Pertalian di antara bayi dan ibu adalah hubungan yang paling kuat di dunia ini. Sebab itulah jika anda perhatikan, bayi menangis kadang-kala kerana dia mahukan ibunya sahaja.
Pertalian ini hadir rapat dengan perasaan saling memerlukan dan kepercayaan. Inilah yang menggalakkan bayi untuk membesar dengan cepat kerana dia tahu dia dalam keadaan yang selamat, dilindungi oleh kedua ibu bapanya.
Selain itu, bayi juga menangis kerana ini adalah satu-satunya cara untuk bayi berkomunikasi dengan anda!
Kenapa bayi menangis dan cara menenangkan bayi menangis?
Kalau anda tak percaya, jom tengok 5 tanda-tanda ini untuk mengetahui yang bayi atau anak anda itu sebenarnya memerlukan anda.
1. Bayi menangis kerana takut dan percayakan anda
Andalah orang pertama yang dia akan cari apabila ketakutan, terkejut atau kesakitan. Kerana hanya di dakapanmu, ibunya, baru bayi anda akan rasa tenang. Dakapan anda itu memberi rasa keyakinan dan rasa selamat yang tidak dapat dibandingkan.
Anak anda masih tidak berdaya dan hanya bergantung kepada ibu bapa untuk keperluan hidup. Apabila keperluan anak sentiasa dipenuhi, kepercayaannya juga akan berkembang.
Kathy Eugster, seorang kaunselor klinikal dan ahli terapi, menerangkan kepercayaan antara ibu bapa dan bayi boleh terbentuk dari pengalaman positif dan negatif.
“Apabila ibu bapa memberi kasih sayang yang konsisten, ini akan membangunkan kepercayaan anak. Anak yang serba rasa kurang percaya akibat penjagaan yang tidak konsisten, akan sentiasa rasa cemas, cepat menangis dan tidak puas hati.”
2. Bayi mahu anda mendakapnya
Sebenarnya, bayi yang ketakutan atau kesakitan akan menangis agar anda memujuk dan mendakapnya.
Apabila anak dapat ditenangkan oleh suara atau belaian anda, dia akan makin percaya pada anda. Bayi boleh mengenali ibunya melalui penglihatan, bau, dan bunyi suara.
Apabila semua ini boleh memberi keselesaan kepada anak maka terbuktilah ikatan dengan ibunya sudahpun terjalin.
“Dari saat selepas bersalin hinggalah anak anda berusia 18 bulan, dia akan jatuh, menangis dan belajar tentang dunia, termasuklah siapa yang boleh memenuhi keperluan mereka,” kata Lisa Fiore, PhD, dan seorang profesor pembangunan kanak-kanak di Lesley University.
3. Bayi menangis untuk lihat tindak balas anda
Anak yang yakin dan rasa selamat selalunya akan meneroka dunianya dengan selesa. Contohnya dia akan merangkak di dalam bilik dengan orang yang tidak dikenali.
Apabila dia rasa terganggu atau terkejut, dia akan menangis dan merujuk ke ibu bapa untuk melihat tindak balas anda. Ini kerana ibu bapa melambangkan keselamatan dan tempat perlindungan mereka.
Sekiranya anda memberi kelulusan keadaan itu selamat, bayi akan terus meneroka dengan penuh keyakinan.
Jika anda nampak ragu-ragu dan kurang pasti, dia akan kembali kepada “pangkal keselamatannya” iaitu ibu bapanya.
4. Bayi hendak”bercakap” dengan anda
Anak pasti akan menangis untuk berkomunikasi dengan orang yang mereka percaya. Biarpun lapar, lampinnya sudah kotor atau cuma ingin perhatian dari ibu bapa mereka.
Walaupun bayi kecil hanya pandai menangis, ia adalah cara berkomunikasi yang sangat berkesan.
“Menangis adalah tindak balas yang paling bijak dalam naluri manusia untuk terus hidup. Hampir semua orang akan bertindak balas apabila mendengar seorang bayi menangis. Mereka pasti akan cuba menenangkannya,” kata Lisa Fiore.
5. Bayi sering menangis kerana resah akan terpisah dengan ibu
Walaupun meninggalkan anak yang menangis bukan sesuatu yang ibu bapa suka lakukan, ini sebenarnya boleh membina ikatan dan kepercayaan.
Anak sudah tahu dan percaya ibu bapa pasti akan memenuhi keperluannya, jadi apabila peralihan penjagaan berlaku, sudah pasti anak akan rasa kurang pasti dan kecewa.
Namun, ibu bapa jangan bimbang kerana anak anda akan membina ikatan kepercayaan baru dengan pengasuh atau penjaga baru, ia hanya akan mengambil masa.
Bersikap positif apabila anda meninggalkan mereka di sekolah atau taska, anak anda boleh membiasakan diri tidak lama lagi.
Semoga bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 13 Aktiviti Bantu Perkembangan Bayi 2 Bulan Agar Lebih Bijak & Cerdas, Jom Cuba Ayah & Ibu!
Baca juga: Bolehkah Ibu Bagi Bayi Gripe Water Jika Perutnya Kembung Atau Dia Ada Kolik?
Baca juga: Perkara Tentang Kepala Bayi Baru Lahir Yang Ibu Ayah Wajib Tahu!