Semua ibu bapa ingin keadaan kulit bayi baru lahir yang putih dan lembut. Tapi kadang-kadang, terjadi juga beberapa jenis ruam bayi baru lahir yang kelihatan jauh dari sempurna dengan tanda-tanda aneh, lepuh dan bintik-bintik.
Malah, warna kulit bayi baru lahir tidak sama apabila usia mereka semakin meningkat.
Berikut antara 13 keadaan kulit bayi baru lahir yang biasa berlaku. Mari kita ketahui yang mana akan hilang sendiri dan yang mana memerlukan perhatian doktor. Semuanya telah disenaraikan dalam panduan di bawah.
13 Jenis Masalah Kulit atau Ruam Bayi Baru Lahir
Apabila bayi baru dilahirkan, setiap ibu dan ayah mengharapkan yang baik-baik sahaja. Masalah kulit bayi adalah isu normal namun kadang-kala ia agak menakutkan kerana kita sendiri tidak pernah hadapinya.
Oleh itu, kami sediakan panduan jenis penyakit kulit pada bayi dan gambarnya agar anda dapat tambah ilmu penjagaan kulit bayi dengan lebih baik:
1. Tanda cafe-au-lait
Sumber gambar : Sciencedirect.com
Bagaimana rupanya: Juga dikenali sebagai Café-au-lait spots, ia merupakan tanda rata yang berbentuk bujur dan kelihatan seperti tanda kelahiran normal, tapi ada tepi yang agak gelap daripada kulit di sekelilingnya (biasanya warna kopi susu, oleh itu diberi nama cafe au lait).
Keadaan ruam bayi baru lahir ini sebenarnya tidak berbahaya. Tapi jika saiz dan bentuknya lebih besar dari duit syiling 50 sen, ini mungkin tanda Neurofibromatosis (NF), sejenis gangguan genetik sistem saraf.
Cara rawatan: Tiada rawatan perubatan diperlukan, namun terapi laser boleh dilakukan untuk membantu menghilangkan tanda-tanda.
2. Pewarnaan port-wine
Sumber gambar: WebMD
Bagaimana rupanya: Tanda lahir port wine stain ini kelihatan seperti wain merah yang disimbah ke kulit. Tandanya mungkin berwarna merah jambu ketika dilahirkan tetapi boleh berubah menjadi lebih gelap, berwarna merah-ungu atau merah gelap.
Keadaan kulit bayi baru lahir ini berlaku apabila kawasan kulit itu tidak mempunyai bekalan serat saraf yang mencukupi. Ini akan menyebab saluran darah kecil mengembang, sehingga terbentuknya “noda” di bawah kulit.
Cara rawatan : Rawatan laser boleh dibuat untuk membantu menghilangkan tanda. Amat penting untuk memastikan kulit bayi sentiasa lembap kerana kulit yang ada tanda ini biasanya agak kering.
3. Milia
Sumber : Natural Health News
Bagaimana rupanya: Milia di muka ialah biji-biji putih kecil di sekitar hidung, dagu atau pipi. Namun pada masa yang sama, kadang-kadang biji milia ini juga hadir pada bahagian atas badan dan lengan.
Keadaan kulit bayi baru lahir ini disebabkan oleh serpihan kulit kecil yang terperangkap di bawah permukaan kulit.
Jangan picit dan korek biji-biji putih itu untuk mengelakkan kerengsaan atau jangkitan. Ia akan hilang sendiri dalam beberapa minggu atau bulan.
Cara rawatan: Basuh muka bayi setiap hari dengan air suam dan sabun bayi yang lembut kemudian lap kering perlahan-lahan. Elakkan dari menggunakan losyen atau minyak di kawasan yang terjejas.
4. Pustular melanosis
Sumber: Journal of Urgent Care Medicine
Bagaimana rupanya: Lepuh kecil yang boleh terkupas dan menunjukkan bintik kecil dalamnya. Bintik-bintik gelap juga boleh timbul di bawah dagu, belakang leher, dahi, punggung, atau tulang kering.
Keadaan kulit bayi baru lahir yang tidak merbahayakan ini biasanya berlaku kepada bayi dengan warna kulit yang lebih gelap.
