangguan yang mungkin melekat pada pakaian, sarung bantal atau sarung tilam mereka.
Berkurun lamanya kita menggunakan teknik menggosok untuk mengelakkan baju dari berkedut. Tapi, ada lagi kelebihan menggosok baju yang mungkin anda tak tahu dan ia boleh melindungi kesihatan bayi anda.
Kelebihan menggosok baju anak-anak selepas dibasuh
Hilangkan bau tak diingini dan buat pakaian berbau segar dan bersih
Kadang-kadang, lepas basuh baju anak yang ada kotoran melekat menggunakan sabun pun, bau masih tak hilang. Nak letak sabun basuh baju banyak-banyak tak elok pula untuk kulit mereka.
Jadi, dengan menggosok baju anak anda, ia dapat hilangkan bau yang tak diingini dan akan buat anak anda lebih selesa.
Supaya baju anak betul-betul kering dan hilangkan kelembapan
Sebagai ibu, memang banyak kerja yang nak diselesaikan. Kadang-kadang bila terlambat basuh baju, tak sempat pula nak kering.
Lagi-lagi bila anak kita masih kecil dan asyik tukar baju, tak sempat nak betul-betul kering dah nak guna.
Tapi, baju yang lembap adalah tempat yang sempurna untuk bakteria membiak dan akan buat jangkitan pada kulit.
Bila anda gosok pakaian anak anda, ia boleh bantu untuk keringkan baju anak anda dengan betul. Haba dari seterika juga dapat pastikan bakteria tak tumbuh dan membiak di bahagian yang susah kering bila dijemur.
Bunuh bakteria yang terperangkap dalam serat mikroskopik
Kulit bayi sangat sensitif dan mudah untuk dijangkiti. Jadi, kita haruslah lebih berjaga-jaga untuk lindungi kulit si kecil kita.
Dengan menggosok baju, ia boleh membunuh bakteria yang terperangkap dalam baju yang tak boleh dibunuh oleh sabun pencuci.
Tambahan lagi, mesin basuh juga boleh menyebarkan bakteria dari kotoran yang melekat pada baju kotor.
Bayangkan air kencing, najis dan kesan makanan pada baju anak anda, ini semua tempat bakteria membiak. Cuba fikir, bila kali terakhir anda bersihkan mesin basuh anda?
Membunuh serangga dan organisma lain yang terperangkap dalam baju
Semasa proses membasuh dan lebih-lebih lagi semasa menjemur baju, serangga kecil boleh terperangkap dalam bahagian yang terlipat pada pakaian anak anda.
Tanpa haba, ia boleh tinggal dalam baju dan keluar semasa anak anda menggunakannya. Tanpa anda sedar, bayi anda dah digigit serangga ini dan menyebabkan ruam.
Cara terbaik untuk memastikan perkara ini tak berlaku adalah dengan menggosok baju anak anda. Haba dari seterika boleh membunuh serangga kecil yang anda tak nampak ini.
Menggosok baju, lebih-lebih lagi baju anak anda mempunyai kelebihan yang tak boleh dilakukan hanya dengan membasuh baju.
Mungkin ini bermakna kerja kita akan bertambah, tapi keselamatan anak lagi utama.
Khas untuk pembaca theAsianparent
Sertai peraduan Breeze dengan mengisi borang di bawah dan anda berpeluang memenangi hadiah bernilai sebanyak RM200!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia