Bayi muntah selepas menyusu sering menimbulkan kerisauan pada ibu bapa, sama ada apabila bayi muntah memancut atau jeluak sedikit susu.
Perkara ini seringkali berlalu terutamanya apabila bayi dalam lingkungan usia 4 bulan ke bawah, umur di mana bayi hanya minum susu dan tidak menerima makanan pejal lain.
Baca juga: Bayi Alah Susu Lembu? Cuba Minum Susu Soya, Kulit Cantik Putih Kemerah-Merahan!
Apa yang menyebabkan bayi muntah selepas menyusu?
Seringkali si ibu rungsing apabila melihatkan si manja kerap muntah semula selepas menyusu, seolah tidak dapat mengawal perbuatan tersebut.
Tambahan lagi, ibu pasti kasihan melihatkan anak terutamanya jika dia muntah secara berlebihan sehingga keluar bukan sahaja dari mulut, malah melalui hidung!
Apabila diperiksa, bayi mungkin mengalami kembung perut, minum susu secara berlebihan, susu ibu memancut dengan laju semasa refleks melepas, susu mengalir terlalu banyak, bayi minum terlalu kenyang atau otot injap bawah saluran makanan esofagus masih belum matang.
Tips mengurangkan risiko bayi muntah susu
Apakah yang boleh dilakukan bagi mengurangkan risiko bayi muntah selepas menyusu? Berikut merupakan beberapa ikhtiar mudah yang boleh anda lakukan bagi menguranginya:
- Tinggikan kedudukan kepala bayi di atas paras perut selepas menyusu boleh membantu sesetengah bayi. Namun, pemerhatian juga menunjukkan kedudukan ini tidak banyak membantu mengurangkan muntah!
- Selepas menyusu, letakkan bayi dalam keadaan mengiring atau meniarap semasa bayi masih terjaga. Elakkan tidurkan bayi meniarap terutamanya semasa bayi masih kecil kerasa risiko mati secara mengejut.
- Habiskan penyusuan bayi pada sebelah payudara. Jika laktosa tinggi berbanding lemak, proses penapaian laktosa akan menghasilkan banyak gas dalam usus bayi yang akan menyebabkannya kembung. Jadi, kandungan lemak yang lebih daripada laktosa akan mengurangkan risiko kembung.
- Selepas menyusu, elakkan dari tertekan perut bayi atau memakaikan barut terlalu ketat.
- Susu terlalu laju boleh menyebabkan bayi tersedak. Kurangkan kelajuan susu dengan menekan payudara secara pegangan gunting menggunakan jari telunjuk dan jari tengah.
- Beri susu apabila bayi menunjukkan isyarat lapar, pastikan bayi mendapat susu mendapat susu akhir yang lebih pekat.
- Anda boleh amalkan teknik memerah susu yang awal keluar dulu dan simpan untuk kegunaan masa lain dan susukan bayi dengan susu akhir yang tinggi kandungan lemak. Lebih kerap penyusuan, lebih tinggi kandungan lemak di dalam susu ibu.
- Sesetengah bayi lebih tenang apabila berada di payudara, jadi biarkan bayi sementara di payudara walaupun dia sudah kenyang. Ini membantu mengurangkan kerengsaan perut, mempercepatkan pengosongan perut bayi dan melancarkan penghadamannya. Jika susu masih keluar, kepitkan payudara dengan pegangan gunting tadi.
- Susukan bayi dalam keadaan bayi duduk menegak, dengan perut bayi bertemu perut anda.
- Jangan tarik puting dari bayi dan ubah payudara secara tiba-tiba. Biarkan bayi melepaskan puting dengan sendiri untuk mengelakkan bayi tersedak dan muntah apabila menerima susu laju di payudara lain.
- Jangan paksa bayi untuk menyusu terutamanya jika dia menolak. Lakukan sentuhan kulit ke kulit untuk merangsang bayi melakukan penyusuan secara semulajadi, atau tawarkan payudara ketika bayi mengantuk.
- Amalan mengurut bayi dengan cara yang betul boleh mengurangkan risiko refluks dan kembung perut. Urutan bayi bukan sahaja dapat menenangkan bayi malah melancarkan sistem penghadaman dan menguatkan ototnya.
- Sendawakan bayi setiap kali selepas menyusu.
-
Elakkan pergerakan membuai semasa dan selepas menyusu. Pergerakan membuai sama ada menggunakan tangan atau memasukkan bayi ke dalam buaian boleh menyebabkan bayi muntah susu. Jangan terus buaikan bayi selepas menyusu. Jarakkan masa sekurang – kurangnya 15 minit.
-
Periksa sekiranya ada susu yang keluar dari mulut bayi semasa tidur. Sentiasa periksa bayi yang sedang tidur. Jangan tinggalkan sendirian. Kadang – kadang ada susu yang terkumpul di dalam mulut bayi, terutamanya jika bayi tertidur semasa menyusu. Susu yang terkumpul boleh menyebabkan bayi tersedak atau tercekik.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: wom.my
Baca juga: Penyakit Gerd Pada Bayi, Anak Menderita Kerana Muntah Kerap- Awas, Ibu Harus Ambil Tahu!