Sebarang lepuh pada kulit bayi patut disemak untuk memastikan bahawa ia bukan lepuh disebabkan oleh jangkitan seperti herpes atau staph.
Cara rawatan: Tiada rawatan perubatan diperlukan dan keadaan ini akan baik sendiri dalam masa tiga bulan.
5. Ruam panas
Sumber: What to Expect When You’re Expecting
Bagaimana rupanya: Ruam gatal atau lepuh kecil merah pada kulit atau bahagian badan lain yang bersentuhan dengan pakaian.
Apabila cuaca sangat panas, bayi anda akan berpeluh dengan banyak dan ini akan menyebabkan liangnya tersumbat. Ruam panas akan berlaku apabila peluh tidak dapat keluar.
Penyakit kulit pada bayi ini lebih mudah terjadi pada bayi berbanding orang dewasa kerana liang mereka lebih kecil.
Cara rawatan: Petua hilangkan ruam peluh dan ruam panas ialah dengan pastikan pakaian bayi anda longgar dan mempunyai pengedaran udara yang baik. Pastikan ibu bapa elak dari menggunakan krim atau losyen ke kawasan yang terjejas.
6. Keruping buaian/Cradle cap
Bagaimana rupanya: Tompok-tompok atau kerak berminyak pada kulit kepala bayi yang kelihatan seperti kelemumur.
Keadaan kulit bayi baru lahir ini tidak menyakitkan atau gatal. Ia hanya menyebabkan kulit seperti sisik putih atau kuning yang sukar untuk dibuang.
Cara rawatan: Cuci bahagian terjejas setiap hari dengan syampu atau minyak mineral yang berubat. Gunakan losyen khas untuk keruping buaian kemudian sikat rambut bayi dengan sikat lembut untuk menanggalkannya.
7. Erythema toxicum
Sumber: Clinical Gate
Bagaimanakah rupanya: Biji-biji kecil yang berwarna kekuningan atau putih dan dikelilingi cincin merah. Ia kadang-kadang dipenuhi dengan cecair serupa tapi bukan nanah.
Biji-biji ini biasanya kelihatan di muka, dada, lengan, dan kaki – tetapi tidak pada tapak kakinya. Punca keadaan kulit bayi baru lahir ini tidak diketahui dan bukan disebabkan oleh jangkitan virus atau bakteria. Ruam ini juga tidak berjangkit.
Cara rawatan: Rawatan tidak diperlukan dan ruam ini biasanya akan hilang sendiri apabila bayi berusia 1 hingga 4 bulan.
8. Hemangiomas
Sumber: Healthline
Bagaimana rupanya: Penyakit kulit pada anak ini hadir dalam bentuk lebam atau benjol kecil warna merah. Dikenali sebagai “tanda strawberi,” ia adalah sejenis tanda lahir biasa berlaku dan terbentuk dari saluran darah.
Sering kelihatan pada kulit kepala, muka dan leher, benjol ini akan tumbuh dan berubah bentuk semasa beberapa bulan pertama kehidupan bayi . Keadaan kulit bayi baru lahir ini lebih kerap berlaku kepada bayi perempuan, bayi orang putih, bayi kecil dan bayi pramatang.
Cara rawatan : Rawatan perubatan profesional akan diperlukan tetapi benjol merah itu juga boleh disingkirkan melalui terapi laser.
9. Penyakit kuning
Bagaimana rupanya : Warna kekuningan pada kulit dan mata bayi anda. Penyakit kuning bayi ini adalah keadaan yang agak biasa berlaku dan disebabkan oleh bilirubin yang berlebihan di dalam darah bayi anda.
Cara rawatan: Terapi cahaya (fototerapi) dan penyusuan yang lebih kerap untuk membantu bayi menyingkirkan bilirubin melalui najisnya.
10. Petechiae
Sumber: Good Health
Bagaimana rupanya : Tompok-tompok kecil berkelompok yang berwarna merah (kadang-kadang berwarna ungu atau coklat) dan kelihatan seperti ruam.
Cara untuk mengenal pasti keadaan kulit bayi baru lahir ini ialah dengan menggunakan tekanan lembut pada tompok-tompok pada kulit bayi. Jika kulit bayi tidak berubah menjadi pucat (non-blaching) maka ini adalah ruam Petechiae.
Tompok ini biasanya tidak gatal dan biasa kelihatan di muka, lengan, perut, dada, bahagian bawah badan dan kaki. Tompok ini berlaku apabila saluran darah kecil bocor. Ini mungkin disebabkan apabila bayi :
- Menangis berlebihan
- Muntah teruk
- Batuk berpanjangan
- Selaran matahari
Bagaimana untuk merawatnya: Jika petechiae bayi muncul akibat trauma fizikal, ia akan hilang selepas beberapa hari. Jika ibu bapa kurang pasti punca ruam, bawa anak berjumpa doktor untuk mendapat pengesahan.
11. Gigitan stork atau gigitan bangau
Sumber: whattoexpect.com
Rupa-rupanya: Tompok-tompok merah jambu yang rata, yang biasanya muncul di leher, kening, di kelopak mata, dan di sekitar hidung atau mulut kulit bayi baru lahir ini.
Juga dikenali sebagai “salmon patch“, ini disebabkan oleh kapilari darah yang terlipat di bawah kulit. Tompok merah ini boleh bertambah merah atau gelap apabila bayi menangis atau teruja.
Keadaan kulit bayi baru lahir ini agak biasa. Sebanyak 7 dalam 10 bayi akan mempunyai tanda ini.
Cara rawatan: Tiada rawatan diperlukan kerana tanda ini adalah semula jadi dan akan hilang sendiri dalam tempoh 1 hingga 2 tahun.
12. Ruam lampin
Sumber: New Kids Center
Bagaimana rupanya: Ruam yang kelihatan merah dan mentah di sekitar kawasan lampin, alat kelamin dan punggung. Kadang kala kulit anak kering dan gatal dan boleh menyebabkan rasa ketidakselesaan.
Ruam lampin boleh disebabkan oleh:
- Memakai lampin kotor terlalu lama
- Geseran dari lampin
- Jangkitan yis
- Jangkitan bakteria
- Reaksi alergi terhadap lampin
- Cirit-birit
- Antibiotik dari susu ibu
Cara merawatnya: Tukar lampin bayi dengan kerap dan pastikan kawasan ruam sentiasa kering. Gunakan krim ruam lampin yang baik dan jangan guna lampin yang murah.
13. Kulit menggelupas
Bagaimana rupanya : Kulit kering yang mengelupas.
Apabila di dalam rahim, kulit bayi dilindungi oleh lapisan verniks tebal dari cecair amnion. Lapisan verniks in akan hilang apabila bayi dilahirkan.
Setelah hilang, lapisan luar kulit akan tanggal sendiri dan proses in akan mengambil masa satu hingga tiga minggu.
Cara rawatan : Jangan mandikan anak terlalu lama, kerana air hanya akan menanggalkan minyak semula jadi dari kulit bayi baru lahir anda. Gunakan air suam dan sabun mandi bebas wangian, kemudian sapukan krim atau losyen dengan segera selepas mandi.
Keadaan kulit bayi baru lahir: Bila ibu bapa perlu bimbang?
Walaupun kebanyakkan keadaan kulit bayi baru lahir in biasa berlaku, ibu bapa masih perlu memantau anak untuk tanda-tanda lain selain ruam bayi:
- anak yang tidak berhenti menangis atau menjerit
- jika anak nampak lesu
- anak rasa sejuk
- Demam
- pendarahan dari ruam
- ruam bernanah
- keadaan ruam kulit yang seolah-olah merebak atau semakin teruk
Jika keadaan kulit bayi baru lahir disertai oleh tanda-tanda ini, bawa anak untuk mendapatkan nasihat perubatan.
Ibu dan ayah jangan terlalu risau ya akan masalah kulit bayi baru lahir ini. Dengan penjagaan kulit yang ketat dan pemakanan yang betul, kebiasaannya masalah ini akan dapat dikurangkan atau dikawal dengan baik.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 5 Kebaikan Minyak Kelapa Dara Untuk Bayi, Ia Menyihatkan Kulit & Merawat Ruam Lampin
Baca juga: Bayi Lahir Tanpa Kulit Kerana Ibu Makan “Ubat” Bahaya Ketika Hamil?
Baca juga: Lahir Dalam Posisi Berpelukan, Kelahiran Bayi Kembar Siam Ini Dianggap Luar Biasa
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!